Friday, September 02, 2005

NISFU SYA’BAN: HENTIKAN PENYEBARAN HADIS PALSU

Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban

Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..

Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).

(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).

(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.

Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

GALAKAN BERPUASA DI BULAN SYA’BAN

Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab-Nya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan supaya manusia mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan di dalam firman-Nya:

Maksudnya: Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (al-Zaariyat: 56).

Satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak akan diterima oleh Allah, apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah Azza wa Jalla berfirman:

Maksudnya: “Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya” (al-Kahfi: 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh: ((Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tepat. Dan ikhlas itu ialah apabila ia dilakukan hanya kerana Allah Azza wa Jalla, dan tepat itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw)).

(Rujuk: Ibn Rejab, Jami’ al-ulum wa al-hikam (Beirut: Al-Maktabah al-‘Asriyah, cet. 3, 2000), hal. 15)

Bersempena dengan kedatangan bulan Sya’ban ini marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk meningkatkan ibadah kita. Namun, dalam keghairahan beribadah ini, dua syarat utama yang telah disebutkan di atas tidak harus diabaikan begitu saja. Mencontohi Rasulullah saw dalam melakukan ibadah dan dilakukan hanya semata-mata kerana Allah merupakan jalan selamat bagi memastikan ibadah yang diamalkan itu tidak sia-sia begitu saja.

Berdasarkan petunjuk Rasulullah saw melalui hadis-hadisnya yang sahih, Baginda saw memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Sya’ban ini. Hal ini berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih, di antaranya (yang bermaksud):

- Daripada Usamah bin Zaid r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sunat) di dalam bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Lalu Rasulullah saw bersabda: ((Bulan ini adalah bulan yang sering diabaikan oleh manusia iaitu bulan di antara Rejab dan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat mengadap Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa)).

(Hadis riwayat Ahmad, Nasaai dan disahihkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya, al-Munziri di dalam Sahih al-Jami’ dan Al-Albani di dalam Silsilah al-Sahihah)

- Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dua hadis di atas adalah hadis sahih dalam memperkatakan tentang kelebihan bulan Sya’ban dan menjelaskan kepada kita bahawa Nabi saw memperbanyakkan puasa (sunat) pada bulan ini. Oleh itu, memperbanyakkan amalan berpuasa sunat pada bulan ini berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah amat dituntut dan digalakkan tanpa mengkhususkan hari-hari tertentu seperti pada hari Nisfu Sya’ban sahaja dan sebagainya.

Sebaliknya amalan sesetengah orang yang mengkhususkan hari-hari tertentu pada bulan Sya’ban (contohnya Nisfu Sya’ban) untuk berpuasa adalah tidak tepat dan tidak ada sumbernya yang sahih. Malah ianya hanya berdasarkan hadis-hadis yang dhaif lagi maudhu’. Perbincangan dan penjelasan mengenai hadis-hadis dhaif tentang bulan Sya’ban ini boleh diikuti melalui artikel yang akan datang. Semoga kita semua diberikan petunjuk dan kekuatan dalam mencontohi dan menegakkan sunnah Rasulullah saw.

KHUTBAH JUMAAT KITA LESU DAN HAMBAR


Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Hari ini, serangan terhadap Islam menerusi ucapan, tulisan dan tindakan begitu banyak sekali. Gejala yang memusnahkan muda-mudi dan umat keseluruhannya begitu aktif bergerak. Mereka ini dibantu oleh media yang berbagai. Luar dan dalam negara. Paparan-paparan isu yang dilambung oleh media untuk dijadikan perbahasan atau tarikan begitu hebat dan menarik. Ramai yang terfitnah dan tertarik dengannya. Lihat sahaja iklan-iklan yang menghebahkan siaran-siaran hiburan yang merugikan umat. Hebat dan menarik hati kebanyakan muda-mudi.

Ramai yang cintakan Islam mengeluh; macamana boleh diatasi perkara ini?!!. Kata mereka: “Kita tidak ada media yang kuat dan berpengaruh untuk membuat penerangan balas yang menarik dan dapat didengar oleh muda-mudi”. Kuliah di masjid? , kata mereka: “Mana ada muda-mudi yang mahu dengar sangat kuliah-kuliah di masjid?!!”.

Saya katakan, ini kurang tepat. Saya banyak juga beri kuliah di masjid-masjid. Saya lihat sambutan golongan muda begitu baik. Bahkan jumlah mereka kebiasaannya melebihi golongan berumur. Mereka begitu tekun dan bersemangat. Soalan-soalan mereka dalam kuliah juga ‘canggih-canggih’. Soalan-soalan itu biasanya mewakili cara fikir generasi baru dan menggambarkan keluasan pembacaan dan pengetahuan mereka tentang berbagai fakta. Saya rasa sangat dekat dengan mereka. Mungkin kerana umur saya yang hampir sebaya dengan mereka, atau kerana berbicara dengan bahasa yang mewakili generasi kini dan kehidupan hari ini, Alhamduli Allah. Tiada sebarang kelebihan pada saya. Cuma saya ada hasrat ingin berjalan menuju hidayah bersama mereka. Mereka mengingatkan saya apa yang tersilap dan tersalah dan demikian sebaliknya. Saya mungkin sedikit sebanyak memahami dalil, tetapi belum tentu betul-betul memahami realiti semasa. Mereka datang dari berbagai latarbelakang dan bidang. Mungkin mereka lebih memahami apa yang saya tidak faham. Mereka membantu saya di sudut itu. Saya wajar bertanya khabar dari mereka. Ini kerana hujah dan dalil syarak kadang-kala wajar diambil kira percaturan semasa. Agar Islam dapat menyelesaikan kekusutan hari ini.
Justeru itu, saya ingin mengajak agar kuliah-kuliah agama hendaklah bersifat ilmiah dan menghuraikan keperluan semasa. Wajarkah kita yang memberi kuliah untuk generasi yang serba canggih ini dengan cerita-cerita kartun tentang wali-wali yang kebanyakannya karut dan khurafat, isu-isu yang tidak wujud di zaman ini dan menggunakan pula bahasa melayu lama sanskrit seperti yang digunakan dalam bahasa jawi lama??!!. Generasi muda bukan menolak agama, tetapi menolak pendekatan yang digunakan lalu melarikan diri. Bahkan ada pengajian di masjid yang berbau khurafat dan fiqh yang membebankan.

Apa yang ingin saya fokuskan dalam tulisan ini ialah, sebenarnya kita masih mempunyai saluran yang sangat kuat dan berpengaruh jika digunakan dengan baik. Saluran itu ialah Khutbah Jumaat. Khutbah Jumaat adalah suatu kesempatan yang baik. Ada orang yang tidak solat lima waktu, tetapi hadir juga solat Jumaat. Mungkin malu kepada kawan-kawan. Apabila mereka hadir solat Jumaat, mahu tidak mahu mereka terpaksa dengar khutbah. Dengan itu, Khutbah Jumaat didengari oleh kebanyakan orang. Kaki mengaji, bukan kaki mengaji, yang rajin bersolat, yang solat ‘celup-celup’ dan kaki ponteng solat turut mendengarnya. Khutbah Jumaat adalah saluran utama yang dengannya boleh disampaikan banyak perkara.

Malangnya, banyak khutbah di Malaysia yang tidak berkualiti, hambar dan tidak menyentuh keperluan umat. Di sesetengah negeri, semua masjidnya membaca khutbah yang sama. Khutbah-khutbah itu telah siap disediakan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Khatib-khatib bagaikan ‘VCD player’ yang memainkan semula perkara yang sudah siap tanpa sebarang penambahan. Jika ada bunyian tambahan, ia dianggap rosak dan ‘pihak berkenaan’ akan datang baiki, atau tukar yang baru. Macam juga inti khutbah yang disediakan. Jika ditambah dianggap salah. Jika dibuat yang baru, lebih dianggap salah kerana cuba menyaingi pasaran. Maka khatib tidak dapat menegur dan mengulas isu tempatan, padahal ia perlu diingatkan jamaah di sekitarnya.

Jika inti khutbah itu menyentuh keperluan umat tidak mengapa. Apa yang mendukacitakan apabila ia terbabas dari keperluan umat. Sedangkan waktu tersebut adalah peluang terbesar untuk membaiki umat, khususnya muda-mudi. Apa tidaknya, di sebuah negeri, ketika umat Iraq dibom secara ganas dan dunia membantah kekejaman Amerika, khutbah yang dibaca pada Jumaat tersebut mengenai ‘tanggungjawab terhadap warga emas’. Ketika kemarahan umat Islam membuak-buak dalam isu pembunuhan Ahmad Yasin, khutbah membicarakan tentang fadilat-fadilat tertentu yang disokong oleh hadith-hadith palsu. Seketika khutbah Jumaat di sebuah negeri membicarakan tentang ‘tanggungjawab menjaga kebersihan sungai’. Lebih menarik, oleh kerana khutbah diselaraskan, di kawasan industri dibaca mengenai ‘tanggungjawab tanaman padi’. Sedangkan masalah umat bertimbun. Jiwa mereka yang lemah perlu dibangunkan. Semangat dakwah kepada Islam perlu dihidupkan. Isu-isu semasa umat Islam seperti Palestin, Iraq, bahaya Islam Liberal, hiburan tanpa sempadan, media yang merosakkan dan berbagai-bagai lagi perlu diperkatakan. Tidakkah mereka pernah mendengar hadith RasululLah s.a.w yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim dalam Kitab al-Jumu‘ah daripada Jabir bin ‘Abd Allah: “RasululLah itu ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, tegas marahnya seakan dia memberi amaran kepada suatu pasukan tentera”.

Khutbah mesti dibaca dengan semangat yang bersesuaian dengan inti kandungan khutbah. Jika tidak, khutbah menjadi waktu ‘rehat sambil duduk’ untuk melelapkan mata sementara menunggu iqamah. Apatah lagi waktu itu memang sedap kalau mahu tidur. Dengan khutbah yang tidak bernas dan tidak bermaya itu, maka para hadirin Jumaat bagaikan ‘orang mengantuk disurungkan bantal’. Khutbah yang longlai itu bagaikan bantal empuk untuk tidur sekejap menunggu solat. Inilah yang banyak berlaku sekarang. Golongan muda, bahkan orang berumur pun kurang memberi perhatian kepada isi khutbah yang ada. Ini kerana isinya yang tidak menarik perhatian pendengar dan kurang menyentuh keperluan umat. Ditambah dengan sesetengah masjid suara khatibnya pun antara tenggelam dan timbul. Lebih buruk lagi, ada yang tergagap-gagap dengan berbagai kesalahan bacaan.

Saya kadang-kala membayangkan ‘mungkin penulis-penulis khutbah ini berada di suatu kawasan pergunungan yang terputus hubungan dengan umat, lalu diperintahkan pula mereka menulis khutbah. Dari sana mereka mengirimkan kepada sesiapa yang turun ke bawah untuk diposkan ke pejabat yang memerlukan khutbah-khutbah itu. Dengan pos biasa, barang kali sebulan kemudian khutbah itupun sampai. Pegawai yang asyik membaca akhbar dan minum kopi bersama kawan sehingga banyak kes talak tertangguh, membukanya lima hari kemudian. Untuk ditaip dan disampaikan ke masjid-masjid, barangkali mengambil masa lagi sebulan. Kalau pun ada sedikit isi khutbah yang menyentuh umat melalui khabar yang dibawa oleh angin ke gunung, barangkali yang sedikit itu sudah luput tarikhnya..

Saban minggu kita telah menghilangkan peluang keemasan membentuk remaja, golongan muda dan umat keseluruhannya. Secara tidak langsung kita membunuh fungsi masjid. Ketika menafsirkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: (bermaksud) “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”, al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dalam tafsirnya, Ahkam al-Quran : “Merobohkan masjid ialah menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian mereka” (jld. 1, m.s. 51).

Kata al-Imam as-Syaukani dalam Fath al-Qadir pula: “Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya. Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya...ia juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” (jld 1, m.s. 144, Beirut: Dar Khair).

Kita memang tidak merobohkan tiang masjid. Tidak juga merosakkan bangunannya. Namun cara kita menguruskan masjid menjadikan masjid tidak berfungsi sepenuhnya, lesu, dan tidak dicintai oleh generasi baru, bahkan generasi tua juga. Masjid akhirnya, ada yang hanya jadi sekadar kelab orang pencen berkumpul selepas maghrib. Lebih ‘hodoh’ ada masjid yang menyediakan bekas rokok untuk ‘perokok-perokok masjid’ merokok di kaki lima masjid, atau ‘balai menunggu’ masjid sementara menanti iqamat. Jika semua ‘tempat-tempat terhormat’ seperti pejabat kerajaan, airport dan lain-lain tidak diizinkan merokok, apakah masjid lebih rendah nilainya dari semua tempat-tempat itu sehingga boleh dihisap ‘benda haram’ tersebut dalam kawasannya?!! Begitulah jadinya jika yang menguruskannya bukan mereka yang benar-benar fungsi. Generasi muda makin menjauhkan diri. Allah berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 18: (bermaksud) “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

Di dalam Al-Zilal disebut: “Dinyatakan mengenai ketakutan hanya kepada Allah semata tiada pada yang lain, selepas syarat iman yang batin dan amal yang zahir, bukanlah sekadar galakan. Sebaliknya, mestilah hanya menyerah diri kepada Allah semata. Mestilah melepaskan dari segala bayangan syirik dalam perasaan dan perbuatan. Takut selain dari Allah adalah sejenis syirik khafi (tersembunyi) yang di sini diperingatkan oleh nas demi menjadikan iktikad dan amal semua untuk Allah, ketika itu layaklah orang mukminin memakmurkan masjid-masjid Allah” (jld. 3 m.s 1614, Mesir, Dar as-Syuruq). Dalam al-Tafsir al-Munir pula disebut: “Tidak takut dalam perkataan dan perbuatannya selain Allah sahaja, tidak selainnya sama ada berhala dan para pembesar yang pada hakikatnya tidak memberi manfaat dan mudarat. Sesungguhnya manfaat dan mudarat itu hanya di tangan Allah” (jld 10, m.s. 128, cetakan Dar al-Fikr, Beirut ).

Pengurusan masjid yang takutkan Allah akan menghidupkan fungsi sebenar masjid. Al-syeikh Dr. Mustafa as-Siba`i dalam kitabnya menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid dengan katanya: “Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid di dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukan dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid di dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Pada masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi. Keistimewaan lain bagi masjid di dalam Islam ialah setiap minggu dilaungkan kalimat yang benar menerusi lidah khatibnya, padanya dibantahi kemunkaran dan diseru yang makruf, atau seruan kepada kebaikan, atau mengingatkan yang lalai, atau dakwah kepada kesatuan, atau bantahan terhadap yang zalim dan amaran kepada yang thaghut…Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan, al-Maktab al-Islami).

Kata al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah: “Demikian itu Masjid Nabawi (di zaman Rasulullah s.a.w.), ia telah memberikan khidmat agama, ilmu, kemasyarakatan dan politik. Maka hendaklah diingati tentang kedudukan masjid di dalam Islam seperti mana yang kami sebutkan” (Abu Syahbah, al-sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-sunnah, jld 2, m.s. 3, Damsyik, Dar al-Qalam).

Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.: [b]“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencukupi dalam berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan”
( Dirasah fi al-sirah m.s. 149 Beirut: Dar an-Nafais).

Begitulah sepatutnya masjid berfungsi. Begitu sepatutnya khutbah Jumaat berperanan. Demi kebaikan umat Islam, khutbah Jumaat dan masjid hendaklah kembali kepada fungsinya. Jika tidak, generasi baru akan lebih gemar ke tempat hiburan yang terlarang yang seluruh fungsi kemaksiatan dihidupkan, dari menuju ke masjid-masjid Allah yang dibunuh sebahagian fungsi ketakwaannya.