Wednesday, January 31, 2007

Perkara kekal dan berubah-ubah (bahagian 1)


Pendahuluan

Islam menuntut umatnya supaya berpegang teguh dengan tali Allah dan bersatu padu. Firman Allah S.W.T:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"…dan berpegang teguhlah kamu dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai" (Al-i-'Imran 103)

Sungguhpun begitu, umat ini tidak pernah sunyi daripada perselisihan faham serta perbezaan pendapat (khilaf). Perselisihan serta perbezaan inilah yang membawa kepada lahirnya firqah-firqah akidah yang berbeza dan mazhab-mazhab fiqh yang berbagai-bagai. Adakalanya perbezaan ini ditangani dengan semangat ukhuwwah namun ada juga yang membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

Kertas kerja ini cuba memberi gambaran tentang perkara-perkara yang jelas dan pasti di dalam Islam yang tidak boleh diperselisihkan, dan perkara-perkara yang tidak jelas atau tidak pasti yang perlu kepada ijtihad dan penelitian.

Perkara yang pasti (al-Thawabit)

Apa yang dimaksudkan dengan "perkara yang pasti" di bawah tajuk ini ialah: perkara-perkara yang diterima secara yakin, muktamad dan pasti lagi disepakati[a]. Allah S.W.T telah mendirikan hujah dengannya yang diterangkan di dalam al-Quran atau hadith Nabi Muhammad S.A.W. Tiada ruang untuk berijtihad atau mengembangkan maksudnya serta tidak boleh berselisih padanya bagi orang yang mengetahuinya[b].

Kata al-Imam al-Syafie: "Setiap fakta yang Allah Taala dirikan hujah dengannya, terdapat dalam kitab-Nya atau pada lisan nabi-Nya dengan nas yang jelas, tidak halal berselisih padanya bagi setiap orang yang mengetahuinya"[c].

Oleh itu, perkara-perkara yang pasti ialah: apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya melalui nas al-Quran dan hadith yang sahih yang dapat difahami maksudnya dengan jelas dan pasti serta kesepakatan umat yang tidak diragui kewujudannya, iaitu ijma'. Termasuk di dalam bab ini, perkara-perkara syarak yang bersifat tetap dan berterusan tanpa dipengaruhi oleh sebarang bentuk perubahan atau perkembangan. Hukum hakam dalam kategori ini sama sekali tidak punya ruang untuk diubahsuai, ia kekal sepanjang zaman. Kewajipan manusia hanyalah mengikut apa yang dibawa oleh rasulullah S.A.W dan mentaati perintahnya. Barangsiapa yang menentangnya termasuk di kalangan ahl al-Ahwa' wa al-Bida', serta boleh membawa kepada terkeluar dari agama.

Oleh itu, perkara-perkara yang pasti ialah: apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya melalui nas al-Quran dan hadith yang sahih yang dapat difahami maksudnya dengan jelas dan pasti serta kesepakatan umat yang tidak diragui kewujudannya, iaitu ijma'. Termasuk di dalam bab ini, perkara-perkara syarak yang bersifat tetap dan berterusan tanpa dipengaruhi oleh sebarang bentuk perubahan atau perkembangan. Hukum hakam dalam kategori ini sama sekali tidak punya ruang untuk diubahsuai, ia kekal sepanjang zaman. Kewajipan manusia hanyalah mengikut apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan mentaati perintahnya. Barangsiapa yang menentangnya boleh membawa kepada terkeluar dari agama.


"Perkara yang pasti" ini meliputi :

1- Aqidah

Sifat-sifat Allah, para malaikat, syurga dan neraka, dosa dan pahala, Hari Akhirat, azab kubur dan sebagainya adalah perkara ghaib. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui tentang perkara-perkara ghaib. Tiada manusia yang boleh mengetahui tentang perkara-perkara tersebut melainkan melalui jalan wahyu. Dalilnya:

i. Firman Allah:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَ حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأَرْضِ وَلاَ رَطْبٍ وَلاَ يَابِسٍ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مّ

Mafhumnya: "Dan di sisi-Nya (Allah) sahajalah kunci-kunci pengetahuan perkara ghaib, tiada yang mengetahuinya melainkan Dia". (Al-An'am 059)

ii. Firman Allah:

تِلْكَ مِنْ أَنبَاء الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا أَنتَ وَلاَ قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَـذَا فَاصْبِرْ إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِين

Mafhumnya: "Demikian itu adalah daripada perkhabaran-perkhabaran ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), kamu tidak mengetahuinya dan tidak juga kaummu sebelum daripada ini". (Hud 049)

Wahyu tidak diturunkan lagi selepas kewafatan nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, tidak akan ada sebarang pertambahan atau perubahan fakta pada perkara-perkara tersebut. Sebarang bentuk ubahsuai dan perubahan terhadapnya, seolah-olah suatu dakwaan bahawa wahyu Allah masih diturunkan.

