Wednesday, December 12, 2007

Tawaran Akhir Tahun Kembali Lagi!!!

Rebutlah Peluang Ibadah di Bulan Zulhijjah

Oleh:

Abd al-Razzaq bin A. Muthalib


1428 Hijrah semakin melabuhkan tirainya. Alhamdulillah. Marilah kita melafazkan rasa syukur kita buat kesekian kalinya di atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga sepanjang tahun ini. Segala puji bagi Allah juga kita panjatkan kehadhrat-Nya yang telah menciptakan masa dan menyediakan di samping masa tersebut kelebihan-kelebihan tertentu. Justeru kita dapati ada bulan-bulan, hari-hari dan malam-malam tertentu yang istimewa dan disediakan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ini semua membuktikan rahmat dan kasih sayang dari Yang Maha Pencipta untuk sekelian hamba-Nya yang memberikan peluang untuk kita menambahkan amal soleh sebagai persediaan dan bekalan sebelum dijemput pulang semula ke pangkuan-Nya.

Sepatutnya setiap muslim haruslah merebut peluang dan tawaran yang disediakan ini untuk menampung kekurangan dan kecacatan amalan-amalan yang telah lepas. Maka beruntung dan berbahagialah bagi mereka yang mengisi ruang ini dengan amalan soleh yang dapat mendekatkan lagi diri seorang hamba dengan Pemiliknya.Diantara peluang yang disediakan ini ialah pada 10 terawal dari bulan Zulhijjah. Allah swt telah memuliakan hari-hari ini dengan kelebihan yang banyak berbanding dengan hari-hari yang lain. Amalan-amalan soleh yang dilakukan pada hari ini juga berlipat kali ganda ganjarannya berbanding dengan hari-hari lain. Lihat saja sabda Rasulullah saw ini:

Daripada Ibn Abbas r.a, daripada Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Tiadalah hari-hari lain yang amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Para sahabat bertanya: Tidak juga jihad fi sabilillah? Nabi menjawab: ((Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali sesuatu apa pun)) (Riwayat al-Bukhari)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini telah mendatangkan pelbagai riwayat dan pandangan para ulamak dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan hari yang sepuluh. Berdasarkan pelbagai riwayat tersebut, Ibn Hajar mengatakan yang dimaksudkan ialah 10 hari (terawal) daripada bulan Zulhijjah. Manakala yang dimaksudkan dengan ((kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya dan tidak kembali sesuatu apa pun)) ialah seorang yang syahid di medan jihad. Menurut Ibn Hajar juga, hadis ini menunjukkan betapa besarnya nilai jihad dan berlipat ganda pula darjatnya. Ia juga menunjukkan adanya kelebihan sesetengah masa berbanding masa-masa yang lain dan juga kelebihan sepuluh hari daripada Zulhijjah berbanding hari-hari lain dalam setahun. (Rujuk: Al-‘Asqalani, Ibn Hajr, Fath al-Bari (Kaherah: Dar al-Hadith, cet. 1, 2004), jil.2, m/s 527-528)

Ketahuilah sesungguhnya kemuliaan dan kelebihan 10 hari terawal daripada bulan Zulhijjah ini dapat dilihat daripada beberapa perkara, antaranya:

- Allah swt telah bersumpah dengan hari ini di dalam al-Quran. Hal ini dapat dilihat daripada firman Allah swt di dalam surah al-Fajr, ayat 1-2 yang bermaksud: ((Demi fajar. Dan malam yang sepuluh)). Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini mengatakan: “Yang dimaksudkan dengannya adalah 10 malam daripada Zulhijjah, seperti mana yang dikatakan oleh Ibn Abbas, Ibn al-Zubair, Mujahid dan selain daripada mereka”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Bierut: Dar Ihya’ al-Turath, Cet: 1, 2000 M), jil.5, hal. 497).

- Rasulullah saw juga telah mengakui bahawa hari-hari ini adalah hari yang paling baik di dunia ini seperti mana yang telah dinyatakan di dalam hadis daripada Ibn Abbas di atas.

