Wednesday, April 30, 2008

Coretan Peristiwa : Perasmian Institut Al-Mizan

Tahniah diucapkan kepada al-Fadhil Ustaz Musa Sadri dan Jamaah yang telah menubuhkan Institut al-Mizan yang sebenarnya telah bertapak lama di Kuala Pilah negeri Sembilan iaitu Markaz Ittiba' al-Sunnah yang diketuai oleh Ustaz Hasyim Ghani Rahimahullahu Ta'ala yang merupakan seorang tokoh pejuang kaum muda satu masa dahulu. Kita bersyukur kepada ALLAH s.w.t. kerana tertubuhnya satu lagi NGO dakwah kepada al-Quran dan sunnah di sana.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.Bhg S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang kebetulan memang berada di Negeri Sembilan kerana menghadiri Seminar Undang-undang JAKIM. Antara wakil-wakil yang turut hadir di majlis perasmian tersebut dari Institut Ibn Hajar Melaka yang baru ditubuhkan diwakil oleh Ustaz Minhat Mahmud, Ma'ahad Tahfiz al-Mizan Terengganu Ustaz Ghazali (Razali), Pertubuhan al-Islah Perlis Dato Abdul Rashid bersama rombongan satu bas, Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa' Ustaz Sofwan Badri, Pertubuhan Muhammadiyyah Singapura Ustaz Abdul Salam Muhammad Sultan, Institut al-Qayyim Penang En Mohd Fitri, turut kelihatan Ustaz Md Yatim, Ustaz Fadhlan Othman mewakili Yayasan kebajikkan Nusantara (YAKIN) Dan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Assoc Prof Farouk Musa dari Muslim Profesional Forum(MPF), dan tidak dilupakan Institut al-Imam al-Syafie (INTIS) En Faridz Aiman dan saudara Masri Bin Ramlee yang bersemangat memberi ucapan....Dato Seri Shahidan Kassim tidak dapat hadir di saat-saat akhir..


Semoga dengan tertubuhnya Institut al-Mizan ini akan menyemarakkan lagi dakwah al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan Manhaj Salaf-Soleh di bumi Malaysia khususnya di bumi Negeri Sembilan...



Saturday, April 26, 2008

Kuliah di Melaka

Assalamualaikum WBT. Bermula pada Ahad, 27 April 2008, dua kuliah Maghrib akan diadakan di Masjid Aleyah Kampung Kuala Ina, Pulau Sebang, Melaka.

Lokasi Masjid berhampiran stesen keretaapi Tampin/Pulau Sebang, berhadapan dengan Tokong Buddha.

Perincian:

Hari: Ahad
Waktu: Selepas Maghrib
Tajuk: Pembatal-Pembatal KeIslaman
Rujukan: Nawaqidhul Islam (Pembatal-Pembatal KeIslaman) Susunan Asy-Syaikh Abdullah Bin Abdul Aziz Bin Baz Rahimahullah.

Hari: Isnin
Waktu: Selepas Maghrib
Tajuk: Sunnah-Sunnah Yang DiLupai.


Kuliah disampaikan oleh Saudara Mohd Masri Bin Mohd Ramli, pemilik weblog The Authentic View Of A Boy

Nota Kuliah akan disediakan. Sila Hadir Beramai-Ramai.

Jemput saudara mara dan rakan-rakan kalian.

Wslm wbt.

Tuesday, April 22, 2008

Adakah wajib bagi saya untuk mandi sebelum Solat Jumaat ?

Pada asasnya mandi bukan syarat bagi sah Solat Jumaat . Ini telah dipersetujui oleh para Ulama. Seorang tokoh Ulama yang terkenal Ibn Rajab telah berkata : Telah Ijma’ bahawa mandi bukanlah syarat sah untuk Solat Jumaat. Solatnya tetap sah tanpa Mandi.

Akan tetapi, Mandi pada hari Jumaat - paling kurang kita boleh katakan – AMAT DITUNTUT . Ini adalah hukum yang dipersetujui pada keempat –empat madhab dalam Islam.

Sesetengah para Ulama mengatakan Mandi pada sebelum Solat Jumaat itu Wajib. Kewajiban itu bukan lah menjadi syarah sah bagi Solat Jumaat tetapi ia bermakna tidak mandi mengundang kepada dosa ,kerana telah mengabaikan satu kewajiban agama.

Mereka berdasarkan Sabda Rasulullah SAW :” Mandi pada hari Jumaat itu wajib atas setiap orang yang Baligh” [Sahîh al-Bukhârî (879) dan Sahîh Muslim (846)]

Rasulullah SAW juga bersabda “Apabila kamu tahu kamu pada hari Jumaat, maka mandilah” [Sahîh al-Bukhârî (877) dan Sahîh Muslim (579)]

Dengan hanya berdasarkan Hadith diatas , menunjukkan kewajiban untuk mandi pada hari Jumaat. Jumhur(majority) para Ulama memahami hadith ini merujuk kepada jumaat pagi, hanya Imam Malik sahaja mempunyai pendapat yang berlainan.

Jika tidak terdapat hadith shahih lain berkenaan isu ini maka, kita boleh menyatakan bahawa mandi pada hari Jumaat itu tentunya wajib. Tetapi terdapat hadith sahih lain yang meyatakan sebaliknya.

Aishah RA menyebut : “ Orang ramai telah melakukan pelbagai pekerjaan apabila mereka berangkat menunaikan shalat Jumat, maka mereka berangkat dalam keadaannya begitu saja. (Dan, mereka biasa pergi dengan begitu). Lalu dikatakan kepada mereka, 'Alangkah baiknya seandainya kamu sekalian telah mandi '"[Sahîh al-Bukhârî (903) dan Sahîh Muslim (847)]

Aishah juga menyebut : Pada hari Jumat orang-orang datang dari rumah-rumah dan kampung-kampung di sebelah timur Madinah. Mereka datang dengan berdebu dan berkeringat. Lalu salah seorang dari mereka datang


kepada Rasulullah sedangkan aku berada di sisi beliau. Lalu, Nabi saw bersabda, 'Alangkah baik nya kalau kamu mandi pada hari ini.'"[Sahîh al-Bukhârî (902) dan Sahîh Muslim (847)]

Hadith-hadith ini menunjukkan sebab untuk mandi. Ia demikian supaya orang yang hadir bersolat adalah bersih dan tidak membawa bau yang busuk kedalam masjid yang sesak yang dibawa dari tempat kerja mereka.

Dari hadith di atas orang –orang tersebut ditanya 'Alangkah baiknya seandainya kamu sekalian telah mandi’ini menunjukkan galakkan bukan kewajiban.

Samurah b. Jundub meriwayatkan dari Rasulullah SAW berkata : Sesiapa yang berwudhu pada hari Jumaat itu baik dan bagus.Dan sesiapa yang mandi maka dia telah lakukan yang lebih baik” [Sunan al-Tirmidhî (497), Sunan Abî Dâwûd (354), Sunan al-Nasâ'î (1379)]

Mengambil kira dari semua bukti , kita boleh katakana bahawa mandi pada hari Jumaat itu adalat amat-amat dituntut dan disukai , tetapi ia bukanlah diwajibkan pada amnya. Walaubagaimanapun hukum boleh berubah kepada wajib , jika seseorang itu telah melakukan kerja yang berat hingga berpeluh dan orang yang selalunya berbau busuk jika tidak mandi. Bagi orang sedemikian mandi menjadi satu tuntutan pada mereka sebelum hadir untuk Solat Jumaat. Inisupaya bau mereka tidak menganggu para jemaah yang lain . Alasan ini kita boleh jumpai dalam hadith yang diriwayatkan loeh Aishah RA tadi.

Adalah wajar untuk kita ulangi bahawa walaupun kita katakana wajib untuk mereka mandi (golongan yang badanya berbau kurang menyenangkan) sebelum hadir Solat Jumaat, Solat mereka tetap sah walaupun mereka gagal untuk melakukan sedemikian.

Pada orang lain yang mempunyai kebersihan diri yang agak baik , maka mandi pada hari Jumaat adalah Sunnah yang amat dituntut (Sunnah Muakkadah) ini merupakan kesimpulan yang diperoleh oleh Ibn Taymiyyah dalam kitabnya Ikhtiyârât (30).


Wallahu a’lam (Allah Maha Mengetahui)

IslamToday

Disusun oleh ,
FAZH

Tuesday, April 15, 2008

Laporan Kem Ibadah Sek. Men. Keb. Felda Palong 7

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah, akhirnya kem ibadah di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Palong 7 telah berjaya dilaksanakan.

Dengan semangat jitu yang ditunjukkan oleh para fasilitator yang terdiri daripada Institut al-Imam asy-Syafie Consultant and Training (INTIS), begitu juga dengan tiga orang bekas pelajar perempuan sekolah tersebut yang kini sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), rakan-rakan UIAM dari Gemencheh, Bahau, dan juga seorang sahabat dari Rembau yang juga baru sahaja menamatkan pendidikannya di kolej PTPL Shah Alam.

Kesemua fasilitator ini telah menunjukkan semangt berpasukan. Kesanggupan mereka bersengkang mata tidak kira letih, penat dan lelah amat-amatlah dihargai.

Mungkin elok kalau aku ceritakan sedikit kronologi bagaimana kami boleh tiba dan melaksanakan kem ibadah di SMKP7 ini. Pada kira-kira tiga atau empat minggu yang lalu. Aku telah didatangi seorang pelajar perempuan perakaunan. Waktu tu aku baru sahaja habis kelas. Nak balik rumah lah gamaknya. Dia tanya, “Ni Masri kan?”. Lepas tu dia bagitahu aku bahawa Ustaz Zul yang mengajar di SMKP7 suruh dia cari aku di UIA dan ajak aku membantu kem ibadah yang akan dilaksanakan di SMKP7. Kem ini akan diketuai oleh seorang sahabat UIAM dan rakan-rakannya. Dan aku dijemput khas untuk terlibat di dalam slot solat. Ustaz Zul ini sudah aku kenali setahun yang lalu. Waktu itu aku dan rakan-rakan INTIS sedang menganjurkan Kem Smart Solat di sekolah aku iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin (SMKT). Dan dari tahun lepas beliau sudah mengajak INTIS untuk hadir ke sekolah beliau untuk menganjurkan program sebegini. Cuma tahun lalu, tarikh yang ditetapkan telah bertembung dengan peperiksaan pertengahan semester fasi-fasi INTIS. Maka ia terpaksa ditangguhkan.

Maka jika melihat asalnya bahawa aku dan rakan-rakan dari INTIS bukanlah penganjur untuk kem ini. Dan seminggu sebelum kem ini berlangsung, aku telah memanggil penganjur dan bekas pelajar SMKP7 itu untu bermesyuarat tentang kem ini. Maka hasil mesyuarat itu, aku dapati bahawa senarai fasi masih belum ada. Cuak juga waktu itu sebab aku dah rasa kem ini akan kelam kabut. Masakan tidak dengan jumlah peserta dijangka menjangkau 100 orang, tapi senarai fasi masih belum diketahui berapa jumlahnya. Maka malam itu aku terserempak dengan sahabat yang berperanan mengetuai kem ini. Dia kata dia akan carikan fasi. Sehingga hari Rabu fasi masih belum ada. Tinggal dua hari sahaja. Tiba-tiba aku dapat panggilan daripada bekas pelajar SMKP7 yang mengajak aku ke kem itu. Dia memaklumkan penganjur mahu menangguhkan kem ini. Tapi katanya pihak sekolah dah buat persediaan bahkan pelajar-pelajar juga sudah tahu tentang kem ini. Bincang punya bincang, kami memutuskan untuk berusaha mencari fasi. Aku apa lagi, kelam kabut call dan sms kawan-kawan aku. Sudah saat-saat terakhir begitu, maka bertembunglah dengan aktiviti kawan-kawan itu. Ada yang sedang berada di Perak untuk Nuqaba’ Training. Aku kalut. Bekas pelajar SMKP7 itu memaklumkan bahawa dia sudah dapat empat orang lagi fasi dari pelajar UIAM di mana dua daripadanya juga adalah bekas pelajar SMKP7. Lega sedikit, tapi kalut aku tak hilang kerana sekarang fasi lelaki hanya aku dan seorang kawan aku.

Call punya call, tak cukup dengan tu SMS dan YM, maka dapat jualah lagi 3 orang fasi. Tapi mereka hanya akan tiba pada hari Sabtu kerana mereka ada Nuqaba’ Training di Perak sehingga Jumaat petang. Dan mereka juga membawa seorang budak perempuan UIA yang berasal dari Bahau.

Selesai juga sedikit masalah, cuma kalut sedikit apabila aku dan bekas pelajar SMKP7 itu terpaksa menguruskan kem ini di saat-saat akhir, dengan susunan tentative, modul lagi.

Aku bertolak pada pagi Jumaat bersama seorang rakan dari Rembau. Naik bas ke Gemas. Perjalanan memakan masa 1 jam 30 minit. Tiba di Gemas, Ustaz Zul dan pelajar SMKP7 itu datang jemput. Punyalah jauh dari Gemas ke sana, kalau nak ikut macam dari Tampin ke Seremban jauhnya. Macam separuh perjalanan aku nak balik KL dah.

Sampai di sana dah nak dekat waktu solat Jumaat. Nak briefing fasi tak sempat. Lepas solat Jumaat baru sempat. Briefing ringkas tentang modul sifat wudhu dan solat nabi yang aku buat. Waktu itu aku seorang sahaja fasi lelaki. Seorang kawan aku akan sampai petang itu. Pembahagian kumpulan aku lakukan seorang diri. Alhamdulillah senarai nama peserta sudah aku milik sejam sebelum sesi pembahagian kumpulan. Maka kerja aku bertambah senang. Setelah dibahagi-bahagikan kumpulan, maka perempuan mempunyai enam kumpulan manakala lelaki mempunyai lima kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai antara sepuluh dan dua belas orang peserta jika mengikut jumlah asal iaitu 123 orang peserta. Cuma ada dalam lingkungan lapan belas orang tidak hadir, maka jumlahnya lebih kurang 105 orang pelajar.

Kawan aku dari KL itu tiba pada waktu Asar. Lega sedikit kerana ada yang datang membantu. Sesi petang itu dimulai dengan sesi berkenal-kenalan antara fasi dan peserta. Selepas itu dilakukan pula sesi perlantikan ketua kumpulan dan objektif setiap kumpulan. Setiap kumpulan diminta menyenaraikan senarai objektif dan apa yang ingin dicapai di dalam kem ibadah ini.

Malam itu selepas solat Maghrib, sesi kuliah pertama aku mulakan dengan tajuk “Mari Berkenalan Dengan Allah”. Aku membawa kisah Nabi Ibrahim AS di dalam al-Quran di mana Nabi Ibrahim AS mencari-cari Tuhan, bagaimana Nabi Ibrahim menafikan bintang, bulan dan matahari sebagai tuhan.

Selepas sesi solat Isya’, kesemua peserta dipecahkan ke dalam kumpulan masing-masing. Kumpulan lelaki dipecahkan dua, satu kumpulan dijaga kawan aku, dan satu lagi aku jaga. Malam itu aku mengajar kumpulan aku tentang rukun Islam, rukun Iman dan Syahadah. Hasil daripada malam itu, aku dapati ada pelajar yang tidak mengetahui rukun Islam dan Iman, bahkan tidak mengetahui bagaimanakah lafaz kalimah syahadah. Maka malam itu aku terpaksa mengajar dengan method seperti kanak-kanak sekolah rendah, aku menuliskan kesemua isi rukun Islam dan Iman, dan semua pelajar kumpulan aku dikehendaki menyalinnya. Dan aku juga menuliskan lafaz kalimah syahadah, berserta maksudnya. Selepas itu aku menyuruh setiap pelajar membacanya dan cuba menghafal. Sesi itu dijadualkan tamat jam 10 malam, cuma untuk kumpulan aku, aku tamatkan sedikit awal untuk memberi masa kepada budak-budak kumpulan aku berehat.

Selepas itu, pelajar dipecahkan semula ke dalam kumpulan kecil masing-masing. Mereka diminta menyiapkan bendera dan nama kumpulan masing-masing.

Pada jam 1045 pelajar-pelajar menikmati minum malam dan masa untuk tidur.

Pelajar-pelajar itu telah dibekalkan dengan nota zikir sebelum tidur, bangun tidur, dan zikir-zikir dan surah-surah yang dibaca selepas solat. Aku mengetuai mereka berzikir atas dasar untuk mengajar mereka.

Pada pagi Sabtu, sesi dimulakan dengan majlis Qiamullail. Aku mengimamkan majlis tersebut. Kami bersolat tahajud dua rakaat dan solat witir 3 rakaat dua salam. Sebelum itu aku mengingatkan kepada pelajar bahawa aku akan melamakan setiap sujud aku pada solat malam itu supaya kita dapat membanyakkan doa di dalam sujud. Tamat sahaja solat witir, maka masuknya fardhu Subuh.

Selepas selesai berzikir, kuliah Subuh di sampaikan oleh seorang pendakwah yang juga pegawai felda di situ. Ceramah beliau yang menarik dan gaya yang menggelikan hati, mencelikka mata pelajar yang kelihatan kuyu dek keraa bangun awal untuk qiamullail. Masakan tidak, malam itu aku dengar pelajar-pelajar itu tidur lewat. Pendakwah itu bercerita tentang masalah-masalah social budak-budak felda, adab-adab tidur. Melihat aksi beliau, teringat pula aku kepada ex-rockers Ustaz Akhil Hayy.