Golongan tertentu yang mengatakan: "pahala bagi amalan pada malam 27 Rejab, malam Nisfu Sya'ban, solat tarawih pada setiap malam Ramadan…."[d] sesuatu yang tidak sahih dari nabi Muhammad S.A.W, adalah pendusta. Begitu juga orang tertentu yang mendakwa: "nabi akan hadir dalam majlis bacaan maulid al-Barzanji…"[e] Begitu juga orang-orang yang berkata: "kami telah naik ke langit atau memiliki kerajaan langit"[f] jelas kesesatannya bahkan sesat juga orang yang meragui kesesatan mereka.

Bersatu padu dan berpegang teguh dengan "perkara-perkara yang pasti" ini adalah ciri utama yang membezakan ahl al-Sunnah dengan golongan penyeleweng (ahl al-bida' wa al-ahwa').

2- Ibadah

Urusan ibadat juga sudah disempurnakan oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya yang diturunkan semasa peristiwa Haji Perpisahan:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُواْ بِالأَزْلاَمِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيناً فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Mafhumnya: "Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu dan Aku lengkapkan nikmat-Ku ke atasmu dan Aku redha Islam sebagai agamamu". (Al-Maidah 003)

Sebarang tokok tambah kepada ibadat boleh membatalkannya. Contohnya: solat fardhu Subuh yang 2 rakaat jika ditambah menjadi 3, tidak akan diterima syarak. Begitu juga perbuatan mengada-adakan berbagai jenis ibadat seperti solat sunat (nawafil), puasa dan lain-lain yang tidak pernah dilakukan oleh baginda nabi S.A.W, adalah tertolak. Ini berdasarkan sabda rasulullah S.A.W:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو ردّ

Ertinya: "Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan (agama) kami sesuatu yang bukan daripadanya, ia adalah tertolak"[g]

Ringkasnya, tiada yang baru dalam perkara pokok syariat. Rasulullah S.A.W bersabda lebih 1400 tahun dulu:

بني الإسلام على خمسة: على أن يوحد الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وصيام رمضان والحج...

Ertinya: "Dibina Islam itu di atas 5 perkara: mentauhidkan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa Ramadan dan haji…"[h]

Kenyataan ini tetap dan tidak berubah walaubagaimana keadaan sekalipun. Ini suatu fakta yang pasti. Para sarjana Islam hanya boleh berijtihad pada perkara-perkara cabang yang berdasarkan dalil-dalil yang tidak pasti, sama ada pada kesahihannya atau pada makna yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, termasuk di dalam perkara pasti ialah: nas-nas syarak yang hanya difahami dengan satu makna sahaja, tidak boleh ditakhsiskan atau dinasakh. Hukum dan pengajaran yang terkandung di dalamnya jelas dan tidak boleh ditukarganti. Contoh-contohnya:

i) Perkahwinan:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالاَتُكُمْ وَبَنَاتُ الأَخِ وَبَنَاتُ الأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلاَئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلاَبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُواْ بَيْنَ الأُخْتَيْنِ إَلاَّ مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُوراً رَّحِيماً

Mafhumnya: "diharamkan ke atas kamu (menikahi) ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, sadudara-saudara perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu dari sebelah bapa dan sebelah ibu….." (An-Nisaa 023)

Ayat ini menyenaraikan wanita-wanita yang haram dinikahi oleh seorang lelaki. Walau apapun yang bencana yang melanda, peraturan ini tidak akan berubah hingga ke hari kiamat.

ii) Poligami:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلاَّ تَعُولُوا

Mafhumnya: "….maka nikahilah apa yang baik bagi kamu dari kalangan wanita, dua, tiga dan empat, jika kamu takut tidak dapat berlaku adil maka (cukuplah) seorang"

(An-Nisaa 003)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Taala menghalalkan poligami bagi mereka yyang mampu berlaku adil. Hukum ini pada dasarnya tidak akan berubah, apa yang mungkin berubah adalah pada penilaian adil, atau pihak manakah yang menentukan seseorang itu layak untuk berpoligami.

iii) Perceraian:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ وَلاَ يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُواْ إِصْلاَحاً وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ

Mafhumnya: "Dan wanita-wanita yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka selama 3 quru'" (Al-Baqarah 228)

Sarjana Islam berbeza pendapat tentang maksud quru' yang membawa perbezaan pendapat tentang tempoh 'iddah wanita yang bercerai. Namun begitu, mereka bersepakat bahawa setiap wanita yang bercerai itu mesti melalui tempoh 'iddahnya sebelum boleh melangsungkan perkahwinan yang berikutnya.

iv) Harta pusaka:

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلاَلَةً أَو امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ فَإِن كَانُوَاْ أَكْثَرَ مِن ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاء فِي الثُّلُثِ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَآرٍّ وَصِيَّةً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

Mafhumnya: "dan bagi kamu setengah dari apa yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka itu tiada anak" (An-Nisaa 012)

Firman Allah ini menerangkan tentang bahagian harta peninggalan seorang isteri yang meninggal tanpa ada anak untuk suaminya adalah setengah, tidak kurang atau lebih. Ketetapan inilah yang paling adil berbanding mana-mana ketetapan manusia.

v) Hukuman ke atas pesalah:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Mafhumnya: "dan penzina perempuan dan penzina lelaki, hendaklah kamu sebat setiap mereka dengan seratus sebatan" (An-Nur 002)

Nas ini pula menunjukkan bahawa hukuman zina -selepas sabit kesalahan- ialah seratus sebatan bukan denda mahupun penjara. Inilah bentuk hukuman yang diperintahkan oleh Allah. Ia mengandungi banyak kebaikan untuk semua pihak, malangnya sedikit yang menyedarinya.

Dalil-dalil al-Quran dan hadith yang seperti ini jelas dan pasti maksudnya (qat'iyy al-dilalah). Justeru itu tidak boleh ada khilaf dalam perkara ini.

Akhlak dan tingkah laku

Peraturan akhlak dan adab yang diajar oleh baginda rasul S.A.W adalah penjelmaan lengkap terhadap kandungan al-Quran. Aisyah r.a ketika ditanya tentang akhlak nabi Muhammad S.A.W, segera menjelaskan bahawa akhlak baginda adalah al-Quran[i].

Al-Quran dan al-Sunnah telah menyenaraikan begitu banyak nilai-nilai mulia untuk menjadi pakaian hidup. Sifat-sifat seperti ikhlas, adil, amanah, setia, berani mempertahankan kebenaran dan sebagainya tetap dijunjung sepanjang zaman. Sifat-sifat seperti zalim, sombong, khianat, dusta dan seumpamanya tetap dipandang keji oleh agama pada bila-bila masa. Namun, jika etika ini dirobek, pincanglah sistem kehidupan manusia. Akibatnya ialah kebenaran akan dikira kebatilan dan begitulah sebaliknya.

Di antara ketetapan Allah dalam hal ini ialah:

i) menunaikan amanah dan sifat adil:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً

Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjatuhkan hukuman sesama manusia hendaklah kamu berlaku adil…." (An-Nisaa 058)

ii) berbuat baik dengan anak yatim dan memenuhi janji:

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذا كِلْتُمْ وَزِنُواْ بِالقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

Mafhumnya: "Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang lebih baik, sehingga dia mencapai umurnya. Tepatilah janji, sesungguhnya janji itu akan dipersoalkan" (Al-Israa 034)

iii) bersikap adil, belas ihsan, pemurah dan menghindari maksiat:
ُ

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah memerintahkan agar bersikap adil dan berlaku baik (belas ihsan) serta memerintahkan untuk memberi (bantuan) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, munkar dan penganiyaan. Dia menasihatkan kamu mudah-mudahan kamu beringat" (An-Nahl 090)


[a] Kesepakatan ini tidak mengambilkira pandangan yang bertuhankan hawa nafsu dan golongan penyeleweng agama.

[b] Faktor kejahilan terhadap ajaran agama yang memerlukan kepada menuntut ilmu, adalah diambilkira dalam menjatuhkan hukuman. Tidak dihukum seseorang yang jahil melainkan selepas ditegakkan hujah ke atasnya.

[c] Al-Syafie, Muhammad Bin Idris. Al-Risalah. Tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Kaherah, ctk 1939, (m.s 560)

[d] Fadilat melakukan amalan tertentu pada masa-masa yang dinyatakan ini telah tersebar dalam masyarakat secara meluas terutamanya dalam majlis-majlis ceramah sempenanya. Oleh itu tidak perlu disertakan rujukannya di sini.

[e] Mukaddimah Majmu'ah Maulud Syaraf al-Anam. Pulau Pinang:Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif, ctk. tanpa tarikh, (m.s 2)

[f] Kerajaan Langit ialah istilah yang popular lewat kemunculan ajaran sesat Ayah Pin di Terengganu.

[g] H.R Muslim

[h] H.R Muslim

[i] H.R Muslim

*Di petik dari Artikel Ustaz Rasyid Idris(Presiden Institut Al-Qayyim) sempena daurah Pelajar INTIS.

Edited by FAZH

No comments: