Thursday, July 21, 2005

BAHAYA PARA PENCERAMAH

BAHAYA PARA PENCERAMAH

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Sejak kebelakangan ini, ramai para penceramah agama muncul di tengah gelanggang masyarakat. Dari yang diketahui asal-usul pendidikannya sehinggalah kepada yang tidak diketahui dari mana datangnya. Modal sesetengah mereka ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai kepada mereka. Ibarat kata, membujur lalu, melintang patah. Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu “Dialog Nabi s.a.w Dengan Iblis” juga dipercayai. Antaranya konon baginda Nabi s.a.w bertanya Iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “panggung wayang”. Kita tahu pada zaman Nabi s.a.w belum ada panggung wayang. Bagaimana mungkin istilah ini muncul. Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama. Al-Quran sendiri tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya menyebut kuda, bagi memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin hadith menyebut istilah yang tidak wujud di zaman tersebut.

Orang ramai yang jahil menjadi mangsa. Mereka tidak dapat membezakan antara tokoh ilmiah dengan ‘ustaz jadi-jadian’ yang menjadi penceramah segera dengan hanya belajar beberapa hari atau baca beberapa buku melayu, atau terjemahan. Lalu ada yang menghiasi ceramahnya dengan hadith-hadith palsu, fitnah, lawak jenaka, maki hamun yang ada pula pendengar yang sudi menadah telinga untuk mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, entah berapa ramai lagi ‘Sharil Long’ yang akan muncul. Rosaklah kemurnian masjid dan surau.

Lebih malang lagi, orang melayu ada yang menganggap sesiapa sahaja yang pulang dari Timur Tengah mesti pandai agama. Mereka lupa berapa ramai Arab yang jahil agama dalam ertikata yang teramat sangat. Mereka tidak sedar ramai juga yang ke Timur Tengah, tapi tidak belajar. Hanya sekadar tidur, makan angin, duduk dengan sesama melayu. Jika belajar pun, belajar sesama sendiri, atau mana-mana ustaz Indon, kemudian pulang kononnya sebagai lulusan Timur Tengah. Apa yang dia lulus pun kita tidak tahu?!! Siapa gurunya? Ada yang hanya mampu menyebut nama seorang dua Indon atau melayu yang mengajar di sana. Tokoh-tokoh ilmuan Arab ditinggalkan. Mereka tidak ambil manfaat keilmuan tokoh-tokoh yang mereka kembara ke negera mereka itu. Kitab-kitab mereka yang hebat dan ilmiah tidak dibaca. Bahkan, jangan hairan, ada yang pulang dari Timur Tengah, kurang mampu membaca bahan dalam Bahasa Arab. Jika mampu, ada pula yang kurang menguasai bahan dan tidak banyak tahu tentang latar belakang bahan-bahan ilmiah. Apatah lagi sistem sesetengah pusat pengajian di Timur Tengah seperti al-Azhar tidak mengambil pusing tentang kehadiran pelajar. Bagaimana mereka lulus, –jika betul lulus- tanyalah kepada yang jujur?!!!

Maaf saya katakan, sesetengah mereka sebenar tidak pulang membawa khazanah ilmu. Mereka membawa diri mereka yang asal. Mereka bagaikan barangan Thailand yang dihantar ke Amerika, dicop di sana dan dikirim semula. Dengan nama Timur Tengah, ramai juga yang menjadi penceramah. Hanya atas nama itu, orang ramai menganggap semua isi kandungan ucapan mereka benar. Maka mereka ini tidak memiliki penguasaan ilmiah dan metodologi yang betul dalam menilai bahan-bahan agama yang disampaikan.

Bidang keilmuan itu sendiri luas. Sekalipun bagi yang belajar, bukan semua ilmu dikuasainya. Maka bukan semua pula yang benar-benar bersijil, atau berguru menjadi alim. Ilmu diukur pada kemampuan dan pembuktian kajian.

Para ulama hadith sejak dahulu mengingatkan umat Islam tentang bahaya golongan qussas dan wu’adz. Golongan ini adalah antara yang paling berperanan menyediakan hadith palsu, atau menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya Israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Agama tercemar kerana mereka.Secara ringkas kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan penglipurlara.

Mungkin kita akan bertanya, apakah bahaya? Tidakkah mereka ini memberi nasihat di masjid dan surau kepada orang ramai. Orang ramai pula dapat mengambil manfaat daripada mereka?!.

Kita katakan, bahayanya bukan kerana mereka memberikan nasihat, tapi bahayanya kerana ada isi kandungan agama yang terkandung dalam ucapan-ucapan mereka banyak yang tidak benar. Orang ramai terseleweng kerana mereka. Walaupun kita sedar bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah yang berhati-hati dalam penyampaian maklumat dan hadith-hadith yang dibaca. Namun lebih ramai penceramah yang hanya memikirkan apa yang disukai oleh pendengar semata. Kata Dr. Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql: “Qussas mereka itu adalah wu’`azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ianya menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan berbagai hikayat, israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya.” (Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44, cetakan Dar al-Watan, Riyad).

Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen. Ayat-ayat al-Quran yang dihuraikan mestilah memenuhi disiplin ‘Ulum al-Quran yang telah digariskan oleh para ulama. Demikian sesiapa yang ingin menghuraikan hadith mestilah mempunyai latar pengetahuan mengenai ‘Ulum al-Hadith. Begitu juga yang membicarakan persoalan fiqh, mestilah mempunyai pengetahuan tentang Usul al-Fiqh. Kata al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya iblis terhadap wu’adz dan qussas ini: “Dahulunya para wa’`azd adalah ulama dan fuqaha’..kemudian bidang ini dicemari maka ianya disertai oleh golongan jahil…maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bid`ah dalam bidang ini… di kalangan mereka ada yang memalsukan hadith-hadith dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: “tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi S.A.W: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Kita sedar ramai yang ingin jadi penceramah agama. Kata mereka ‘lumayan’. Mungkin benar bagi yang mencari wang untuk kesenangan sendiri, bukan untuk pembangunan minda dan kekuatan umat. Justeru, ada yang berhenti kerja, kerana hendak berceramah. Orang ramai menamakan mereka pendakwah bebas atau seumpamanya. Saya tidak pasti, apakah semua mereka benar-benar ingin berdakwah kepada Islam yang benar dan tulen. Dalam ertikata menghuraikannya dengan disiplin yang diletakkan oleh para sarjana Islam yang muktabar dalam berbagai bidang. Atau mungkin hanya segelintir, selainnya dibimbangi seperti yang disebut oleh Imam al-Sakhawi (meninggal 902H): “Antara pereka hadith palsu itu ialah golongan yang mendapat untung dan mencari rezeki dengan hadith-hadith palsu dalam cerita-cerita dan nasihat-nasihat mereka” (Al-Sakhawi, Fath al-Mughith, 1/282, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Malangnya apa yang disebut oleh para ulama itu berterusan sehingga ke hari ini. Walaupun kebanyakan penceramah tidak lagi mencipta sendiri hadith-hadith palsu, tetapi mereka mengambil hadith-hadith palsu daripada orang lain untuk menyukakan para pendengar. Cerita-cerita dusta tentang para nabi dan wali menjadi bahan ceramah. Demikian juga riwayat-riwayat Israiliyyat dan seumpamanya. Apabila ada orang berbangsa cina di dalam majlis umpamanya, mereka pun menyebut Nabi bersabda: (Tuntutlah ilmu sekalipun ke China) Ini hadith yang palsu seperti yang disebut oleh para ulama. (Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan: Maktabah al-Ma`arif, Riyadh). Malangnya ramai yang tidak memberi perhatian tentang hal ini. Sehingga ada forum perdana dianjurkan dengan tajuk hadith palsu ini.

Demikian juga apabila datang bulan Rejab atau Sya’ban, atau Ramadan, maka mereka pun membaca hadith palsu: “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if , m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria) Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab) (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)

Sekalipun ia adalah riwayat yang batil, mereka tidak peduli. Apa yang mereka pentingkan ialah orang ramai suka dengan apa yang mereka sebut. Kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: “Kebanyakan qussas mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadith apa yang orang ramai sukai yang boleh membangkitkan jiwa, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan terhadap apa yang orang ramai suka. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, mendukacitakan mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”.( Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Inilah hakikat yang sedang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai penceramah tidak meneliti kedudukan hadith-hadith yang dibacanya. Apa yang mereka pentingkan ialah jempuan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan `Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka. ( Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.)

Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang ramai. Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan nasihat kepada orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan perkara-perkara palsu. Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam adalah sesuatu yang amat haram. Malangnya perkara yang amat diharamkan syarak ini berlaku di masjid-masjid. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah).

Sunday, July 10, 2005

Aminah Wadud Dan Bid'ah Hasanah

Aminah Wadud Dan Bid'ah Hasanah

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Pensyarah Bahagian Pengajian Islam USM.

Aminah Wadud adalah antara pendokong agung ajaran Islam Liberal. Dia bolehlah dianggap seakan ibu yang melahirkan ‘Sisters in Islam’ di Malaysia. Justeru itu, jangan terlalu terkejut dengan tindakan mereka. Bak kata perpatah, “bagaimana acuan, begitulah kuehnya”
Ramai yang terkejut dengan tindakan ‘gempaq’ Aminah Wadud baru-baru ini. Beliau menjadi imam solat jumaat yang didirikannya di sebuah gereja di Amerika. Saf solatnya pula diselang-seli lelaki dan wanita. Upacara itu pula dilindungi oleh polis dan pengawal. Dengan itu Wadud telah menjadi wanita pertama menjadi imam Jumaat sejak bumi dan alam ini wujud. Fatwa-fatwa telah pun dikeluarkan menyanggahi tindakan tersebut. Antaranya Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Namun jika kita tahu hakikat golongan ‘Liberal Islam’ ini, kita tidak akan hairan dengan tindakan mereka, sekalipun lebih dari itu. Lihatlah rakan sealiran mereka, Irshad Manji yang menyokong perkahwinan sesama jenis atas nama agama. Dia juga menyeru kepada seruan yang sama.

Apa yang hendak dihairankan, di kalangan mereka ini ada yang menanggung bahkan menyeru kepada sesuatu yang lebih dahsyat dari itu, iaitu iktikad bahawa semua agama adalah benar. Semua agama menuju ke syurga. Perbuatan Aminah Wadud adalah bid'ah yang menyesatkan, sedangkan seruan menyamakan semua agama adalah kekufuran yang nyata. Di Malaysia seruan ke arah itu sudah mula kedengaran.

Berbalik kepada Aminah Wadud, jika inginkan fatwa yang menghalalkan perbuatannya, mungkin dia boleh bertanya sesetengah golongan agama di Malaysia yang menganggap segala ibadah yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w selagi niatnya baik adalah bid'ah hasanah. Aminah Wadud mungkin boleh menyatakan niatnya baik, lagi pun dia bersolat, bukan pergi ke disco atau seumpamanya.

Jika kita ingin mencari dalil yang melarang wanita menjadi imam solat jumaat, kita pasti tidak akan berjumpa. Adapun hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah “Jangan sama sekali wanita mengimami lelaki, badawi mengimami muhajir dan orang jahat mengimami mukmin” sanadnya lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Bahkan dalam hadith Umm Waraqah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya yang hasan baginda menyuruh Umm Waraqah menjadi imam untuk ahli rumahnya, termasuk lelaki. Hadith itu menjadi bukti wanita boleh menjadi imam untuk lelaki dalam rumahnya. Ini juga yang ditarjihkan ramai ulama, antaranya ‘Abd al-Karim Zaidan dalam Al-Mufassal. Dalil wanita boleh menjadi imam untuk lelaki dalam rumahnya sendiri memang teguh. Namun Aminah Wadud mahu lebih dari itu, dia mengkiaskan hadith ini, lalu dia ingin menjadi imam solat jumaat.

Pada zaman Nabi s.a.w solat Jumaat telah ditunaikan saban minggu. Tidak pun diriwayat mana-mana wanita menjadi imam di mana-mana masjid pada zaman tersebut. Padahal wanita-wanita zaman itu lebih soleh dari Aminah Wadud. Apabila RasululLah s.a.w wafat, ada isteri-isteri baginda yang masih hidup, termasuk ‘Aisyah, Hafsah dan Umm Salamah. Ilmu mereka sangat banyak, diambil langsung daripada Nabi s.a.w., dari segi kefahaman dan penghayatan. Pun tidak terlintas mereka untuk menjadi imam solat jumaat, bahkan tidak ada sesiapa pun di kalangan umat yang begitu mencintai dan menyayangi mereka, menawar perkara itu kepada mereka. Ini kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan di zaman Nabi s.a.w. Apakah Aminah Wadud menganggap Nabi s.a.w menindas wanita??!!

Sebenarnya, masalah ibadah tidak boleh diada-adakan. Ibadah adalah dilarang melainkan dengan ada dalil syarak. Maka menjadi kaedah: Al-Asl fi al-‘Ibadah al-Tauqif (Asas Dalam Ibadah adalah wahyu). Tidak dilakukan ibadah kepada Allah melainkan dengan apa yang disyariatkannya. Jika ibadah itu diterima asalkan ikhlas maka tentu amalan setiap agama dan ajaran sesat yang ikhlas diiktiraf.

Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat jalan dalam menentu cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah agama, agama tidak boleh diambil melainkan dari tuhan itu sendiri. Untuk itu Islam mengharamkan bid`ah atau mengada-adakan ibadah tanpa sumber al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu. Firman Allah:

(terjemahannya): “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk: 2)

Makna amalan yang terbaik ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul. Ini kerana amalan sekalipun ikhlas tetapi jika tidak betul maka ianya tidak diterima, begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas juga tidak diterima, sehinggalah ianya menjadi ikhlas dan betul (Ibn Rajab, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/33, cetakan Dar al-Khair, Beirut)

Maka syarat diterima ibadah di dalam Islam mestilah memenuhi ciri berikut:

i. Ibadah hendaklah dibina di atas akidah yang sahih. Sesiapa yang tidak berada atas iman yang sahih atau islamnya terbatal, maka ibadahnya tidak diterima. Firman Allah: (terjemahannya): "Sesiapa yang beramal dengan amalan yang solih samada lelaki atau perempuan dalam keadaan dia mukmin, mereka itu memasuki syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit" (Surah al-Nisa’:124)

Dalam ayat di atas Allah dengan jelas mensyaratkan seseorang yang ingin melakukan amal solih itu hendaklah mukmin iaitu beriman kepada Allah dalam ertikata iman yang sebenar. Dia juga hendaklah tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang akidahnya rosak maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat. Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas asas aqidah.

ii. Ikhlas hanya kerana Allah. Ini adalah satu perkara asas yang diketahui oleh kebanyakan muslim. Dalil-dalil mengenainya begitu banyak dalam al-Quran dan al-Sunnah.

iii. Mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi S.A.W. Ini berdalilkan apa yang disebut oleh Allah S.W.T: (terjemahannya) "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Ali ‘Imran: 31)

Juga sabda baginda S.A.W:

Daripada ‘Aisyah r.ha, katanya: sabda Nabi S.A.W.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (Riwayat Muslim)

Demikian juga firman Allah:(terjemahan) "Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat - mana-mana bahagian dari ugama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah?!". (Surah al-Syura:21)

Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhaiNya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan” Katanya juga: “Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin samada kecil atau besar untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman RasuluLah S.A.W. Ini kerana hanya Allah sahaja pembuat syari`at dan al-Rasul pula adalah penyampai, sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan RasulNya)”.( Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi Al-Islam, m.s 165, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut)

Justeru itu, maka ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi S.A.W sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah S.W.T: (terjemahannya) “Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din (agama) maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk daripada kalangan golongan yang rugi”. (Surah Ali `Imran: 85).

Al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) dalam tafsirnya, menafsir ayat dalam Surah Ali `Imran di atas menyatakan: “Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang di syariatkan Allah maka sama sekali ianya tidak diterima”. (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 2/378, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut)

Peristiwa Aminah Wadud ini juga sepatutnya menginsafkan sesetengah golongan agama yang suka benar menghasanahkan apa saja amal ibadah sekali pun tidak ada dalil asalkan niatnya baik. Apa bezanya perbuatan Aminah Wadud dengan solat-solat rekaan yang tiada dalil yang diamalkan oleh sesetengah ‘ustaz’ di negara kita???!!. Jika mereka menjawab, apa salahnya solat bukan maksiat, Aminah Wadud juga patut diberi peluang menjawab seperti itu.

Sabda Nabi s.a.w: “..Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ianya dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”. (Hadith ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dengan menyatakan ianya “hasan sahih”, Ibn Majah dan al-Darimi dalam sunan mereka. Demikian juga Ibn Hibban dalam sahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi)

Al-Imam Malik bin Anas berkata : “Sesiapa yang membuat bid’ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: (maksudnya) “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini”. (Al-Syatibi, Al-‘Itisam, m.s. 35, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)

Kata Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan: “Amalan soleh ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak, maka membuat bid’ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah..Bid’ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid’ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul S.A.W memberi amaran mengenai bid’ah, sabdanya:(terjemahan) “Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah di dalam neraka”. Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya." (Abd al-Karim Zaidan, Usul al-Da’wah, m.s. 41 Beirut : Muassasah al-Risalah). Jika anda ingin memahami tajuk Bid‘ah Hasanah ini, bacalah buku saya “Bid'ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami”.

Wadud merasakan wanita dihina dalam Islam kerana tidak diberi peluang menjadi imam. Seakan dengan menjadi imam Jumaat, segala hak dan keperluan wanita akan tertunai. Wadud dan mereka sealiran dengannya barangkali lupa, bahawa Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jika pun ada pembelaan hak mereka adalah atas ehsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam Masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara masyarakat ‘Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “..Historically, Islam had been very leberal and progressive in granting property rights to women. It is a fact that there were no property rights given to Hindu women until 1956, when the Hindu Code Bill was passed, whereas Islam hand granted these rights to Muslim women over 1400 years ago”

Namun kedatangan Nabi s.a.w adalah rahmat bagi wanita. Al-Quran dan hadith-hadith Nabi s.a.w membela dan mempertahankan hak mereka. Kehadiran kedua sumber itu mengembalikan kedudukan wanita dan membuang anggapan bahawa mereka tidak perlu diletakkan di tempat yang mulia. Namun Islam seimbang, ada perkara yang menjadi tugasan lelaki dan ada perkara yang menjadi tugasan wanita.