Tamat kuliah Subuh, sesi riadah dimulakan. Aku mengarahkan seorang pelajar untuk mengetuai sesi riadah pagi itu.

Pada jam 830 pagi. Sesi pertama kuliah adab dilakukan oleh sahabat aku. Beliau menerangkan tentang adab-adab seorang muslim di dalam kehidupan, adab ketika berkata-kata, adab berpakaian dan lain-lain. Kuliah itu pendek sahaja.

Pelajar-pelajar diberikan rehat selama 15 minit. Selepas itu sesi disambung dengan tajuk “Bagaimana Wudhu Rasulullah SAW”. Ketika sesi itu, sahabat aku melakukan demonstrasi sifat Wudhu Rasulullah manakala aku membacakan hadith-hadith nabi berkaitan wudhu. Dalam sesi itu adakalanya pelajar-pelajar disuruh ke hadapan untuk menggayakan bagaimana berwudhu. Tamat belajar wudhu, maka diajar pula secara ringkas tentang tatacara mandi wajib. Selepas itu pelajar berehat selama 15 minit untuk sedikit minuman dan makanan ringan.

Selepas menikmati sedikit hidangan dan berehat, sesi kedua iaitu sesi “Bagaimana Solat Rasulullah” dimulakan. Dalam sesi itu diterangkan setiap langkah solat Rasulullah SAW. Dan seperti sesi sebelum ini, pelajar-pelajar juga dipanggil untuk menggayakan bagaimana mereka bersolat.

Ketika itu aku mendapat panggilan telefon bahawa rakan-rakan fasi dari KL sudah hampir sampai di Kuala Pilah. Aku mendapatkan bantuan seorang guru di sana untuk memberikan tunjuk arah kepada rakan-rakan aku. Akhirnya, pada jam 115 tengahhari, mereka tiba jua di sekolah. Selepas Zuhur diadakan sedikit sesi berkenalan bersama abang-abang dan akak-akak fasi yang baru tiba. Dan mereka menyambung sesi sifat Solat Nabi yang tidak sempat aku dan rakan-rakan aku tamatkan pagi itu.

Pada jam 250, sesi itu ditamatkan. Pelajar diberikan rehat 10 minit. Selepas itu pelajar kembali ke dalam kumpulan masing-masing bagi membuat persediaan untuk “War Game” petang itu. Mereka diminta melantik ketua kumpulan perang mereka dan merancang strategi peperangan mereka. Majlis mesyuarat setiap kumpulan tamat pada jam 345 petang. Mereka diminta mula membina kubu kumpulan masing-masing.

Peperangan dimulakan selepas solat Asar. Pelajar lelaki telah mengadakan tiga pusingan peperangan selepas dua peperangan yang berkesudahan seri. Sedikit ganas permainan ini, akan tetapi ia memberikan sedikit keceriaan kepada mereka. Dan memang itu objektif kita untuk menjadikan kem ini sebagai satu kem yang ceria, santai dan relaks, dan tidak menekan peserta.

Malam itu, kuliah Maghrib disampaikan oleh fasi yang baru tiba tengahari itu dengan tajuk “Mari Menutup Aurat”. Di ajar bagaimana adab-adab berpakaian di dalam Islam. Selepas solat Isya’, kesemua pelajar dipecahkan ke dalam kumpulan kecil masing-masing. Fasi-fasi akan membimbing mereka untuk mempraktiskan wudhu dan solat yang sudah dipelajari siang itu. Bagi kumpulan aku, malam itu kami hanya buat praktis solat dua rakaat. Pelajar-pelajar kumpulan aku diarahkan bersolat di atas tar sebanyak dua rakaat. Tamat solat, aku mengajar mereka bertayamum dan selepas itu, kami ramai-ramai duduk di atas tar dan bercerita. Malam itu mereka suruh aku cerita kisah-kisah nabi. Aku cerita kisah Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf. Mereka suruh cerita lagi, aku jawab aku bukan hafal dan tahu semua cerita-cerita nabi. Selepas itu, kami menyambung dengan praktikal wudhu.

Pada jam 1030 pagi tayangan video Palestin disiarkan. Selepas itu aku memberi sedikit ulasan dan bercerita kepada adik-adik tentang situasi di Palestin dan pengajaran buat diri kita.

Keesokan paginya, selepas solat Subuh, kuliah disampaikan oleh seorang fasi yang bertajuk “Siapa Idola Kita”. Kuliah ini menerangkan kepentingan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan kita.

Selepas itu diadakan sesi gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekitar. Selepas itu semua pelajar diminta berkumpul di kawasan perhimpunan. Diadakan kuiz tentang wudhu dan solat dimana kumpulan lelaki akan menentang kumpulan perempuan. Pada mulanya, akan diadakan empat soalan. Tetapi pertarungan yang sengit dengan kedudukan seri 2-2 antara kumpulan lelaki dan perempuan. Selepas itu ditambah satu soalan di mana wakil pelajar lelaki dan perempuan diminta membaca tahiyyat sehingga habis. Akhirnya keputusan berpihak kepada lelaki kerana lebih lancar bacaannya.

Selepas sarapan, sesi disambung dengan sambungan praktikal solat dan wudhu, dan ditambah dengan sesi pemberian markah di atas prestasi pelajar-pelajar.

Pada jam 1045 dimulakan majlis penutup dengan ucapan YDP PIBG, wakil sekolah dan wakil fasilitator. Selepas itu majlis bersalam-salaman antara fasi dan peserta dan selepas itu majlis bergambar. Tapi yang aku tengok fasi perempuan tidak bergambar bersama kumpulan masing-masing, kumpulan lelaki je. Habis je sesi bergambar, fasi-fasi diserbu oleh adik-adik untuk mendapatkan tandatangan dan nombor telefon.

Selepas sesi makan tengah hari, kami semua berangkat pulang ke lokasi masing. Terima kasih adik-adik SMK Palong 7. Dan terima kasih jua khas buat untuk Ustaz Zul yang berkerja keras.

Untuk mendownload gambar-gambar ketika kem layari disini http://www.friendster.com/photos/2787450/1/890827750

Saturday, April 12, 2008

Mufti Perlis Harap Peraturan Peluk Islam Tidak Dilakukan Tergesa-gesa

KANGAR, 11 April (Bernama) -- Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap peraturan yang dicadangkan oleh kerajaan untuk mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam supaya mengisytiharkan status terkini mereka tidak akan menyukarkan atau mendatangkan kerugian.

Katanya peraturan itu tidak boleh dilakukan tergesa-gesa sebaliknya perbincangan lanjut perlu diadakan bagi memastikan perkara itu tidak memudaratkan mereka yang terbabit.

"Saya setuju dengan peraturan itu tapi perbincangan masih perlu dilakukan," katanya kepada Bernama di sini hari ini sebagai mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan akan memperkenalkan peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka kerana tindakan memeluk Islam secara senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah hingga ada yang menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

Mohd Asri berkata pengisytiharan memeluk Islam tidak menimbulkan masalah tetapi jika mereka yang terbabit diwajibkan memohon keizinan keluarga, ia akan menimbulkan masalah besar.

"Saya tidak setuju sama sekali jika peraturan itu turut memasukkan perkara yang mewajibkan mereka memohon izin keluarga," katanya.

Beliau berkata, jika keizinan keluarga diwajibkan bermakna hasrat mereka yang terbabit untuk memeluk Islam akan terbantut kerana mereka akan berhadapan dengan tentangan.

"Mana-mana orang yang telah dewasa mempunyai hak untuk memeluk Islam dan tidak perlu memohon keizinan keluarga," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, April 06, 2008

Antara Kebenaran & Penipuan



Tertipu: Kokka tidak wujud!

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang ‘lebur’ gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada ‘kayu kokak’ (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.


Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.

“Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

“Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.

“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

“Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta.

“Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta,” katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

“Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Petikan: harianmetro.com.my

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka

Dato' Dr Haron Din

Thu | Jun 14, 07 | 1:09:13 pm MYT

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka.

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,

Damansara, Selangor

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."

Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

Wallahua'lam. - lanh

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=8137&Itemid=28&limit=1&limitstart=1

P/S - Sesungguhnya kebenaran itu senantiasa akan menjelmakan dirinya walau ia ditohmah dengan kekalutan dan pembohongan . Wallahualam


HarakahDaily.Net

P/S - Sesungguhnya kebenaran itu senantiasa akan menjelmakan dirinya walau ia ditohmah dengan kekalutan dan pembohongan . Wallahualam