- Digalakkan untuk menggandakan amal soleh pada hari ini. Ini kerana bagi mengambil peluang dan kesempatan kemuliaan yang ada pada hari ini. Begitu juga dengan kemuliaan tempat yang disediakan untuk mereka yang menunaikan haji. Bagi mereka yang menunaikan haji, seharusnya mengambil peluang berada di tempat yang mulia dan pada hari yang mulia untuk menggandakan amalan soleh.

- Disuruh untuk memperbanyakkan tahlil, tahmid dan takbir. Hal ini seperti mana seruan yang terdapat di dalam hadis Nabi saw daripada Ibn Umar r.a yang bermaksud: ((Tiadalah daripada hari-hari yang lebih besar di sisi Allah dan lebih disukai amalan yang dilakukan padanya daripada sepuluh hari ini, maka perbanyakkanlah padanya menyebut tahlil, takbir dan tahmid)). –dikeluarkan oleh Imam Ahmad 7/224 dan disahihkan isnadnya oleh Syiekh Ahmad Syakir.

- Padanya terdapat hari Arafah (9 Zulhijjah), hari dimana telah menjadi saksi bahawa Allah swt telah menyempurnakan agama ini. Puasa pada hari ini pula dapat menghapuskan dosa setahun yang sebelum dan yang akan datang. Dan pada sepuluh hari ini juga merupakan hari korban yang merupakan sebesar-besar hari, dan ia juga hari-hari yang ditunaikan padanya fardhu haji. Fardhu haji pula terhimpun di dalam segala unsur-unsur ketaatan dan ibadat yang tidak ada pada yang lain.

Begitulah betapa mulianya 10 hari terawal Zulhijah ini. Justeru, bagi setiap muslim mestilah sedar dan merasai bahawa inilah salah satu daripada nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya. Rebutlah peluang yang tersedia ini dengan menambahkan ketaatan dan ibadat kepada Allah Azza wa Jalla. Amat malang dan rugi jika hari-hari ini dibiarkan berlalu begitu saja. Lebih malang dan lebih rugi lagi bagi seseorang jika dia langsung tidak merasai apa-apa keistimewaan yang ada pada hari-hari ini, lantas kelakuan dan amalannya adalah seperti biasa.

Maka di antara amalan-amalan yang perlu diambil berat dan digalakkan untuk dilakukan pada 10 hari Zulhijjah ini ialah:

1) Berpuasa.
terutamanya pada hari Arafah (9 Zulhijjah). Ini kerana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada hari-hari ini dan berpuasa merupakan salah satu daripada amalan soleh. Berpuasa pada 9 Zulhijjah juga merupakan sunnah yang thabit yang dilakukan oleh Rasulullah saw berdasarkan hadis berikut: ((Adalah Nabi saw berpuasa pada hari 9 Zulhijjah, dan pada hari ‘Asyura, dan pada tiga hari daripada setiap bulan))- Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasai dan selain daripada mereka. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud.

2) Solat ‘Idul Adha.
Hendaklah setiap muslim menunaikan solat ‘Idul Adha pada 10 Zulhijjah, berhimpun dan mendengar khutbah.

3) Takbir, tahlil dan tahmid.
Kita juga disunatkan untuk melaungkan takbir (Allahuakbar), tahlil (La ilaha illallah) dan tahmid (Alhamdulillah) sama ada di masjid-masjid, rumah-rumah, di jalan-jalan atau di tempat-tempat yang boleh disebutkan nama Allah sebagai tanda membesarkan Allah Azza wa Jalla. Bagi kaum lelaki disuruh supaya menguatkan suara, manakala bagi perempuan hendaklah memperlahankan suara mereka. Allah swt berfirman yang bermaksud: ((Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan, di atas rezeki yang telah diberikan kepada mereka yang berupa binatang ternak…)) (al-Hajj:28).

Menurut Ibn Abbas r.a, yang dimaksudkan dengan firman Allah di atas ((…pada hari yang telah ditentukan…)) ialah sepuluh hari terawal daripada Zulhijjah. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya. (Rujuk: Tafsir al-Quran al-Azim, jil. 3, hal. 221).

- Rasulullah saw pula bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a (bermaksud): ((Tiadalah daripada hari-hari yang lebih besar di sisi Allah dan lebih disukai amalan yang dilakukan padanya daripada sepuluh hari ini, maka perbanyakkanlah padanya menyebut tahlil, takbir dan tahmid)). –dikeluarkan oleh Imam Ahmad 7/224 dan disahihkan isnadnya oleh Syiekh Ahmad Syakir.

Imam al-Bukhari r.h pula meriwayatkan (secara mu‘allaq): ((Adalah Ibn Umar dan Abu Hurairah r.a keluar ke pasar pada hari-hari yang sepuluh ini dan mereka bertakbir. Lalu orang ramai turut bertakbir apabila mendengar takbir mereka berdua)) (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Idain, Bab Fadhl al-Amal fi Ayyam al-Tashriq)

Inilah diantara sunnah yang saakan-akan mati dan ditinggalkan hari ini. Marilah kita menghidupkannya semula seperti mana yang telah dilakukan oleh para salaf al-soleh terdahulu.

4) Tunaikan haji dan umrah.


Inilah ibadah yang paling utama dilakukan pada bulan ini (bagi yang berkemampuan). Beruntunglah bagi mereka yang telah dipilih dan diizinkan oleh Allah swt untuk menjadi tetamuNya berkunjung ke Baitullah al-haram bagi menunaikan ibadah dan melengkapkan rukun Islam yang kelima ini. Bagi mereka ganjaran yang tidak ternilai. Rasulullah saw bersabda, daripada Abu Hurairah ra (bermaksud): ((Di antara umrah dengan umrah ialah penghapus dosa, dan tiadalah balasan bagi haji yang mabrur kecuali syurga)). (Muttafaqun ‘alaihi).

Sabda Baginda saw lagi (bermaksud): ((Sesiapa yang menunaikan haji, dia tidak bercakap kotor (lucah) dan tidak melakukan perbuatan fasiq, maka dia pulang sepertimana hari dia dilahirkan oleh ibunya)) (Muttafaqun ‘alaihi).

Bersyukurlah bagi mereka yang telah diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji ini. Muhasabahlah kembali ibadah haji yang telah dilakukan itu. Adakah ia benar-benar memberikan kesan dan mencapai matlamat yang dikehendaki Allah swt. Berapa ramai manusia dari seluruh pelusuk dunia yang berharap dan teringin untuk menjadi tetamu al-Rahman ini, tetapi mereka masih belum dipilih dan diberikan peluang.

Justeru, bagi mereka yang berharap-harap untuk pergi, tanamkan azam dan kuatkan usaha. Buatlah persediaan yang rapi terutamanya ilmu. Biarlah haji dan umrah yang kita tunaikan benar-benar sama seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Berapa banyak kita tunaikan haji itu tidak penting, tetapi sejauh manakah haji yang kita tunaikan tersebut menepati sunnah Rasulullah saw dan mendatangkan kesan di dalam diri kita.

Berapa ramai juga mereka yang Allah berikan sedikit kesenangan rezeki, dan Allah izinkan pula mereka untuk menunaikan umrah dan haji. Tidak cukup lagi, keluarkan kenyataan dan pengumuman sana dan sini bahawa mereka akan pergi menunaikan umrah dan haji, tetapi kepulangannya tidak seperti yang diharap dan dinanti. Jika sebelum pergi, tidak menutup aurat, dedah sana dedah sini, berpakaian seksi, selepas pulang tetap juga sama, langsung tiada perubahan diri. Ini baru satu contoh yang diberi. Kadang-kadang kita tertanya, adakah ibadah yang dilakukan tersebut benar-benar diterima, atau ia hanya sekadar syok sendiri? Tetapi ini bukanlah urusan manusia untuk menentukan itu dan ini, serahlah kepada Ilahi. Tepuklah dada tanyalah iman sendiri.

