Oleh : Dr. Mohd. Asri b. Zainul Abidin
moasriza@yahoo.com.
Wajip wanita muslimah memakai niqab اatau purdah adalah pendapat sebahagian para ulama. Sementara jumhur (majoriti) ulama berpendapat muka wanita tidak termasuk di dalam auratnya. Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya. Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahasan para imam ahli sunnah wal jama`ah.
Saya menyokong pendapat jumhur ulama yang menganggap purdah bukanlah suatu kewajipan. Wajah wanita bukanlah aurat. Namun saya tidak berhasrat untuk memerangi wanita yang berpurdah, selagimana saya dapati mereka
Namun artikel ini ditulis sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan oleh sebahagian wanita muslimah yang ingin mengetahui kedudukan purdah di dalam perbahasan ulama. Adalah kurang tepat jika ada yang memakai purdah sekadar ikutan sahaja. Maka artikel ini ditulis untuk menerangkan bahawa pendapat yang mewajibkan purdah adalah lemah.
Seperti yang saya sebutkan, persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah. Maksudnya para `ulama berbeza pendapat mengenainya. Namun pendapat yang mewajibkan berpurdah adalah lemah, justeru itu berpegang kepada pendapat ini adalah berpegang kepada pendapat yang lemah.
Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) di dalam kitabnya المجموع Al-Majmu’ katanya: “Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad” (al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, 169, cetakan: Dar al-Fikr,
Di zaman ini, antara ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah aurat ialah al-Syeikh Ibn Baz r.h. (mufti Saudi yang telah meninggal) dalam fatwa-fatwanya yang banyak, diikuti oleh kebanyakan para ulama di Saudi. Sebelum itu `Abu al-`
Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:
-Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31
Maksudnya:“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:
Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: (maksudnya kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan perbincangan ayat tersebut dalam kitabnya Al-Radd al-Mufhim bagi membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat yang membuktikan para sahabah berpegang kepada pendapat yang menyatakan muka dan tapak tangan bukanlah aurat.
Kedua: ayat di atas menyatakan: (maksudnya): “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Allah hanya memerintahkan agar ditutup juyub iaitu jamak kepada jaib ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H) menyebut dalam Al-Muhalla: “Ayat ini adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu” (Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla bi al-Athar, jld.2, m.s. 247, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah,
Di samping perlu diberikan perhatian bahawa ayat ini adalah dalil yang menunjukkan kewajipan menutup kepala, tengkuk dan dada. Ini jelas di dalam ayat di atas. Oleh itu pendedahan kepala, tengkuk dan dada yang dilakukan oleh sebahagian wanita muslimah adalah menyanggahi arahan al-Quran. Adapun apa yang ditakwilkan oleh sebahagian penulis semasa bahawa bahagian-bahagian tersebut tidak termasuk di dalam aurat wanita muslimah adalah penyelewengan dalam penfsiran ayat. Ketika menafsirkan ayat ini al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) berkata: “Hendaklah mereka (wanita) melabuhkan tudung mereka ke atas belahan baju mereka, supaya menutup rambut, tengkuk dan anting-anting mereka”. (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan `an Takwil ai al-Quran, jld. 5, m.s. 544, cetakan: Dar al-Qalam, Damsyiq)
-Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52 (maksudnya) Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda Nabi s.a.w. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.
Di samping itu ayat ini menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan seseorang lelaki ingin mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya. Ini adalah salah satu fitrah yang wujud dalam jiwa seseorang lelaki, kecantikan salah satu faktor yang mempengaruhi jiwa. Hinggakan wanita-wanita syurga yang dijanjikan kepada golongan solihin juga disifatkan al-Quran kecantikan mereka agar hati kita tertawan. Juga dalil diharuskan seorang lelaki melihat wanita yang ingin dikahwininya. Kata al-Imam al-Qurtubi: “Pada ayat ini adalah dalil diharuskan seseorang lelaki melihat kepada seseorang wanita yang ingin dikahwininya”. (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld. 14, m.s. 321, cetakan: Dar al-Fikr,
-Di dalam sebuah hadith daripada Abu Kabsyah al-Anmari, katanya:
Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam al-Ausad . Al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, pada hadith yang ke- 235, berkata: sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan) .
Dalam hadith ini walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana ianya timbul dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi s.a.w. secara praktikal kepada para sahabah dan umat agar melepasi syahwah yang timbul secara halal. Sekiranya wajah wanita berkenaan tidak kelihatan, mana mungkin baginda mengenalinya dan timbul pula perasaan syahwah baginda.
Perlu diingatkan, kita jangan salah faham terhadap Nabi s.a.w. di dalam hadith ini. Hadith ini sebenarnya melambangkan kesempurnaan baginda sebagai rasul yang diutuskan. Baginda tidak bersifat malaikat sehingga tidak ada sebarang perasaan terhadap wanita. Baginda adalah insan yang diwahyukan. Sifat kemanusiaan adalah penting bagi membolehkan manusia mencontohi baginda. Sekiranya baginda malaikat, tentu manusia akan berkata “bagaimana kami ingin mencontohi malaikat yang tidak bernafsu?”. Allah mengutuskan seorang nabi dari kalangan manusia yang mempunyai ciri-ciri manusia, di antaranya; bernafsu kepada wanita. Ini membolehkan baginda memimpin manusia bagaimana mengalirkan nafsu ke jalan yang halal dan diredhai Allah. Oleh itu dakwaan sebahagian golongan sufi untuk menghapuskan nafsu atau syahwah dalam jiwa manusia adalah dakwaan karut. Islam tidak menghapuskan perasaan syahwah dan nafsu yang ada di dalam jiwa manusia, sebaliknya Islam membimbing ke jalan yang halal.
Oleh itu di dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:“Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkan, maka datangilah isterinya, kerana itu dapat menyelesaikan apa yang ada dalam dirinya”(shahwat) (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).
Jika kita teliti hadith ini, kita akan bertanya, “bagaimana mungkin kecantikan wanita zaman tersebut boleh menarik perhatian lelaki jika mereka semua menutup wajah atau berpurdah?. Ini menunjukkan mereka tidak menutup wajah mereka.
-Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain: Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya:
Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khath`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.
Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan: Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.
Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi s.a.w tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi s.a.w pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Kata Ibn Hazm: “Sekiranya wajah wanita itu bertutup tentunya ibn `Abbas tidak mengetahui wanita itu cantik atau hodoh” (Ibn Hazm, Al-Muhalla, jld 2, m.s. 248)
Jika dibaca kesuluruhan hadith di atas, kita akan tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.
Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam hal ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudahkan seseorang muslimah di dalam dunia semasa yang ada. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.
Dalil-dalil ulama jumhur lebih kuat dalam hal ini. Hendaklah para pengajar agama mengajar orang ramai dalil-dalil yang lebih kuat, apatah jika ianya memudahkan orang ramai mengamalkannya. Ternyata pendapat berpurdah satu kewajipan tidak begitu teguh dalil-dalilnya. Mengamalkan yang tepat dan sederhana itu adalah jaminan terhadap kesinambungan umat untuk terus beriltizam dengan agama. Mengamalkan yang susah dan lemah itu, akan menjadikan ianya akan terlucut pada suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment