Oleh:
Abd al-Razzaq Abd Muthalib
Ramadhan sekali lagi datang menemui kita. Setinggi syukur dipanjatkan kehadhrat Ilahi kerana kita dizinkan untuk bertemu dengan bulan mulia dan penuh keberkatan ini. Seperti biasa seluruh umat Islam akan menunaikan ibadah puasa sebagai bukti pengabdian dan penghambaan kepada Tuhan Sekelian Alam. Malamnya pula akan dipenuhi dengan pelbagai ibadah yang berpandukan petunjuk Nabi saw. Sesungguhnya ibadah puasa telah dijanjikan pelbagai kelebihan dan fadhilat bagi sesiapa yang menunaikannya. Cukuplah beberapa hadis di bawah ini sebagai pemangkin dan peniup semangat untuk kita:-
- Daripada Abu Said al-Khudri ra berkata, bersabda Rasulullah saw: “Tidak ada seorang hamba yang berpuasa sehari dijalan Allah kecuali Allah akan menjauhkannya dengan api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan”. (Hadis sahih riwayat al-Bukhari (6/35), Muslim (1153).
- Daripada Uthman bin Abi al-‘As, telah bersabda Rasulullah saw: “Puasa itu perisai, yang akan melindungi seseorang hamba daripada api neraka”. (Hadis sahih riwayat Ahmad (4/22).
- Daripada Abu Umamah ra berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya”. (Hadis riwayat al-Nasai (4/165), Ibn Hibban dan al-Hakim (1/421) dan sanadnya adalah sahih).
Bulan Ramadhan juga mempunyai pelbagai kelebihannya yang tersendiri. Antaranya ialah sepertimana yang telah dijelaskan oleh junjungan besar Rasulullah saw di dalam hadis sahih yang bermaksud: “Apabila datangnya Ramadhan akan dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan”. (Hadis riwayat al-Bukhari (4/97), Muslim (1079).
Selain itu, telah dimaklumi bahawa di dalam bulan ini jugalah telah diturunkan al-Quran dan disediakan suatu peluang sebagai anugerah istimewa kepada hamba-hambaNya yang terpilih dengan Lailat al-Qadr. Firman Allah swt yang bermaksud: ((Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan perbezaan (antara yang haq dan batil)). (al-Baqarah: 185)
Tetapi malang dan merupakan suatu kecacatan apabila bulan yang mulia ini dicemarkan dengan penyebaran hadis-hadis dhaif (lemah) dan maudhu’ (palsu) samada mengenai fadhilat bulan Ramadhan, keutamaan puasa atau kelebihan solat terawih. Malah lebih malang lagi apabila penyebaran hadis-hadis yang dhaif dan maudhu’ ini dilakukan oleh golongan-golongan ustaz melalui ceramah, tazkirah, atau penulisan mereka. Apakah yang menghalang mereka untuk memastikan terlebih dahulu taraf atau martabat hadis-hadis yang ingin disampaikan kepada masyarakat sehingga menyebabkan mereka terjebak di dalam jenayah ini dan sekaligus mencabuli prinsip-prinsip dan disiplin ilmu? Jika ianya dilakukan dengan hasrat untuk menggalakkan umat Islam supaya melakukan ibadah, apakah hadis-hadis yang maqbul (sahih dan hasan) sudah habis disampaikan atau ianya masih tidak mencukupi. Walaupun beramal dengan hadis-hadis dhaif di dalam perkara fadhilat dibolehkan oleh sesetengah ulamak, namun ianya masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu diambil kira – perlu kepada perbincangan yang lain-
Di antara hadis-hadis dhaif dan maudhu’ yang tersebar di dalam bulan Ramadhan ini ialah:
1- Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya”.
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no. 1886) dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu‘at: 2/188-189) daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas ‘ud al-Ghifari.
Hadis ini berada di martabat maudhu’ (palsu), ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan (2/101) menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadis”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadis .
2- Daripada Salman al-Farisi ra, bahawasanya Nabi saw berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban dan Baginda saw bersabda:
“Wahai sekelian manusia, telah memayungi kamu satu bulan yang agung, bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa dibulan ini wajib, dan berqiyam pada malamnya sunat, maka barangsiapa yang berbuat kebajikan padanya dengan satu kebajikan adalah serupa dengan orang yang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan tujuh puluh fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar dan sabar ganjarannya adalah syurga. Ia adalah bulan tolong-menolong, bulan yang ditambah padanya rezeki kepada orang yang beriman. Barangsiapa yang memberi makan pada bulan ini kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka amalan ini adalah pengampunan bagi dosa-dosanya, dan memerdekakannya daripada neraka, dan baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurang pahala mereka sedikitpun. Mereka lalu bertanya: Ya Rasulullah! Bukan semua kami yang mampu menjamu orang yang berbuka puasa?. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Allah akan memberi ganjaran ini kepada orang yang menjamu mereka yang berbuka puasa walau dengan seteguk susu, atau dengan sebiji tamar atau dengan secangkir air. Dan barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa, maka Allah memberikanya minum dari al-Haudh, iaitu minuman yang ia tidak akan dahaga sampailah ia masuk syurga. Ia adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka. Maka perbanyakkanlah pada bulan ini dengan empat perkara kebajikan. Dua perkara kamu akan mendapat keredhaan dari Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya. Adapun dua perkara yang kamu akan mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah syahadah “La ilaha illallah” dan kamu beristighfar padanya. Dan dua perkara lagi yang kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya ialah memohon syurga dan kamu meminta supaya dijauhkan daripada neraka”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no.1887) melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman. Sanad hadis ini adalah dhaif (lemah) disebabkan oleh Ali bin Zaid bin Jad ‘an. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulamak terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:
- Ibn Sa’d berkata: “Padanya terdapat kelemahan, dan aku tidak berhujah dengannya”.
- Ahmad bin Hanbal berkata: “ Tidak kuat”.
- Ibn Ma ‘in pula berkata: “Dha‘if”.
- Ibn Khaithamah berkata: “Dha‘if dalam semua perkara”.
- Ibn Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya disebabkan keburukan hafalannya”.
Ibn Abi Hatim pula di dalam kitabnya ‘Ilal al-Hadith (1/249) telah menukil pendapat ayahnya yang menyatakan bahawa hadis ini adalah “Hadis Munkar”. Pendapat ini juga disokong oleh Syiekh Muhamad Nasirudin al-Albani yang turut menyatakan bahawa hadis ini adalah Munkar.
3. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: “Berpuasalah kamu, nescaya kamu beroleh kesihatan”.
Hadis ini adalah potongan hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ (7/2521) melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”, dan al-Dhahak tidak pernah mendengar hadis ini daripada Ibn ‘Abbas.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said….. adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din (3/87): “Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang dha ‘if”.
(Salim al-Hilali, Sifat al-Saum al-Nabi fi Ramadhan, (Bierut: Dar Ibn Hazm, cetakan 7, 2001) hal. 108-112)
Inilah beberapa contoh daripada hadis-hadis yang dhaif dan maudhu’ mengenai fadhilat dan kelebihan puasa dan bulan Ramadhan yang tersebar di kalangan masyarakat. Selain daripada contoh-contoh yang telah disebutkan di atas, terdapat juga hadis-hadis dhaif dan maudhu’ lain yang menyentuh tentang fadhilat sembahyang terawih secara khusus. Antara yang termasyhur ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ali kw tentang kelebihan tertentu pada setiap malam solat terawih.
Hadis popular pada bulan Ramadhan ini yang menyebut tentang fadhilat setiap malam solat terawih ini adalah maudhu’. Ibn al-Qayyim al- Jauziyah di dalam kitabnya al-Manar al-Munif telah menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadis-hadis maudhu’ tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya (pengkajian terhadap silsilah rawi). Antara kriteria tersebut ialah apabila sesuatu hadis itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan amalan yang kecil, dan dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan yang kecil yang mana ianya tidak disebut oleh Rasulullah saw. Hal ini disebut sebagi al-Mujazafat. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif (Beirut:Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1988), hal.47)
Maka hadis ini mempunyai kriteria tersebut. Sebagai contoh, pada malam ke-17, disebutkan bahawa ganjarannya ialah Allah swt akan mengurniakan kepada orang yang sembahyang terawih pahala sekelian para Nabi. Cuba perhatikan apakah komentar Imam Ibn al-Qayyim dalam perkara ini. Beliau berkata: ((Seolah-olah pendusta yang jahat ini (pembuat hadis palsu ini) tidak mengetahui jika seseorang yang selaian daripada Nabi bersembahyang dengan umur Nabi Nuh saja, tidak akan ada seorang Nabi pun yang dapat menandinginya)). (al-Manar al-Munif, hal.46).
Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam kitabnya Kaifa Nata’mul ma’a al-Sunnah al-Nabawiyah juga telah menjelaskan bahawa terdapat 3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia terselamat dari penyelewengan dan takwilan secara jahil tentang hadis:
1- Memastikan kethabitan/kesahihan sesebuah hadis berdasarkan timbangan ilmiah oleh para ulamak hadis.
2- Memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadis.
3- Memastikan sesebuah hadis itu tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya iaitu al-Quran dan hadis-hadis lain yang lebih kuat kedudukannya.
(Al-Qaradhawi, Kaifa Nata ‘amul ma’a al-Sunnah, cet. 2, 1996, hal 33-34).
Berbalik kepada hadis popular bulan Ramadhan ini, ternyata ianya gagal untuk melepasi neraca pertama iaitu tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana ulamak hadis. Hadis ini kemungkinan direka oleh puak Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali kw yang didakwa oleh imam-imam Syi’ah bahawa beliau banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.
Hadis ini juga mungkin bertujuan memikat golongan awam yang tidak mengetahui pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipulara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam supaya giat beribadat tanpa ilmu. Inilah penjelasan yang telah diberikan oleh Syeikh Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya al-Sunnah.
Demikianlah beberapa hadis yang diutarakan di dalam tulisan ini sebagai contoh. Di sana masih terdapat banyak lagi hadis-hadis dhaif dan maudhu’ lain yang disebarkan kepada masyarakat. Tidak dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan pula dengan kajian yang dilakukan oleh manusia. Contohnya tentang kelebihan dari sudut kesihatan apabila seseorang berpuasa telah terbukti melalui kajian. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah saw. Soalnya bukan untuk menafikan kebenaran fakta tersebut, tetapi ianya untuk mengelakkan dan menghapuskan pendustaan ke atas Rasulullah saw. Jika dalam hal ini diizinkan, maka ianya akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk akan turut mencipta hadis atau berhujah dengan hadis palsu yang berkaitan dengan urusan mereka lalu disandarkan kepada Rasulullah saw. Jangan dianggap bahawa dusta ke atas Rasulullah ini sama sahaja dengan dusta yang dilakukan kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, marilah seluruh umat Islam untuk kita berhati-hati di dalam urusan agama ini. Renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibn Mubarak: “Untuk mengetahui hadis sahih memerlukan kepada penelitian,sedangkan hadis dhaif begitu mudah untuk didapati”. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa di atas kesalahan yang dilakukan disebabkan kejahilan atau kealpaan seorang manusia. Akhirnya, semoga matlamat ketaqwaan daripada ibadah puasa ini akan diperolehi dan menjadi bekalan untk menempuhi kehidupan dunia ini seterusnya mencapai kejayaan hakiki di akhirat kelak.