5) Korban.
Salah satu lagi ibadah yang dituntut ialah menyembelih binatang ternakan dan diniatkan sebagai ibadah korban. Ia dilakukan bermula dari 10 Zulhijjah (selepas solat hari raya) sehinggalah pada 13 Zulhijjah (Hari Tashriq). Inilah merupakan di antara syiar Islam yang terkandung di dalamnya pelbagai pengajaran dan pengertian. Ia mengingatkan kita bagaimana tahap ketaatan Nabi Ibrahim a.s kepada perintah Tuhannya, mengajar kita erti bersyukur dan mengenang kembali nikmat Allah yang telah dikurniakan. Yang lebih penting ia ingin mendidik ketauhidan kita kepada Allah dan menguji sejauh mana keihklasan kita dalam beribadah.

Firman Allah swt bermaksud: ((Dan bagi tiap-tiap umat umat Kami telah syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan Nya kepada mereka daripada bintang-bintang ternak tersebut…)) (al-hajj: 34). FirmanNya lagi yang bermaksud: ((Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (menyembelih binatang korban)). (al-kauthar:2).

6) Memperbanyakkan amal-amal soleh.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, mereka boleh mengimarahkan bulan ini dengan diisi dengan pelbagai amal soleh. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbbas yang menyebut secara umum tentang amalan soleh: ((Tiadalah hari-hari lain yang amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini)) (Riwayat al-Bukhari). Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin berkata: ((Terkandung di dalam makna “amal soleh” ini ialah solat, sedekah, puasa, zikir, takbir, membaca al-quran, berbakti kepada ibu bapa, bersilaturrahim, membuat ihsan kepada semua makhluk, berbuat baik sesama jiran dan yang selain daripadanya…semuanya adalah amal soleh)). (Al-‘Uthaimin, Muhamad bin Soleh, Syarh Riyadh al-Salihin (Kaherah: Maktabah al-Safa, cet.1, 2002), jil.3, m/s 267).

7) Bertaubat.

Gunakanlah juga sempena bulan yang mulia ini untuk kita bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa yang pernah kita lakukan. Taubat ini ialah kita kembali kepada Allah dengan meninggalkan segala apa yang dibenci oleh Allah secara zahir dan batin, menyesal atas apa yang telah dilakukan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Sesungguhnya taubat ini dituntut untuk kita melakukannya sepanjang masa jika kita melakukan kesalahan tanpa ada musim-musim tertentu. Namun kita mengambil peluang yang disediakan oleh Allah swt di bulan yang mulia ini. Ini kerana kebiasaannya pada musim-musim sebegini, setiap jiwa itu akan lebih senang untuk melakukan ketaatan, melakukan amal kebaikan dan mengakui segala dosa yang dilakukan. Maka apa yang diharapkan ialah apabila terhimpunnya bagi setiap muslim itu taubatnya yang nasuha dengan amalan solehnya, dilakukan pula pada waktu yang mempunyai banyak kelebihan, mudah-mudahan inilah petunjuk kepada kejayaan. Allah swt berfirman (bermaksud): ((Maka ada pun sesiapa yang bertaubat dan beriman serta melakukan amal soleh, semoga dia termasuk dalam kalangan mereka yang berjaya)) (al-Qasas: 67)



Demikianlah betapa hebatnya tawaran yang diberikan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya. Namun, seringkali insan ini alpa dan terleka dengan kesenangan dunia dan kemewahan harta benda. Sehinggakan terlupa untuk menghitung apakah diri ini telah bersedia untuk mengadap-Nya.


Ingatlah, hari-hari yang telah berlalu tidak akan kembali. Peluang yang ada mungkin hanya muncul sekali. Biarlah hidup dipenuhi dengan menabur bakti. Periksalah amalan diri setiap hari sebelum anda melabuhkan tirai untuk hari ini. Tingkatkan amalan untuk hari-hari yang bakal muncul nanti. Tinggalkan kesilapan yang mencemar nilai diri. Semoga 1426 ini akan diakhiri dengan catatan amal soleh yang penuh beerti.



Nota Penting: Anda digalakkan untuk membawa artikel ini pada kuliah esok(Isnin) :

Bagaimana Menyambut Zulhijjah Mengikut Sunnah?

No comments: