Tuesday, September 05, 2006

“Seminar Asya’erah” di UIA mendapat pukulan hebat!!!


Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurnian Pemikiran Islam 2006 iaitu Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM di atas “kejayaan” yang gilang gemilang menganjurkan seminar ini. Seminar yang dijalankan selama dua hari (2 & 3 September) ini dikatakan telah menghimpunkan banyak “tokoh-tokoh” ulamak dari Arab Saudi, Mesir dan Jordan – tetapi minta maaf kerana penulis kurang mendengar kemasyhuran tokoh-tokoh ini- sehinggakan ia dapat menarik minat ramai peserta untuk menyertainya. Berdasarkan pemerhatian rambang penulis, jumlah peserta yang hadir ialah lebih kurang 500 orang lebih (termasuk urusetia dan ada pihak-pihak yang dikehendaki untuk menghantar wakil).

Melihat kepada tajuk seminar ini, membuatkan penulis berasa berminat untuk menyertainya. Rupanya persamaan ini dikongsi bersama oleh beberapa lagi rakan penulis yang sempat ditemui. Harapan kami semoga kami dapat tahu bagaimana untuk menyatupadukan kembali ummah ini dan apakah anasir-anasir kotor yang terdapat di dalam pemikiran umat Islam yang perlu dimurnikan. Rupa-rupanya penulis dan ramai lagi peserta ibarat bermimpi di siang hari dan bagaikan pungguk rindukan bulan. Ternyata seminar ini hanya indah khabar dari rupa. Manakan tidaknya, mendengar saja kertas kerja yang dibentangkan dan isi perbincangannya, tidak menggambarkan tajuk sebenar seminar ini. Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan ialah Bid’ah, Kebatilan Pembahagian Tauhid Kepada Tiga (Rububiyah, Uluhiyah, Asma’ wa Sifat), Hukum-hakam Kubur, Pandangan al-‘Asyaerah dan al-Maturidiah terhadap konsep al-Tafwidh dan al-Takwil, Salafi: Dulu dan Kini serta Implikasinya Terhadap Perpecahan Ummah, Kaedah Usul: Perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw tidak menatijahkan suatu hukum.

Terang lagi bersuluh bak cahaya matahari di siang hari. Seminar ini bertujuan untuk “menyerang” dan menyekat aliran yang giat berkembang di kalangan generasi muda dan cerdik pandai di bumi Malaysia, iaitulah aliran tajdid yang ingin kembali kepada pemahaman dan pengamalan Islam seperti mana yang difahami oleh golongan sahabat dan para tabiien, berdasarkan manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Sebelum terlupa, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan sangat kagum di atas kesungguhan pihak penganjur menjemput penceramah dari negara arab semata-mata untuk mengatakan bahawa pembahagian tauhid kepada tiga adalah batil. Untuk menjadikan usaha pihak penganjur ini tidak menjadi sia-sia dan membazir duit sahaja, penulis ingin mengemukakan satu cadangan terutamanya kepada Pengurus Masjid UIA merangkap Pengarah Seminar ini. Penulis mencadangkan dan mencabar Pengarah seminar ini –jika berani- supaya mengarahkan pihak Kuliyah Ilmu Wahyu, UIA merombak kembali silibus matapelajaran aqidah, jika benar pembahagian tauhid kepada tiga ini adalah batil. Ini kerana, perkara inilah yang diajar oleh pensyarah di Kuliyah ini. Jika ia batil, penulis amat bimbang kerana ia melibatkan masalah aqidah para pelajar. Penulis dan ramai lagi rakan-rakan setia menunggu tindakan berani daripada pihak penganjur. Lagi pun, pejabat Masjid UIA tidaklah jauh sangat dengan Kuliyah Ilmu Wahyu.

Apakah niat “murni” pihak penganjur tercapai dan terlaksana? Pada hemat penulis, mereka telah silap memilih tempat. Mereka mungkin menyangka, cuaca baik di negeri Pahang boleh dibawa terus ke negeri Perlis, tetapi rupanya ribut taufan yang telah malanda di UIA. Jika di Pahang, para pembentang boleh berceramah dengan hati yang ceria tanpa gundah gelana, bak kata P. Ramlee “bagai dunia ini ana yang punya”, para peserta pula hanya khusyu’ mendengar (sebab ada yang tidak faham bahasa Arab), tetapi lain pula suasananya di UIA. Kebanyakan pelajar UIA (kecuali segelintir geng yang mengatakan “Allah wujud tidak bertempat”) dan beberapa orang pensyarah yang hadir tidak sewenang-wenangnya memberikan laluan mudah kepada para pembentang untuk mengelirukan para peserta. Selesai sahaja pembentangan dibuat oleh setiap penceramah, lantas dengan pantas bangun beberapa orang pelajar UIA dan beberapa pensyarah beratur di mikrofon untuk bertanya soalan, dalam erti kata lain memberikan hujah balas terhadap tajuk yang dibentangkan. Malahan, ada yang belum lagi pembentangan selesai, mereka telah bangun dan lantas mempersoalkan fakta yang telah dikemukakan kerana tidak tahan dengan keganjilan fakta-fakta dan tohmahan yang dilemparkan kepada para ulamak seperti Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah. Perkara ini lebih jelas pada hari kedua apabila tajuk berkenaan pembatilan pembahagian tauhid kepada tiga dan isu takfir dibangkitkan.

Buku belum lagi bertemu dengan ruas. Namun, soalan-soalan dan hujah balas yang dikemukan oleh peserta yang rata-ratanya masih belajar di UIA ini, sudah cukup membuatkan para pembentang duduk tidak senang. Pembela-pembela sunnah ini dilihat seakan-akan tidak membiarkan para penceramah pulang begitu sahaja dengan hati yang tenang. Sekurang-kurangnya apa yang terpaksa dihadapi oleh mereka di UIA ini, akan membuatkan mereka dan pihak penganjur untuk berfikir lapan kali untuk datang lagi. Atau pun mereka mungkin terpaksa balik semula untuk menyiapkan “bom-bom nukleur” untuk menyerang kembali, bukannya sekadar membawa mercun-mercun yang hanya sesuai dibakar sewaktu Xong Ci Fa Choi.

Setiap kelemahan ada kekuatannya. Secara jujur, penulis kagum dengan beberapa orang penceramah yang begitu kuat hafalannya dan begitu petah lagi cantik susunan gaya bahasanya. Yang baik dan benar kita perlu akui, walau pun dari pihak yang menentang, yang salah tetap salah walau pun dari pihak sendiri.

Sebenarnya timbul juga rasa simpati kepada pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang hadir dalam seminar ini, yang tidak dapat memahami bahasa Arab. Kebanyakkan mereka sanggup datang dari Negeri Sembilan (Yayasan Sofa). Ini kerana perkara yang diperdebatkan antara penceramah dan peserta adalah perkara ilmiah yang memerlukan asas-asas dalam beberapa cabang ilmu agama. Walau pun disediakan khidmat terjemahan secara langsung, tapi apa yang penulis dengar sendiri terjemahannya, ia tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya (bukan kerana kelemahan penterjemah, tapi kerana penceramah dan peserta bercakap dengan cepat). Tapi yang seronoknya, pakcik-pakcik dan makcik-makcik ini sangat cekap menjalankan peranan mereka sebagai “pasukan penepuk tangan”. Entah apa yang ditepuk pun entahlah.

Di kesempatan ini juga penulis ingin berkongsi pandangan tentang aspek pengurusan seminar ini. Alhamdulillah, penulis telah berkesempatan untuk mengikuti banyak seminar sebelum ini samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Namun, dukacita, inilah seminar yang paling serabut perjalanan dan pengurusannya. Contoh yang ketara ialah tiadanya kawalan masa pada sesi pembentangan. Penceramah boleh membentangkan selama mana yang dia suka. Kesannya, jadual waktu di dalam tentatif tidak lagi dipatuhi. Pengerusi untuk sesi pembentangan pula tidak ada, sehingga salah seorang penceramah terpaksa mengambil alih menjadi pengerusi. Ada pula kertas kerja yang tidak disediakan, jadi peserta hanya seperti mendengar ceramah umum. Yang lebih penting, sesi resolusi tidak dijalankan dengan sempurna. Apa yang ada ialah salah seorang urusetia hanya membacakan sahaja secara pantas dalam keadaan para peserta telah bangun untuk bersurai. Para peserta juga tidak diberikan salinannya. Penulis percaya ramai yang tidak memberikan perhatian. Ini kerana sebelum itu berlaku perdebatan hangat di antara salah seorang penceramah dan beberapa peserta. Ramai yang bangun untuk bertanya soalan dan memberi hujah balas sehinggakan pengacara majlis terpaksa menamatkan seminar ini begitu sahaja. Jadi seminar ini diakhiri dengan suasana yang agak kelam kabut. Penulis ingin menasihatkan kepada pihak penganjur supaya belajarlah terlebih dahulu bagaimana cara untuk menguruskan perjalanan seminar yang baik. Jangan orang lain buat seminar, kita pun nak buat juga. Cubalah rajin-rajin hadirkan diri dalam seminar yang dianjurkan oleh pihak lain yang dapat dijalankan dengan baik.

Akhirnya, tahniah sekali lagi kepada pihak penganjur kerana telah berjaya “menyatupadukan ummah dan memurnikan pemikiran umat Islam” khasnya di UIA dan di Malaysia amnya.

Bersama kita semarakkan perkembangan arus tajdid!!!

Abu Ubaidah

abdulhaq_alqadahi@yahoo.com

3 comments:

Anonymous said...

agak lucu melihat penulis ini menulis, inilah "keterbukaan" kalian rupanya..Tak sangka sekali begini rupanya kalian menerima perbincangan ilmiah..

Boleh tuan sebutkan apa kertas kerja yang tiada salinan, setahu saya yang mengikuti kesemuanya, semuanya ada, kecuali kertas kerja hukum hakam qubur yang disyarahkan dengan detail.. tetapi memang ada kertas kerjanya..semuanya ada

saudara ingin bermain teka teki atau membuat lelucuon kah?

Anonymous said...

tidak dinafikan terdapat pengurusan yang perlu diperbaiki..

Namun, kalian ini buta hatikah..sedang kami meyedari sebagai penuntut ilmu kita perlu meneliti hujah dengan sangat berlapang dada..Tetapi melihat adab dan akhlak kalian mendepani para ulama', buat yang ingin mendekati sunnah tawar hati, yang sedang menacri kebenaran bersoal sendiri, inikah akhlak dan adab mereka yang cintakan sunnah?

JAUH PANGGANG DARI API!

Minta maaf, tetapi persoalan asyaierah, maturidiah dan ibn taymiyah sudah diperbahaskan ulama'. Sangat dukacita kami melihat respon ini.

Jumhur sekarang adalah asyaieriyah. sahabat saya seorang salafi di dalam feqh tetapi aqedah beliau berpegang dengan Asyaieriyah.

Minta maaf, kami mengahdiri program kalian semasa proses kami mencari kebenaran jauh dari mengata-ngata dan taasub juga kami menlapangkan dada mendengar hujjah kalian. Namun! Ini sikap kalian..

Astaghfirullah

sangat sedih dan dukacita kami melihatnya!

Bersihkan hati anda dari sufat ujub, riya dan takababur dan teliti kembali hujjah2 yang dibawa mereka. Kami mendengar dan menelitinya sebagai penuntut ilmu

Kalian sering mengkritik kami dengan taasub namun bukan sikap taasubkah yang kalian lihatkan ini.

OH! Sangat ironisnya

Anonymous said...

biasalah...salah...fi
tu keje mereka