Wednesday, August 08, 2007

Kuliah Aqidah 2- Apa bukti cintakan Tuhan

Assalamualaikum WBT.

download audio kuliah

download buku soal jawab aqidah

Untuk kuliah kedua akidah pada 6 Ogos 2007. Ustaz Fadhlan menghuraikan tentang petanda-petanda cinta hamba ke atas Allah. Kelas bermula dengan satu soalan daripada ustaz, adakah cinta kepada makhluk bertentangan dengan konsep cinta kepada Allah SWT. Bagaimana dengan cinta kepada kawan, cinta kepada isteri, cinta kepada ibu, kepada anak, dan bagaimana pula dengan cinta kepada mereka yang berlainan jantina. Inilah persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan ditanya kepada pelajar yang hadir di dalam kelas tersebut. Jawapan-jawapan daripada pendengar mudah sahaja, tak salah.

Kuliah kali ini membincangkan soalan ke 6 hingga soalan ke 11.

Persoalan cinta kepada Allah turut dikaitkan dengan persoalan al-Wala wa al-Bara. Mencintai apa yang Allah cintai dan membenci apa yang Allah benci. Antara yang dapat disimpul ialah cinta kepada Allah tidak melarang daripada mencintai makhluk selagi mana objek yang dicintai bukanlah benda yang dibenci Allah dan cinta itu tidaklah boleh melebihi cinta kita kepada Allah.

Antara isu yang dibincang ialah isu bagaimana keadaan manusia yang tidak sampai dakwah kepadanya. Dibincangkan di dalam kuliah tentang hadith riwayat Imam Ahmad. Cuma ketika kuliah malam tadi pelajar dan Ustaz Fadhlan tidak ingat isi kandungan hadith tersebut. Di sini saya akan letakkan hadith tersebut yang saya temui di dalam Tafsir Ibnu Kathir, cuma ia di dalam Bahasa Inggeris.

Imam Ahmad reported from Al-Aswad bin Sari' that the Messenger of Allah said,

«أَرْبَعَةٌ يَحْتَجُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ لَا يَسْمَعُ شَيْئًا، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرِمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي فَتْرَةٍ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ فَيَقُولُ: رَبِّ قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ فَيَقُولُ: رَبِّ قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونِي بِالْبَعْرِ، وَأَمَّا الْهَرِمُ فَيَقُولُ: رَبِّ لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ شَيْئًا، وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ فَيَقُولُ: رَبِّ مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ. فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لِيُطِيعَنَّهُ، فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ أَنِ ادْخُلُوا النَّارَ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ دَخَلُوهَا لَكَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا»

(There are four who will present their case on the Day of Resurrection: a deaf man who never heard anything, an insane man, a very old and senile man, and a man who died during the Fatrah. As for the deaf man, he will say, "O Lord, Islam came but I never heard anything.'' As for the insane man, he will say, "O Lord, Islam came and the young boys were throwing camel dung at me.'' As for the senile man, he will say, "O Lord, Islam came and I did not understand anything.'' As for the one who died during the Fatrah, he will say, "O Lord, no Messenger from You came to me.'' Allah will accept their pledge of obedience to Him, then He will send word to them that they should enter the Fire. By the One in Whose Hand is the soul of Muhammad, if they enter it, it will be cool and safe for them.)

Selain itu, dibincangkan juga tentang status 4 golongan manusia yang tahap minima rukun Islam dan rukun Iman telah dilaksanakan. Cuma mereka berbeza dari segi tahap amalan dan dakwah.

a) Orang yang beramal dan berdakwah apa yang di amalkan.

b) Orang yang mendakwah manusia tetapi tak buat apa yang di dakwahkan.

c) Orang yang beramal tetapi tak mendakwah apa yang di amalkan.

d) Orang yang tak beramal dan tak berdakwah.

Persoalan timbul tentang status manakah yang lebih baik, beramal tanpa dakwah atau berdakwah tanpa amal. Pelajar-pelajar kuliah yang menyatakan bahawa lagi elok yang beramal tanpa dakwah berdasarkan firman Allah “Kenapa kamu berkata-kata apa yang kamu tak lakukan.” Sedangkan mereka yang menyatakan bahawa lebih baik yang dakwah tanpa amal kerana keumuman suruhan berdakwah.

Jawapan yang Ustaz Fadhlan berikan ialah baik yang berdakwah tanpa amal berdasarkan apa yang dipetik daripada Imam Ahmad yang menyukai manusia yang sibuk di malam hari untuk mengulangkaji pelajaran untuk dikongsi bersama manusia lain berbanding manusia yang sibuk di malam hari bersolat malam. Kata Ustaz Fadhlan, mereka yang bersolat malam untuk kebaikan diri mereka sahaja sedangkan yang berdakwah tanpa amal itu memberi manfaat kepada orang lain. Dan di samping itu, mereka yang dakwah itu, jika mereka ikhlas di dalam menyeru manusia, sudah pasti mereka akan terasa di dalam hati jika mereka berdakwah sesuatu yang mereka tak amalkan, sekaligus dakwah mereka itu menjadi motivasi untuk mereka beramal dengan apa yang mereka dakwahkan.

Dibincangkan juga tentang maksud sebenar ikhlas. Adakah ikhlas itu beribadah tanpa mengharapkan sesuatu, tanpa mengharap syurga dan pahala, dan tanpa merasa mahu dijauhi daripada dosa dan neraka. Maka Ustaz Fadhlan menerangkan, bahawa maksud ikhlas yang sebenar ialah menyucikan amalan atau memurnikan daripada syirik.

Wallahu’alam. Di bawah ini ialah soalan-soalan yang dibincangkan. Sila download audio kuliah tersebut.

  1. Apakah tanda cinta hamba kepada tuhannya?

Tandanya ialah: dia cinta apa yang Allah cinta dan benci apa yang Allah benci lalu melaksanakan perintahNya, menjauhi laranganNya, membantu pembantuNya dan memusuhi musuhNya. Inilah yang dimaksudkan dengan ikatan iman yang terkuat ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah seperti yang terdapat dalam hadith:

[ أوثق عرى الإيمان الموالاة في الله، والمعاداة في الله، والحب في الله، والبغض في الله][1]

Maksudnya: “Sekuat-kuat ikatan iman ialah membantu kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan bernci kerana Allah.”

  1. Bagaimanakah caranya hamba dapat mengetahui perkara yang dicintai dan diredhai oleh Allah?

Dia dapat mengetahuinya melalui pengutusan para rasul dan penurunan kitab di mana Allah memerintahkan perkara yang dicintai dan diredhai serta melarang perkara yang dibenci dan disanggah. Perkara ini menegakkan hujah Allah ke atas hambaNya dan menonjolkan hikmatNya yang sempurna. firman Allah Ta‘ala ( al-Nisa’ 4:165):

Maksudnya: (Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alas an bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu.

Firman Allah Ta‘ala ( Ali Imran 3:31):

Maksudnya: Katakanlah “Jika kamu (benar-benar) mancintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

  1. Berapakah syarat ibadah?

Tiga iaitu:

1) Keazaman yang kuat. (Syarat wujud ibadah).

2) Niat yang ikhlas.

3) Bersesuaian dengan syariat yang Allah perintahkan supaya Dia disembah dengannya. (Syarat 2&3 adalah dua syarat penerimaan ibadah).

  1. Apakah erti keazaman yang kuat?

Menolak rasa malas dan tangguh di samping mengerahkan tenaga untuk menjadikan amalan menepati percakapan. Firman Allah Ta‘ala ( al-Saf 61:2-3):

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

  1. Apakah erti niat yang ikhlas?

Menjadikan Allah sebagai tujuan hamba dalam melakukan segala percakapan dan amalan yang zahir mahupun batin. Firman Allah Ta‘ala ( al-Bayyinah 98:5):

Maksudnya: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Lail 92;19):

Maksudnya: Padahal tidak ada seorangpun memberikan suatu ni’mat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Insan 76:9):

Maksudnya: Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Syura 42:20):

Maksudnya: Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat.

  1. Apakah syariat yang Allah perintahkan supaya Dia disembah dengannya?

Agama suci Nabi Ibrahim. Firman Allah Ta‘ala ( Ali Imran 3:19):

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang diredahi) di sisi Allah hanyalah Islam.

Firman Allah Ta‘ala ( Ali Imran 3:83):

Maksudnya: Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi baik dengan suka mahupun terpaksa.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Baqarah 2:130):

Maksudnya: Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri.

Firman Allah Ta‘ala ( Ali Imran 3:85):

Maksudnya: Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Firman Allah Ta‘ala ( al-Syura 42:21):

Maksudnya: Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?



[1] أحمد في المسند (4/286). انظر السلسلة الصحيحة ج2 رقم 998.

No comments: