Thursday, May 18, 2006

Pendapat para ulamak tentang Syeikh Muhammad bin Abd Wahab dan perjuangannya.

1. Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi telah menyatakan pandangannya terhadap Syeikh Muhammad bin Abd Wahab di dalam beberapa buah kitab, antaranya:

a) Fiqh al-Awlawiyat:

“Al-Imam Muhammad bin Abd Wahab yang berada di semenanjung tanah Arab telah menjadikan Aqidah sebagai keutamaan disisinya, bagi memelihara tauhid daripada unsur-unsur syirik dan khurafat yang mencemarkan kesuciannya. Dia telah mengarang beberapa buah kitab dan risalah-risalah tentang perkara ini. Dengan kemampuannya, dia telah menggerakkan dakwah dan amal dalam memusnahkan segala gambaran-gambaran syirik”.

b) Thaqafat al-Daa‘iyah:

“Hendaklah diberi perhatian kepada gerakan-gerakan pembaikan dan tajdid yang telah tercatat di dalam sejarah Islam, dan dengan tokoh-tokoh gerakan tajdid yang telah dibangkitkan oleh Allah di kalangan umat ini dari masa ke semasa bagi melakukan tajdid terhadap agamanya, tidak kira dari latar belakang mana sekalipun mereka itu. Di antara mereka ialah para khulafa’ seperti Umar bin Abd al-Aziz, atau dari kalangan raja dan pemerintah seperti Nur al-Din dan Salah al-Din, atau para fuqaha’ dan pendakwah seperti al-Syafie, al-Ghazali, Ibn Taimiyah dan Ibn Abd al-Wahab. Dan yang dikatakan mujaddid itu boleh jadi samada individu tertentu atau sebuah jamaah atau pusat pengajian yang jelas nyata tujuannya di dalam melakukan pembaikan…”

c) Haqiqat al-tauhid: Di dalam kitab ini Syeikh Yusof al-Qaradhawi telah menggelarkan Syeikh Muhammad bin Abd Wahab dengan gelaran “Syeikh al-Islam”.

d) Al-Sahwat al-Islamiyah, di bawah tajuk Harakat al-Tajdid wa al-da’wah wa atharuha fi al-sahwat, al-Qaradhawi berkata:

“…sesungguhnya kebangkitan ini merupakan pembaharuan kepada gerakan-gerakan Islam dan pusat-pusat pemikiran dan amal yang telah didirikan sebelum ini, sebahagiannya telah lenyap dan sebahagiannya masih wujud berdiri dengan bentuk yang sama atau bentuk yang lain sehingga ke hari ini. Gerakan-gerakan ini telah didirikan oleh para tokoh yang benar. Masing-masing berusaha untuk melakukan pembaharuan (tajdid) agama atau menghidupkan kembali Ummah di satu tempat yang tertentu atau di banyak tempat daripada tanah air Islam…Sejarah telah mencatatkan bahawa di antara mereka itu ialah mujaddid kepulauan tanah arab, pencetus kepada da’wah salafiyah, tokoh keluaran madrasah Hanbali, iaitulah Syeikh Muhammad bin Abd Wahab yang mana Daulah Saudi telah didirkan di atas asas da’wahnya”.

2. Pandangan Syeikh Muhammad Qutb di dalam kitabnya “Halummu nakhruj min al-zhulumat”:

“Sesungguhnya kebangkitan yang benar lagi sejati itu tidak dapat dimasuki oleh unsur-unsur kristianisas, maka sesungguhnya gerakan Syeikh Muhammad bin Abd Wahab ialah satu berita gembira yang hakiki kepada kebangkitan Ummah ini daripada kelalaiannya…”

“Sesungguhnya gerakan yang telah dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abd Wahab bagi menjernihkan kembali aqidah adalah satu gerakan yang hakiki dalam menggerakkan kebangkitan dunia Islam…”

Di dalam kitab “Kaifa naktub al-tarikh al-islami” Syeikh Muhammad Qutb menyatakan bahawa:

“Manusia menyangkakan bahawa Islam ini telah berakhir dengan berakhirnya Daulah Umawiyah, zamannya telah tamat dengan tamatnya zaman Abbasi, dan akhirnya manusia juga menyangkakan bahawa Islam ini telah lenyap dengan lenyapnya zaman Khilafah Uthmaniyah dan jadilah Islam itu sebahagian daripada lagenda sejarah…tetapi semua sangkaan mereka ini tidak benar sama sekali. Islam tidak akan berakhir dalam mana jua keadaan getir yang dihadapinya, walaupun keadaan getir yang melanda tersebut seolah-olah telah menghancurkannya. Ini kerana Allah swt telah menetapkan bahawa Islam ini akan terus kekal di atas muka bumi ini sehingga hari Qiamat…dan di antara penyebab yang dijadikan Allah bagi mengekalkan Islam ini setelah menghadapi suasana getirnya ialah dengan kebangkitan Islam. Benarlah bahawa gerakan utama kepada kebangkitan ini ialah gerakan Syeikh Muhammad bin Abd Wahab di kepulauan tanah Arab…”

3. Pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam kitabnya “al-Da’wah al-Islamiyah tastaqbil qarnuha al-khamis ‘asyar” :

“…sesungguhnya kami menyatakan bahawa satu-satunya gerakan yang telah membangkitkan kembali umat Arab bagi memperbaiki semula aqidah dan ibadah dan yang seumpama dengannya daripada segala bentuk penyelewengan…yang kami maksudkan ialah gerakan pembaharuan yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abd Wahab di kepulauan tanah Arab…”

Di dalam kitabnya “Mi ‘ah sual ‘an al-Islam”, Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: “Syeikh Muhammad bin Abd Wahab telah mengangkat syiar Tauhid, dan benarlah yang dia telah melakukannya. Dia telah mendapati dirinya berada di dalam suasana yang mana kubur disembah, mereka memohon kepada yang telah mati perkara-perkara yang tidak boleh dipohon kecuali daripada Allah swt…”

4. Pandangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya “Taathur al-da’wat al-islahiyah al-Islamiyah bida’wah al-Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“Sesungguhnya yang paling jelas suara kebenarannya, yang paling besar seruan ke arah pembaikan, dan jihad bagi mengembalikan keperibadian Islam dengan berpegang kembali dengan manhaj salaf al-saleh ialah da’wah Syeikh Muhammad bin Abd Wahab pada kurun ke-12 hijrah, bagi melakukan pembaharuan (tajdid) terhadap suasana kehidupan Islam, selepas didapati berlakunya ditengah masyarakat pelbagai khurafat, bid’ah dan penyelewengan. Maka Ibn Abd Wahab adalah benar, seorang ketua kepada kebangkitan dan pembaikan agama yang ditunggu-tunggu, yang telah membetulkan semula neraca aqidah Islam dan menjelaskan hakikat tauhid yang suci kepada Allah Azza wa Jalla…”.

5. Pandangan Syeikh Ali al-Tantawi di dalam kitabnya “Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“…manusia beri’tiqad segala manfaat dan mudharat bergantung kepada Rasul dan para solehin, dengan kubur dan pokok-pokok, mereka memohon daripadanya segala hajat, mereka mengembalikan urusan mereka dikala kesusahan kepadanya, bernazar dan menyembelih kepadanya dan mereka sangat membesarkan orang yang telah mati…Dalam suasana begini, muncullah Muhammad bin Abd Wahab rahimahullah…dan Allah mengkehendaki baginya kebaikan, maka ditaqdirkan bahawa dialah di antara salah seorang yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah sesungguhnya mereka itu diutuskan bagi melakukan tajdid terhadap agama, dan Allah telah menetapkan bahawa di tangannyalah bumi Najd ini telah kembali kepada tauhid yang sahih dan al-din yang benar, dan kembali wujudnya kesatuan selepas daripada perselisihan dan perpaduan selepas daripada perpecahan…”

6. Pandangan Syeikh Muhammad Abduh terhadap Syeikh Muhammad bin Abd wahab seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Hafiz Wahbah di dalam kitabnya “50 ‘aam fi jazirat al-arab”, bahawa Syeikh Muhammad Abduh semasa sessi mengajar di al-Azhar telah memuji Syeikh Muhammad bin Abd Wahab, dan dia telah menggelarkannya sebagai “refosmis yang agung”.

7. Pandangan Al-Sayyid Muhammad Rasyid Ridha di dalam muqaddimah kitab “Siyanat al-insan”:

“Setiap kurun daripada kurun-kurun yang banyak berlaku padanya perkara-perkara bid’ah tidak akan pernah sunyi daripada ulamak rabbani; yang melakukan tajdid terhadap umat ini urusan agama mereka dengan melakukan da’wah, pengajaran dan contoh ikutan yang baik, dan (ia juga tidak akan sunyi) daripada mereka yang adil yang melakukan penentangan terhadap penyelewengan golongan yang melampau, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwil golongan yang jahil, seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Sesungguhnya Syeikh Muhammad bin Abd Wahab al-Najdi adalah dari kalangan mereka yang adil, mujaddid yang telah bangun menyeru ke arah pemurnian tauhid dan ikhlas beribadah hanya kepadaNya, dengan apa yang telah disyariatkan di dalam kitabNYa dan daripada lisan Rasulnya saw dan seruan ke arah meninggalkan segala perkara bid’ah dan maksiat serta menghidupkan semula syiar Islam yang telah ditinggalkan…”

8. Pandangan Syeikh Muhammad Abu Zahrah:

“Munculnya gerakan al-wahabiyah di tengah-tengah bumi sahara arab ini merupakan tindak balas daripada sikap melampau dalam memuliakan tokoh-tokoh tertentu dan mengambil berkat daripada mereka, begitu juga dengan menziarahi mereka dengan tujuan ingin menghampirkan diri (taqarrub) kepada Allah. Ia juga merupakan kesan daripada tersebarnya banyak amalan bid’ah yang bukan daripada agama, yang mana ia berlaku ketika musim-musim tertentu yang ada kaitan dengan agama dan dalam amalan-amalan keduniaan. Maka datanglah gerakan al-wahabiyah untuk menentang semua ini dan menghidupkan kembali mazhab Ibn Taimiyah”.

9. Pandangan Dr. Taha Hussain:

“Gerakan ini, iaitu gerakan al-wahabiyyin yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abd Wahab, seorang alim daripada ulamak Najd…sesungguhnya gerakan ini baru tetapi hakikatnya telah lama, ia baru jika dinisbahkan kepada generasi terkemudian ini, tetapi ia telah lama kerana seruannya tidak lain tidak bukan kecuali kepada Islam yang tulen, suci dan bersih dari sebarang unsur syirik dan penyembahan yang lain. Ia adalah da’wah kepada Islam seperti mana yang telah dibawa oleh Nabi saw tulus suci hanya kerana Allah dan menghapuskan semua perantaraan di antara manusia dan Allah…”

10. Pandangan Syeikh Salman bin Fahd al-Awdah di dalam kitabnya “Jazirat al-islam”:

“Sesungguhnya di semenanjung tanah Arab ini terdapatnya ilmu, para ulamak, tajdid dan para mujaddid yang merentasi setiap zaman. Kebanyakan ahli ilmu pula terdapat di Makkah atau pun Madinah. Sedikit sekali untuk di dapati orang alim kecuali mereka berada di bumi Makkah atau Madinah ini. Mudah-mudahan kesudahan yang baik ialah da’wah yang telah dilakukan oleh mujaddid Muhammad bin Abd Wahab rahimahullah yang telah dikurniakan Allah kepada bumi Arab ini dan menghidupkan (tajdid) kembali agama di bumi ini”.

11. Pandangan Prof. Dr. Hafiz Wahbah di dalam “Jazirat al-Arab fi al-qarn al-‘isyrin”:

“Syeikh Muhammad bin Abd Wahab itu bukanlah nabi seperti yang diangap oleh Neibhar al-Denmarki, tetapi dia adalah seorang refosmis dan mujaddid yang menyeru supaya kembali kepada agama yang benar. Syeikh Muhammad tidak mempunyai ajarannya yang khas, tidak juga pendapatnya yang tersendiri tetapi setiap apa yang diamalkan di bumi Najd itu apa yang telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, dan di dalam perkara aqidah pula dia mengikuti fahaman yang telah dibawa oleh golongan salaf soleh dan menentang sesiapa yang bercanggah dengannya. Pegangan aqidah dan ibadah yang mereka paraktikkan adalah sama seperti mana yang ditulis oleh Ibn Taimiyah dan anak-anak muridnya di dalam kitab-kitab mereka…”

Pandangan oreintalis dan penulis barat terhadap Syeikh Muhammad bin Abd Wahab dan perjuangannya.

1. Henry Laust (oreintalis Perancis):

“Gelaran al-Salafiyah juga diberikan kepada gerakan al-Wahabiyah. Ini kerana gerakan ini mahu mengembalikan Islam seperti mana keadaannya di zaman para salaf soleh. Tetapi kalimah al-salafiyah tidaklah dikhususkan kepada gerakan al-Wahabiyah atau al-Hanabilah sahaja. Maka setiap aliran sunnah (yang berjuang menegakkan sunnah) mereka itulah salafiyun”.

(Tarikh al-Bilad al-Arabiyah al-Saudiyah- al-‘Ajalani 1/351)

2. L. Steward , seorang penulis Amerika menulis di dalam bukunya “Hadhir al-‘Alam al-Islami”:

“Sesungguhnya da’wah al-Wahabiyah adalah da’wah ke arah pembaikan yang amat suci lagi tulen. Tujuannya adalah untuk membaiki keadaan yang telah rosak, memadamkan segala syubhat, memusnahkan segala kekeliruan dan menghapuskan semua tafsiran-tafsiran yang pelbagai dan saling bercanggah yang mana ia telah dilakukan oleh ahli-ahli agama pada zaman pertengahan Islam serta membersihkan semua bid’ah-bid’ah dan ibadat para wali (yang melampau). Kesimpulannya ia adalah seruan kembali kepada Islam yang tulen…”

3. Snock Horgronje, seorang Kristian dan oreintalis Holand berkata:

“Telah muncul di timur semenanjung tanah Arab seorang reformis untuk Islam (Syeikh Muhammad bin Abd Wahab)…dan sesungguhnya Syeikh Muhammad bin Abd Wahab sangat beriltizam dengan seruan ke arah pembaikan (islah) dan inilah yang dijadikan matlamat da’wahnya. Dia senantiasa dipandu oleh perasaan ikhlas di dalam perkataan dan amal. Dengan itu percakapan dan penulisannya menjadi mudah, di samping bantuan kekuatan pengaruh Ibn Saud dan pedangnya, yang dengan itu terbinalah gerakan islah ini”.

4. Armanu (oreintalis Sepanyol) berkata:

“Sesungguhnya setiap apa yang dikaitkan dengan al-Wahabiyah daripada tohmahan dan pembohongan adalah tidak benar sama sekali. Al-Wahabiyah adalah satu golongan yang ingin mengembalikan Islam seperti mana di zaman para sahabat ((Muhammad saw)).

(Dipetik dari buku “al-Islam”, tulisan oreintalis Itali, Leibritini)

5. Seorang oreintalis Inggeris, di dalam kitab “al-Muhammadiah” telah menulis: “Di semenanjung tanah Arab, pada tahun 1157 H / 1744 M, Muhammad bin Abd Wahab bersama pemerintah dari keluarga Saud telah bangun menggerakkan da’wah ke arah mazhab al-Hanbali yang telah dimulakan usaha ini oleh Ibn Taimiyah pada kurun ke-14”.

Rujukan utama: Prof. Dr. Nasir bin Abd al-Kareem al-‘Aql, Islamiyah La Wahabiyah (Riyadh: Dar Kunuz Ishbiliya, cet. 1, 2003).

Larangan Duduk Di Atas Kubur

Abd al-Razzaq A.Muthalib

Pada zaman permulaan Islam, syariat Islam telah melarang amalan menziarahi kubur. Ini bagi mengelakkan sebarang kepercayaan atau amalan-amalan karut yang diamalkan samasa zaman Jahiliyyah dilakukan semasa menziarahi kubur. Tetapi setelah asas pemahaman aqidah diterapkan oleh Rasulullah saw, larangan ini telah dihapuskan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

-Dari Ali ra berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat)). (Hadis riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

-Dari Abu Said al-Khudri berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia kerana padanya ada pengajaran)). (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jelaslah bahawa amalan menziarahi kubur ini dapat mengingatkan kita tentang kematian dan negeri akhirat yang padanya mempunyai pelbagai pengajaran dan menimbulkan keinsafan. Namun begitu, keizinan menziarahi kubur ini tetap juga tertakluk kepada beberapa adab dan peraturan lain yang perlu dipatuhi. Ini kerana menziarahi kubur ini merupakan ibadah dan sesuatu ibadah yang dilakukan mestilah bersih dari segala unsur-unsur syirik, khurafat dan bid’ah. Justeru, ia mesti dilakukan berpandukan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Di antara larangan yang perlu diberi perhatian semasa kita menziarahi kubur atau mengebumikan jenazah ialah tidak duduk di atas kubur. Larangan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah saw. Antaranya ialah:

-Daripada Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)). (Hadis Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

-Daripada Abu Marthad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya)). (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, al-Tirmizi)

Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).

Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur…dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunnah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunnah ialah menziarahi kubur dan berdoa disisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur, dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)

Menurut al-Imam al-San ‘ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan menggangu mayat ialah duduk di atas kuburnya, ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah saw melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: ((Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini)).

Kemudian al-San ‘ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pandapatnya: “Semua dalil-dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: ((Jangan kamu mengganggu penghuni kubir ini)) menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata)) ( Surah al-Ahzab:58)

(Rujuk: Al-San ‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

Syiekh Mohamad Soleh ibn al-Uthaimin ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi saw bersabda: ((Sekiranya salah seorang diantara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)), dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A’nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

Kesimpulannya, amalan menziarahi kubur merupakan suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ianya dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan. Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah. Senantiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Tuhan.

Wednesday, May 17, 2006

Yasin sebagai Qalbul-Quran

Telah menjadi menjadi sesuatu yang masyhur di kalangan orang awam, mereka selalu membaca hadis : Inna likulli syai-in qalban wa -qalbul quraan yaasiin."Maksudnya,"Bagi setiap sesuatu itu ada hatinya, hati bagi al-Quran ini ialah Yasin."Hadis ini sebenarnya diriwayatkan oleh al-Imam at -Tirmizi, dengan beliau mengingatkan bahawa di dalam sanad ataupun rangkaian para periwayat hadis ini ada seorang yang bernama Harun bin Abi Muhammad, syaikhul majhul-seorang yang tidak dikenali.

Para penganalisa hadis yang terdiri di kalangan para ulamak hadis menyemak sanad dan riwayat hadis ini dan menyimpulkan bahawasanya hadis ini adalah hadis yan palsu. Ini seperti yang disebut oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (rahimahullahu Ta'ala) di dalam kitabnya Silsilatul Ahadithi al-Maudhu' ah wad-Dha'ifah. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya hadis ini adalah palsu.

Kita hendaklah ingat bahawasanya hadis palsu adalah haram diriwayatkan oleh seseorang melainkan hendaklah diterangkan tentang kepalsuannya.Ini seperti yang disebut oleh Imam Ibnus Solah di dalam kitabnya yang masyhur berhubung dengan ilmu hadis, yang dikenali sebagai 'Muqaddimah Ibnus Solah'. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya haram seseorang meriwayatkan hadis palsu melainkan hendaklah diterang tentang kepalsuannya.


Hadis-hadis palsu ini muncul kerana seseoarng menyandarkan kepada Nabi SAW apa yang baginda tidak ucapkan. Mereka mengada-ngada dan mereka-reka ucapan -ucapan nabi ataupun pebuatan Nabi yang tidak sama sekali pernah dilakukan oleh Rasullullah SAW .Ulamak-ulamak hadis mengesan kepalsuan mereka, mengesan para periwayat yang memalsukan hadis ini. Inilah kepentingan ilmu hadis. Baginda SAW memberi amaran tentang akan berlakunya pemalsuan hadis pada akhir zaman. Kata baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (dalam Muqaddimahnya)


Maksudnya " Akan datang pada akhir zaman golongan dajjal dan pendusta, mereka akan membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah didengari oleh kamu dan emak bapa kamu. Hendaklah kamu berhati-hati dengan mereka.
Inilah keadaan yang paling bahaya,dimana Rasullullah memberi amaran ,kata Baginda:

"Sesungguhnya dusta kepadaku tidak sama dengan dusta kepadakudengan sengaja maka siap tempat duduknya di dalam api neraka."

Dalam sejarah pemalsuan hadis , ada beberapa golongan yang terlibat memalsukan hadis. Mereka sebahagian besarnya ialah golongan zanadiqah, iaitu mereka yang menzahirkan Islam sedangkan hati dan sanubari mereka memusuhi agama .Mereka ini merekai hadis-hadis yang akan mencemarkan kesucian agama, mencemarkan Rasul SAW.

Di sebelah pihak yang lain golongan yang mereka hadis ialah golongan zuhhad, iaitu golongan yang cuba safkan diri mereka kepada kerohanian dan kesufian . Mereka kononnya ingin mengajak orang supaya lebih mendekati agama, dengan mereka hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh Nabi.
Antara fokus rekaan mereka ialah hadis yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah, yang membabitkan berbagai-bagai surah. Ini yang seperti dilakukan oleh Abu Ismah Nuh al-Jami' yang mereka hadis-hadis berhubung dengan fadhilat surah, konon katanya "Sesungguhnya aku merekanya disebabkan untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran, kerana mereka terlalu tertumpu kepada sirah-sirah Nabi SAW .Dia melupai perbuatannya itu adalah perbuatan yang haram dan menjerumuskan dia ke dalam api neraka.

Maka dengan itu hendaklah kita mengambil pengajaran dan pengiktibaran-janganlah kita memudahkan -mudahkan dalam membaca sesuatu hadis terutama yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah. Hendaklah terlebih dahulu kita merujuk kepada ahli-ahli dan pakar dalam bidang hadis, atau merujuk kepada huffaz iaitu orang-orang yang menguasai bidang hadis yang terdiri daripada para ulamak silam dan para pengkaji hadis yang menguasai bidang ini , sepertimana yang disebut oleh Syeikh Syu'ib al-Arna'ud (ketika mentahqiqkan kitab besar oleh Imam Zahabi), katanya, "Tidak halal bagi seseorang meriwayatkan hadis-hadis Nabi, melainkan hendaklah dipastikan terlebih dahulu daripada huffaz bahawasanya hadis itu kedudukannya adalah thabit, iaitu pasti daripada Nabi SAW."

(oleh Dr.Mohd Asri Zainul Abidin)