Persoalannya, mengapa? Mengapa ianya tidak pula menjadi begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah dan juga di kalangan orang-orang kebanyakan? Hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun yang mengikuti isu ini, hatta oleh Uthman el-Muhammady sendiri pun, ialah fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja, seperti para pelajar IPT dan profesional mampu menerima fahaman ini, adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.
Wednesday, March 29, 2006
Asrisme dan Hizbut Tahrir: Fenomena dakwah IPT
Oleh:    Maszlee Malik         
Persoalannya, mengapa? Mengapa ianya tidak pula menjadi begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah dan juga di kalangan orang-orang kebanyakan? Hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun yang mengikuti isu ini, hatta oleh Uthman el-Muhammady sendiri pun, ialah fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja, seperti para pelajar IPT dan profesional mampu menerima fahaman ini, adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.
  
   Pada penghujung    tahun 2005, Uthman el-Muhammady telah mengejutkan rakyat      Malaysia   dengan    kenyataan akhbarnya berkaitan gejala "Wahabi".    Fahaman yang dianggap oleh beliau sebagai bersalahan dengan faham Ahli Sunnah    Wal Jamaah, telah merebak di seluruh IPT dan juga di kalangan para profesional    (Lihat: Utusan Minggu, 27 November 2005).      Ada   sudut kebenaran dan ada sudut    kesalahan di dalam kenyataannya. Cuma yang menarik perhatian ialah sudut    kebenaran dari kenyataannya ialah mengenai tersebarnya fahaman ini di kalangan    para pelajar IPT dan juga para profesional.  
 Persoalannya, mengapa? Mengapa ianya tidak pula menjadi begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah dan juga di kalangan orang-orang kebanyakan? Hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun yang mengikuti isu ini, hatta oleh Uthman el-Muhammady sendiri pun, ialah fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja, seperti para pelajar IPT dan profesional mampu menerima fahaman ini, adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.
   Sudut yang    menarik juga dari kenyataan tersebut ialah mengenai para pelajar IPT yang    menerima fahaman ini. Mungkin kerana beliau dihantui oleh fahaman ini, maka    analisisnya mengenai "trend" mahasiswa Islam ini agak tidak terlalu tepat.    Adakah benar faham "Wahabi"    yang diikuti oleh para mahasiswa Islam di IPT-IPT ataupun ianya hanya salah    satu trend yang ada di IPT di antara banyak trend-trend yang lain? Atau,    adakah benar yang dikatakan faham "Wahabi" itu tersebar?
 
    Sejarah    gerakan pelajar Islam
  
    Gerakan pelajar    Islam di IPT-IPT      Malaysia   mula    berkembang sebagai satu fenomena di penghujung 60'an dan di awal 70'an. Arus    Islam pada waktu itu bersaing hebat dengan arus sosialis. Antara isu-isu yang    diperjuangkan ialah persoalan kemiskinan, persoalan masyarakat, pekerjaan,    keadilan sosial dan juga isu-isu luar negara (Lihat: Azizan Bahari (1995),    Belia Dan Masyarakat, IKD, hal. 45-48). Pada waktu itu, mantan TPM Malaysia,    Anwar Ibrahim dengan wadah PKPIM dan ABIM yang disertainya merupakan satu    fenomena. Tahun-tahun 70'an menyaksikan Anwarisme melanda IPT-IPT tempatan.    Fenomena ini berterusan sehingga Anwar memasuki UMNO pada tahun 1982 dan juga    selepas Revolusi Islam      Iran   pada tahun    1979. Kehebatan gerakan pelajar di waktu tersebut telah memaksa kerajaan    perikatan pada waktu itu untuk menggubal AUKU pada tahun 1971 dan juga    pindaannya pada tahun 1975 (Lihat: Warkah Anwar (2004), susunan Zunar, Bab 4,    hal. 290-303; juga lihat: A. Rahman Abdullah (1997), Pemikiran Islam di    Malaysia, Jakarta: Gema Insani Press, hal. 226-230) .  
    Di luar negara    pula, tahun-tahun 70'an dan awal 80'an menyaksikan fenomena IRC (Islamic    Represantative Council) di      UK   dan juga    pengaruhnya yang merebak ke AS. Gerakan yang membawa faham "Ikhwan    al-Muslimin" Mesir dan juga "Jamaat Islami"   Pakistan  ini telah berjaya    membawa para pelajar      Malaysia      daripada keseronokan dunia dan juga berpoya-poya kepada kesedaran Islam dan    dakwah. Nama Abu Urwah (Saari Sungip) merupakan nama yang tidak asing lagi    kepada para pelajar Islam yang terlibat dengan gerakan dakwah ala-Ikhwan atau    IRC ini. Buku-buku tulisan beliau di dalam siri "Risalah Usrah" menjadi    rujukan wajib di dalam sel-sel usrah di samping buku-buku tulisan pimpinan    Ikhwan seperti Hassan al-Banna, Fathi Yakan, syed Qutb dan Mustafa Mahsyur.    Kebanyakan buku-buku tersebut diterjemahkan oleh ustaz-ustaz pro Ikhwan atau    IRC telah diterbitkan oleh Pustaka Salam. Fenomena IRC ini sedikit sebanyak    telah merebak di IPT-IPT tempatan seperti di ITM, UM dan beberapa IPT yang    lain (Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among The    Students, KL: Pelanduk Publication, hal. 27-30).  
    Revolusi Islam      Iran   dan    kemasukan Anwar ke dalam UMNO juga telah menyaksikan kemunculan gelombang baru    di dalam senario dakwah Islam di IPT. PAS (Parti Islam SeMalaysia) yang telah    dipimpin oleh Allahyarham Yusuf Rawa telah membawa gelombang "Kepimpinan    Ulama" telah melangkah dengan rentak yang baru. Gabungan di antara fikrah    Ikhwan al-Muslimin dan juga semangat Revolusi Islam      Iran   di dalam    PAS telah membentuk satu fenomena baru bagi para pelajar Islam di IPT-IPT    tempatan. Penyertaan para ustaz-ustaz dan para orator yang kebanyakannya    mantan pimpinan pelajar di tahun-tahun 70'an telah merancakkan lagi pengaruh    PAS di IPT-IPT. Fenomena Haji Hadi telah melanda IPT-IPT pada waktu itu.    Anwarisme telah ditenggelami oleh Hadisme, terutamanya di kalangan para    pelajar pro-PAS. Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam di IPT-IPT telah    dijadikan wadah bagi PAS untuk mengembangkan dakwah dan dominasi mereka di    dalam senario amal Islami di kampus-kampus pada penghujung 80'an sehingga    pertengahan 90'an (Lihat: Farish Noor (2004), Islam Embedded, KL: MSRI, vol.    2, pg. 329-336). Antara isu yang diperjuang pada waktu ini ialah isu negara    Islam dan juga isu Hudud. Fenomena al-Arqam walaupun wujud dan melanda    IPT-IPT, namun kewujudan mereka tidaklah sehebat fenomena PAS dan Hadisme.    
    Tahun 1998 telah    menjadi tahun keramat bagi gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT di      Malaysia  . Dato    Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari kerajaan BN. Pemecatan orang nombor dua    negara pada waktu itu telah ditafsirkan sebagai penjelmaan wajah sebenar UMNO    yang tidak inginkan Islam. Anwar yang dilihat sebagai pejuang agenda Islam dan    penerus agenda gerakan siswa Islam di peringkat Nasional dan di alam politik    telah dipecat keana perjuangannya. Gerakan-gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT    tanah air dan juga para pelajar      Malaysia   di    luar negara seakan mendapatkan roh baru untuk bersatu dan berganding bahu    setelah puas bergaduh sesama sendiri lebih satu setengah dekad. Sekali lagi    Anwarisme melanda, walaupun pada waktu tersebut Anwar telah dipenjarakan.    Refomasi, GERAK, dan juga Barisan Alternatif telah menjadi wadah untuk    menyatukan para mahasiswa Islam pada waktu tersebut. Di waktu ini, isu rasuah,    kronisme, nepotisme, salah laku dan juga keadilan sosial telah menjadi agenda    gerakan Islam di IPT-IPT. Keadaan ini telah dilihat oleh kerajaan BN sebagai    ancaman, maka selepas pilihanraya 1999 kerajaan telah mengambil 1001 langkah    untuk mengelakkan arus gerakan pelajar daripada terus menggugat status quo    mereka.  
    Milleneum yang    baru pula telah menyaksikan gerakan dakwah siswa di IPT-IPT tempatan menjadi    lesu. Pilihanraya kampus yang sering menjadi      medan   untuk mereka luaskan pengaruh    dan memperjuangkan agenda juga telah direncanakan supaya tiada arus Islam yang    akan dapat menguasainya.   Para  pelajar IPT di mileneum yang baru lebih    diserikan dengan acara-acara hiburan, maksiat dan juga kelesuan di dalam    akademik. Edisi siasat NTV 7 yang telah memaparkan gejala maksiat oleh para    pelajar IPT tempatan sudah cukup membuktikan bagaimana berjayanya    polisi-polisi yang telah dirancanakan untuk melemahkan gerakan siswa. Kelesuan    gerakan pelajar Islam hanya akan membawa kepada kelesuan moral dan juga    meningkatanya gejala maksiat dan hendonisme di kalangan mahasiswa. Walau    bagaimanapun arus dakwah masih lagi tetap berjalan meskipun tidak serancak    dahulu. GAMIS, PKPIM, Karisma, ISMA, Haluan, Tabligh, Rufaqa dan beberapa    gerakan dakwah IPT masih berjalan demi meneruskan usaha Amar Maruf Nahi Munkar    di IPT-IPT. Kewujudan mereka di IPT-IPT telah menyumbang kepada kurangnya    budaya Hendonisme, dan juga sedikit sebanyak membantu pencapaian akademik para    anggota gerakan-gerakan tersebut.
 
    Asrisme
    
    Di sebalik    mendung yang melanda gerakan siswa Islam di IPT yang bertunjangkan idealisme    haraki, muncul fenomena baru. Revolusi internet dan juga dunia globalisasi    telah menjadikan para islamis dan pecinta Islam semakin maju di dalam bidang    pemikiran. Jika dahulu, kebanyakan para Islamis hanya cenderung dengan retorik    dan juga ceramah yang berapi-api, kini kebanyakan mereka menjadi semakin    matang. Begitu juga halnya di dalam persoalan mengamalkan Islam. Persoalan    ilmiah, hanya mengambil Islam dari sumber yang sahih serta pengamalan Islam    yang benar serta terbuka telah menjadi satu metod baru di kalangan pecinta    Islam.   Para  pecinta Islam di kalangan siswa IPT,    samada di dalam dan luar negara menjadi lebih kritis, lebih ilmiah dan juga    lebih bijak. Tidak seperti para Islamis terdahulu yang lebih berkiblatkan    pondok-pondok dan juga penganggungan para Tok guru seraya bertaklid dengan    mereka secara membuta tuli. Para Islamis milleneum baru lebih bijak di dalam    beragama.  
    Kesedaran dan    juga trend sebegini telah mengundang fahaman "Salafiyyah" yang juga digelar    sebagai Wahabi oleh mereka yang anti terhadap fahaman tersebut. Fahaman yang    menyeru agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bersumberkan    al-Quran dan sunnah serta suci dari sebarang bid'ah dan khurafat. Faham ini    juga amat mementingkan keaslian sumber terutamanya di dalam bidang aqidah dan    ibadat. Konsep ilmiah seperti ini telah berjaya menambat hati para cerdik    pandai semestinya.Hadis-hadis yang palsu dan dulunya sentiasa berlegar di    bibir masyarakat telah berjaya dibongkarkan. Cerita-cerita Israeliyyat yang    menjadi jampi pelaris para penceramah selebriti dan dijadikan candu kepada    masyarakat yang jahil telah berjaya dikenal pasti oleh pendokong fahaman ini.    Segala amalan bid'ah dan khurafat yang bukan dari ajaran Islam yang murni    tetapi diamalkan secara meluas oleh masyarakat telah berjaya dibuktikan    kesalahannya oleh fahaman ini. Tidak hairanlah mengapa para cerdik pandai    serta para pelajar IPT lebih berminat dengan ajaran ini. Setiap perkara perlu    ada dalilnya, setiap dalil perlulah sahih, setiap kesahihan perlu ada    buktinya. Bukankah itu saintifik dan lebih ilmiah.  
    Sewaktu inilah    muncul seorang anak muda graduan      Jordan  . Dengan    membawa fahaman Salafiyyah ala Dr Yusuf al-Qaradawi yang serba moderat dan    juga metod muhaddithin ala       al-Albani,    Dr Asri Zainal Abidin telah berjaya memikat pemikiran para pelajar IPT selain    daripada para profesional. Literatur-literatur aliran Salafiyyah yang mula    membanjiri pasaran hasil tulisan Ust Abdullah al-Qari, Ust Rasul Dahri, Hafiz    Firdaus dan buku-buku terjemahan serta usaha orang-orang terdahulu telah    memberikan satu momentum kepada anak-anak muda di IPT-IPT tempatan dan luar    negara untuk bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Dr Asri. Kepetahan    beliau berhujah, pengguasaannya terhadap ilmu hadis ala al-Albani, dan juga    kesederhanaan di dalam persoalan hukum ala-Qaradawi telah menjadi modal untuk    Dr Asri disetujui oleh kebanyakan siswa-siswa dan siswi-siswi di IPT-IPT.    Keupayaan beliau untuk menonjolkan kebatilan dakwah Astora lewat dua debatnya    bersama penulis yang amat tidak disukai oleh para Islamis dan pecinta dakwah    itu telah melonjakkan lagi pemikiran beliau. Kini apa sahaja seminar dan juga    seminar, pasti      nama Dr   Asri akan menjadi    penyerinya. Kuliah-kuliah beliau di Lembah Klang dan juga Pulau   Pinang  menjadi buruan pecinta ilmu dan    pendokong aliran Salafiyyah. Kaset-kaset ceramah dan kelas-kelas pengajian    beliau, CD, VCD dan juga buku-buku tulisannya menjadi rujukan para Islamis di    IPT. Asrisme merupakan fenomena gerakan pelajar Islam di IPT pasca refomasi.    
    Asrisme agak    berbeza dengan fenomena-fenomena sebelum ini. Seperti juga Amr Khalid di    kalangan warga Arab, Dr Asri bukanlah berdakwah untuk kepentingan politik, dia    juga tidak membawa agenda kepartian dan kejamaahan. Dia hanya ingin membawa    masyarakat agar menghayati Islam yang sebenar dan juga bersifat ilmiah di    dalam mengamalkan Islam. Terbukti, kebanyakan pelajar-pelajar IPT yang    mengikuti arus Asrisme bersikap kritis dan mengkaji. Bayangkan, antara    anak-anak murid penulis yang mengambil jurusan perubatan, Kejuruteraan,    Ekonomi dan juga bidang-bidang bukan agama, telah mengenali darjat-darjat    hadis, mengenali para sahabat, para ulama dan para perawi hadis serta    kitab-kitab rujukan yang silam. Ini semua hasil positif Asrisme. Sayangnya,    Asrisme ini dicemburui dan juga dimusuhi oleh sesetengah golongan yang tidak    bersetuju samada dengan faham Salafiyyah mahupun dengan individu Dr Asri itu    sendiri. Mungkin juga peranan pengkagum Asrisme yang terlalu agresif dan tidak    menghormati pendapat orang lain telah menyumbang kepada perkara seumpama itu.    Yang pentingnya, Asrisme merupakan satu fenomena di IPT-IPT sekarang ini!
 
    Hizbut Tahrir
    
    Di satu ruang    yang lain pula muncul fenomena gerakan Hizbut Tahrir (HT). Dari Johor Baharu    sehinggalah ke masjid-masjid di Perlis dan Kelantan, risalah terbitan kumpulan    yang bernama Hizbut Tahrir ini dapat dirasai. "Soutun Nahdah", menjadi alat    propaganda gerakan HT ini untuk menerangkan kepada masyarakat pendapat mereka    (yang dikatakan sebagai pendangan Islam) terhadap isu-isu semasa. Isu hari    pekerja, tahun baru, kapitalis, riba, demokrasi, Islam Liberal dan pelbagai    lagi isu lain telah mereka sikapi dan diterangkan kepada masyarakat melalui    risalah-risalah tersebut.  
    Sebelum refomasi    di Indonesia HT bukanlah sebuah gerakan yang dapat dirasakan kewujudannya,    samada di   Malaysia  mahupun di      Indonesia  .    Sejurus selepas berlakunya refomasi di      Indonesia  ,    demokrasi yang subur telah memberikan peluang kepada HT untuk bergerak bebas    dan melebarkan dakwah mereka. Bagaikan cendawan selepas hujan mereka berjaya    merekrut anggota-anggota baru di IPT-IPT serata      Indonesia  . Di    dalam siri-siri demonstrasi di      Jakarta  , mereka pasti akan muncul.    Risalah-risalah, literatur-leteratur mereka mula membanjiri toko-toko buku di      sana  . Begitu juga halnya seperti di      Malaysia  , mereka segera    menyikapi apa sahaja isu yang timbul dengan menyatakan pandangan HT yang    dianggap sebagai pendangan Islam mengenai isu-isu tersebut. Pendekata HT    adalah satu fenomena.  
    HT menjadikan    perjuangan mereka adalah usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam yang    sebenar di dalam masyarakat Islam. Kehidupan Islam di dalam masyarakat Islam    menurut HT hanya akan dapat dilaksanakan apabila semua sistem-sistem Islam    dijalankan di dalam kehidupan masyarakat dan bukannya secara juzuk-juzuk.    Untuk menjalankan kesemua sistem-sistem Islam tersebut, maka penegakan semula    sistem Khilafah dengan kewujudan seorang Khalifah yang memerintah umat Islam    wajiblah diadakan (Lihat: Taqiyudin al-Nabhani (1994), al-Syakhsiyah    al-Islamiyyah, Beirut: Dar al-Ummah, jil. 2, hal. 18-20). Demi menegakkan    semula sistem khilafah metod "nubuwwah" wajib diikuti dan bukannya melalui    metod-metod ciptaan manusia. Metod "nubuwwah" pada fasa permulaannya adalah    dengan "peperangan pemikiran" di antara pemikiran Islam dengan    ideologi-ideologi Kuffar. HT tidak menerima demokrasi sebagai cara untuk    mendirikan sistem khilafah kerana ianya adalah ideologi kufur dan bertentangan    dengan Islam (Lihat buku tulisan Dr Mahmud al-Khalidi (1983), Qawa'id Nizam    al-Hukm, Jordan: Maktabah al-Muhtasib, hal. 37-58). Inilah hasil ide penubuh    HT, Syeikh Taqiyyudin al-Nabhani, seorang ulama dari Palestin. Inilah juga    dakwah HT di serata dunia.  
    HT, walaupun    muncul di Jordan, namun ianya diharamkan di negara berkenaan. Begitu juga    halnya di      Iraq   dan kebanyakan    negara-negara Arab dan segelintir negara-negara Eropah. Mereka bergerak subur    di   UK  kerana sistem demokrasi    yang diamalkan di      UK  . Seperti halnya di   UK , HT juga berkembang di      Indonesia   pasca    refomasi. Pada waktu itu jugalah HT mula merebak ke      Malaysia  . Di peringkat    awalnya, kewujudan HT hanya dapat dirasakan di alam maya lewat milis-milis dan    juga laman web-laman web sahaja. Kemudiannya mereka muncul dengan menggunakan    wadah Forum Islam Nusantara yang banyak menganjurkan forum-forum,    wacana-wacana ilmiah di IPT-IPT sahaja. Tahun 2005 menyaksikan bagaimana faham    HT telah dapat dirasakan di IPT-IPT terutamanya di Lembah Klang. HT juga telah    didaftarkan sebagai sebuah NGO dan mendapat ruang yang lebih luas lagi untuk    menyebarkan dakwah mereka terutamanya di dalam usaha memberikan kefahaman    kepada umat mengenai sistem-sistem Islam. Kedengaran di forum-forum dan juga    wacana-wacana yang dianjurkan di IPT-IPT dan juga di sesetengah tempat slogan    "mengembalikan sistem khilafah" di atas inisiatif HT. Kesimpulannya, HT    merupakan satu fenomena juga di IPT-IPT dewasa ini selari dengan arus Asrisme.
 
    Ke mana    seterusnya?
  
    Fenomena Asrisme    dan HT di IPT-IPT sememangnya sesuatu yang menarik. Mungkin ada sesetengah    golongan yang melihat apa yang berlaku sebagai satu kekecohan dan juga    perpecahan di dalam arena dakwah kampus. Ini merupakan pemikiran lapuk.    Penulis melihatnya dari sudut yang positif. Pertumbuhan pemikiran-pemikiran    Islam di IPT-IPT, malah di tengah-tengah masyarakat membuktikan bahawa    masyarakat tersebut masih lagi cintakan Islam dan masih lagi berfikir.    Kemunculan pemikiran-pemikiran dakwah seperti ini amat-amat diperlukan    terutamanya untuk mengimbangkan arus hendonisme dan juga arus liberal yang    semakin menggila di      Malaysia   dewasa ini.    Kehadiran Asrisme dan juga HT akan lebih merancakkan lagi suasana dakwah    kampus, selagi mana semua pihak memahami "Ummah Centric" dan juga "Abad    al-Ikhtilaf".  
    Kehadiran dua    fenomena baru ini sewajarnya menjadikan para pendakwah kampus bersikap lebih    terbuka dan berusaha untuk mencari titik pertemuan dan bukanlah ruang    perpecahan. Jika dilihat pun selain dari dua fenomena baru ini,    gerakan-gerakan dakwah kampus kebanyakannya berpaksikan sumber fikrah yang    sama, iaitu "Ikhwanic centric" (bersumberkan fikrah Ikhwan al-Muslimin). GAMIS    yang mewakili PAS, PKPIM yang mewakili ABIM, Karisma yang mewakili JIM, SISMA    yang mewakili ISMA, Haluan yang mewakili Kumpulan Ustaz Dahlan (dulunya    dikenali sebagai ABIM Utara atau ABIM Perlis) kesemuanya berpaksikan pemikiran    Ikhwan. Sudah tentu mereka yang berkongsi nasab yang sama lebih mudah untuk    menemukan kesefahaman.  
    Kesilapan    Islamis kampus terdahulu yang sering berbalah dan bertelagah sesama sendiri    perlulah dijauhkan dan dijadikan pelajaran agar tidak diulangi lagi.    Keikhlasan, sikap tawaduk serta keterbukaan pemikiran adalah amat penting.    Untuk mencapai tujuan kesatuan, -jika tidak pun, cukuplah sekadar menghormati    di antara satu sama lain- paradigma "Amal Jama'i" yang difahami oleh    jamaah-jamaah dan gerakan-gerakan Islam di IPT selama ini perlulah di"up    grade"kan      kepada "Amal Tajammu'i". Apakah "Amal Tajamu'i"?, kita akan membincangkannya    kemudian. Yang lebih penting juga, setiap jamaah, setiap kumpulan dan setiap    individu yang cintakan Islam perlulah melakukan usaha dakwah di IPT secara    intensif dan tidak kenal penat, tidak kiralah samada mereka berjamaah ataupun    tidak, dan tidak kiralah jamaah apa pun yang dia anggotai. Insha Allah, satu    hari nanti kita akan sama-sama menyaksikan perlaksanaan semula Syariat Islam    di muka bumi      Malaysia  , mungkin di    tahun 2020, siapa tahu?  
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment