Thursday, December 07, 2006

Pesanan Buat Diriku Yang Lupa

Pendahuluan

Alhamdulillah, pertama dan selama-lamanya marilah kita merafa’kan kesyukuran ke hadhrat Allah swt di atas kurniaan segala nikmat, yang jika manusia ingin menghitungnya, nescaya mereka tidak akan mampu. Kesyukuran yang tidak terhingga juga kita panjatkan kerana telah dipilih untuk mengecapi nikmat yang paling berharga; nikmat Islam dan Iman. Kedua-dua nikmat ini telah menjadikan kehidupan di dunia ini sesuatu yang bermakna dan kehidupan di akhirat pula suatu yang bahagia.

Lihatlah saudara, berapa ramai lagi manusia yang masih tidak dipilih untuk merasai nikmat ini dan mengecapi kemanisannya. Kehidupan mereka hanya untuk dunia yang sementara. Mereka mungkin bahagia, tetapi sengsara. Mereka gembira tetapi derita. Mereka kaya, tetapi papa. Mereka celik tetapi buta. Justeru, bersyukurlah saudara di atas kurniaan ini.

Syukur di atas hidayah sunnah

Namun, perhatikan juga berapa ramai mereka yang Islamnya hanya pada nama. Berapa ramai yang Islamnya hanya sekadar Islam baka yang menjadi warisan keturunannya. Berapa ramai yang amal ibadat dan tingkah lakunya tidak menepati tuntutan sunnah. Berapa ramai yang Islamnya masih bercampur gaul dengan unsur-unsur yang tidak asli, khurafat dan falsafah yang melampau. Justeru, bersyukur jugalah saudaraku di atas hidayah ini. Hati-hati kita telah digerakkan oleh Allah untuk memilih jalan sunnah ini. Saudara dapat lihat sendiri berapa ramai mereka yang Allah beri beri peluang mereka untuk belajar di Mekah ini, tetapi mereka masih belum mendapat memahami manhaj ini. Marilah kita doakan semoga Allah memudahkan kita dan menambahkan kefahaman kita terhadap amalan sunnah yang dituntut oleh Rasulullah saw. Kita mesti yakin dan percaya, inilah jalannya yang satu. Inilah golongannya yang satu. Inilah janji Baginda yang satu. Inilah jalan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Tuntut ilmu

Saudaraku,

Tiada jalan untuk memahami agama ini kecuali dengan ilmu yang sahih. Agama tidak ditegakkan dengan angan-angan kosong, cerita-cerita dongeng, tipu daya dan kata nista. Tetapi agama ini ditegakkan dengan fakta dan hujah. Al-Quran & Sunnah itulah fakta dan hujah utama. Al-Quran dan Sunnah ini tidak akan difahami dan dimengerti jika kita hanya sekadar duduk diam menyepi, tanpa ada usaha menyusuli. Oleh itu, marilah saudara, kita penuhi hidup ini dengan menuntut ilmu. Menuntut ilmu tiada kadar masanya. Tiada had usianya. Tiada juga sempadan negara. Walau bidang apa pun yang menjadi pilihan hati, biarlah kita yang menjuarai. Namun al-Quran dan Sunnah mesti difahami dan diteladani.

Amal

Bak kata pepatah “Ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah”. Benar kata-kata ini. Apa guna saudara asyik menambahkan ilmu dan maklumat, tetapi amalan masih sekerat. Saudara pantas membaca hadis dan ayat, tetapi amalan masih lagi liat. Biarlah sedikit yang saudara tahu, tetapi yang sedikit itu saudara amalkan terlebih dahulu. Sedikit yang berterusan, lebih baik dari banyak yang berputusan. Semoga segala ilmu yang saudara pelajari, ianya dapat menjadi amalan diri dan sentiasa tersemat di hati. Kita pohon perlindungan supaya kita tidak termasuk di dalam golongan yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak dikota.

Dakwah

Saudaraku,

Islam ini bukan milik seseorang. Tiada siapa yang berhak untuk mendakwa bahawa Islam ini hanya miliknya seorang diri. Perhatikan mereka yang disekeliling saudara, apakah mereka tidak berhak tahu apa yang saudara telah tahu?. Apakah mereka tidak berhak beramal apa yang telah saudara amalkan?. Usah bersedap hati dengan ilmu dan amalan diri, sedangkan mereka masih tidak mengerti. Siapa lagi yang akan memberitahu mereka, kalau bukan saudara?. Siapa lagi yang akan mengajar mereka, kalau bukan saudara?. Siapa lagi yang akan mengajak mereka kalau bukan saudara?. Justeru, khabarkanlah kepada mereka, ajarlah mereka, ajaklah mereka, berkongsilah dengan mereka. Pimpin dan bimbinglah mereka. Inilah yang dikatakan da’wah.

Da’wah itu wajib ke atas setiap Muslim. Apa yang saudara tahu tentang agama ini sampaikanlah. “Ana tak pandai bagi kuliah”. “Ana tak tau ceramah”. Jangan jadikan ayat-ayat sebegini sebagai alasan. Orang yang mahu, mencari jalan, yang tidak mahu memberi alasan. Apakah saudara terlupa, menulis juga berda’wah. Mengajak ke majlis ilmu juga dakwah. Mengedar bahan-bahan agama, menampal risalah dan poster, sumbangan tenaga dan kewangan, menguruskan program dan sebagainya; ini juga adalah dakwah. Malah jangan terlupa, tingkah laku dan akhlak yang baik juga adalah dakwah. Bahkan inilah yang paling senang, tanpa modal dan pengalaman. Tetapi ia sangat berkesan. Oleh itu, apa yang penting, usaha dakwah mesti dijalankan, ianya mengikut keadaan dan kemampuan.

Dakwah Fardiyah

Setiap hari saudara bertemu manusia. Setiap hari saudara bertemu kawan. Setiap hari saudara bertemu rakan. Setiap hari juga saudara bersembang dengan kawan. Setiap hari saudara bersembang dengan rakan. Apa yang saudara sembang? Apa yang saudara bualkan? Jika saudara tidak pandai berceramah, jika saudara tidak pandai memberi kuliah, saudara masih lagi boleh lakukan dakwah fardiyah. Kemungkinan orang lain boleh buat sekatan dan menghalang program, orang lain mungkin boleh halau dan usir dari tempat pengajian, orang lain mungkin boleh menyekat sumber kewangan, tetapi apakah mereka boleh menghalang dan menyekat dakwah yang dilakukan secara fardiyah? Oleh itu, pilihlah sasaran, letakkan matlamat dan tujuan. Betapa untungnya saudara jika dapat mengajak, mengajar dan membimbing seseorang untuk memahami Islam yang tulen. Betapa banyak ganjaran yang saudara akan perolehi jika saudara menjadi asbab untuk seseorang itu memahami Islam dan sunnah.

Namun, dakwah fardiyah ini mesti dilakukan dengan penuh bijaksana. Jangan terlalu gopoh gapah. Saling berkenalan. Kaji dan fahami terlebih dahulu peribadi dan latar belakang mad’u. Jalinkan kemesraan, wujudkan kepercayaan, hulurkan khidmat bantuan, pamerkan kejujuran dan keikhlasan, amanah di dalam persahabatan. Kemudian barulah sampaikan mesej dakwah yang menjadi matlamat dan tujuan.

Pengkaderan

Kejayaan dan kekuatan di dalam sebuah organisasi tidak hanya diukur sejauh mana kejayaan yang dicapai sewaktu seseorang itu masih ada. Tetapi ia dilihat bagaimanakah generasi yang ditinggalkan selepas daripada ketiadaannya. Justeru, saudara perlu takut dan bimbang jika generasi selepas saudara adalah generasi yang lemah dan dayus.

Oleh itu, usaha pengkaderan mesti menjadi salah satu daripada agenda penting gerakan sunnah ini. Saudara perlu menerima hakikat bahawa sesuatu generasi itu akan pergi dan perlu diganti oleh generasi yang lain. Seseorang itu akan pergi, dan perlu diganti oleh orang lain. Bagaimana saudara ingin memastikan kelangsungan kerja dakwah ini jika saudara tidak menyediakan dan melahirkan generasi yang memahami manhaj dan sedar akan kepentingan menyebarluaskan manhaj ini. Satu rangka proses pengkaderan mesti disusun mengikut kesesuaian dan kemampuan saudara.

Jadilah da’ie bukan hakim.

Saudara adalah da’ie. Tugas da’ie adalah mengajak ke arah kebaikan, mengajak dan terus mengajak. Saudara bukan hakim untuk menghukum orang lain. Oleh itu, jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang belum bersama-sama saudara di atas satu manhaj yang sama. Hari ini, mereka mungkin tidak bersama-sama saudara, malahan mungkin menentang dan memusuhi saudara. Tetapi siapa tahu apa yang akan berlaku esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan dan masa akan datang. Jika saudara terus menghukum atau melabel mereka yang masih belum bersama-sama di atas satu manhaj yang sama, saudara sebenarnya telah menutup pintu dakwah malahan telah membina satu tembok penghalang antara saudara dan mereka. Bukanlah tugas saudara untuk memberi hidayah, kerana ia adalah hak milik Allah, tetapi tugas saudara ialah berdakwah.

Sebagai da’ie saudara mesti sentiasa bersikap sangka baik, rasa kasihan, bersabar dan tidak putus asa. Saudara mesti melihat rakan-rakan yang masih belum di atas manhaj yang sama dengan rasa kasihan kerana mereka masih belum diberi peluang untuk memahaminya. Bersangka baiklah bahawa suatu masa mereka juga tetap akan bersama. Jadi, apa yang perlu saudara buat? Tiada yang lain, kecuali terus mengajak dan sampaikan mesej dakwah kepada mereka. Syaratnya, mesti bersabar dengan segala dugaan dan tidak putus asa. Jangan lupa doa, kerana ia senjata yang sering dilupakan kekuatannya.

Hikmah dalam tindakan.

Buatlah sesuatu yang sesuai, dengan cara yang sesuai, kepada orang yang sesuai. Inilah hikmah. Berapa ramai mereka yang bukan tidak mahu mengakui kebenaran itu sabagai suatu kebenaran, tetapi mereka tidak boleh menerima bagaimana cara saudara menyampaikan kebenaran. Ya, saudara mungkin boleh berkata kepada mereka, lihatlah kepada apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan dan bagaimana cara disampaikan. Tetapi apa pula yang akan saudara perlu kata kepada diri sendiri? Saudara mesti menunjukkan contoh yang baik, menggunakan uslub yang berkesan dan memilih perkataan yang sesuai. Jika saudara tidak suka orang lain melabelkan saudara, orang lain juga sama. Jika saudara tidak suka dengan cara penyampaian orang lain yang terlalu keras, mereka juga sama. Jika saudara tidak suka orang lain yang hanya pandai bercakap, tetapi tiada contoh teladannya, mereka juga sama. Marilah saudara, kita renung dan fikir kembali apakah cara dakwah kita selama ini memang benar-benar disukai dan boleh diterima oleh orang lain? Oleh itu, berhikmahlah dalam semua tindakan dan tutur bicara.

Tidak ta’sub

Manhaj Ahl Sunnah menyeru supaya manusia tidak boleh mempunyai sikap taasub dengan mana-mana mazhab dan pendapat para imam. Taasub di sini beerti, seseorang itu tetap berpegang dengan sesuatu pendapat dalam mazhabnya atau pendapat seorang imam, walaupun selepas dia mengetahui pendapat tersebut tidak tepat dengan dibentangkan kepadanya pendapat dan pegangan yang lebih tepat berdasarkan dalil-dalil syara’.

Sepertimana saudara menyeru orang lain supaya tidak taasub, maka saudara juga perlu mengawal diri sendiri supaya tidak terjerumus di dalam lubang taasub ini. Saudara tidak boleh bertaasub dengan mana-mana guru, ustaz atau tuan-tuan guru. Saudara juga tidak boleh bertaasub dengan mana-mana persatuan, pertubuhan, parti, jamaah dan sebagainya. Percayalah, sesungguhnya taasub itu membinasakan. Marilah kita “bertaasub” dengan dalil-dalil yang sahih.

Elakkan bersangka buruk dan cepat melabel

Elakkan kita daripada menjadi seorang yang hanya asyik tahu mencari kesalahan orang lain. Pantang orang lain melakukan sesuatu amalan, lantas mulut saudara terus berkata: “itu puak-puak bid’ah, puak tidak ikut sunnah, tidak faham sunnah, melawan sunnah dan sebagainya”. Tanpa ada usul periksa dan sebarang pertimbangan yang lain. Ya, yang sunnah kita katakan sunnah, yang bid ‘ah kita katakan bid ‘ah. Tetapi apakah semua orang yang melakukan amalan bid ‘ah, sekaligus ia terus boleh dicop sebagai ahli bid ‘ah?. Pernahkah kita terfikir yang kemungkinan dia tidak tahu, belum sampai pengetahuan kepadanya dan menurut kefahamannya apa yang dibuat itu sunnah dan ia melakukannya di atas niat untuk mengikuti sunnah. Saudara pula tidak pernah teringin untuk berkenalan dan bersembang dengannya. Seterusnya memberitahunya yang dia lakukan itu tidak ada di dalam sunnah.

Amalan dan ibadat harian.

Manhaj Ahl Sunnah bukan sekadar melarang manusia daripada melakukan amalan yang tidak terdapat di dalam ajaran sunnah, tetapi banyak juga amalan yang menjadi suruhan dan galakkannya.

Saudara yang mengaku ingin memahami sunnah, memperjuangkan sunnah dan membela sunnah, pernahkan menilai sendiri apakah amalan-amalan sunnah yang saudara amalkan dalam kehidupan saudara?

Berapa kali dalam seminggu saudara solat subuh berjamaah di masjid? Berapa kali dalam sehari saudara solat berjemaah di masjid? Berapa banyak ayat al-Quran yang saudara baca dalam sehari? Atau adakah membaca al-Quran menjadi amalan harian saudara? Apakah saudara selalu mengamalkan bacaan doa-doa yang ma’thurat pada waktu pagi dan petang? Berapa kali anda berpuasa sunat Isnin dan Khamis dalam sebulan? Berapa kali anda qiyam al-lail dalam sebulan? Banyak lagi soalan yang perlu anda jawab dengan tindakan. Saudara yang lebih kenal dengan diri saudara.

Saudara mungkin akan berkata: “Ini semua perkara sunat, syiekh!!”. Ya, memang ini perkara sunat, yang tidak wajib. Tetapi apakah bila saudara tahu itu perkara sunat, maka ia digalakkan untuk ditinggalkan? Atau pun sebaliknya. Tidakkah ini semua sebahagian daripada tuntutan sunnah?

Di mana sumber kekuatan rohani anda selain daripada anda mengidupkan amalan-amalan sunnah ini di dalam diri saudara terlebih dahulu. Jangan saudara asyik memerhatikan dan menyalahkan amalan orang lain, sedangkan saudara terlupa dengan amalan diri sendiri.

Saudara perlu ingat, rakan-rakan lain akan memerhatikan tingkah laku saudara yang dikatakan telah memahami sunnah. Saudara perlu memberikan contoh tauladan yang baik di dalam aspek ini.

Disiplin dan sikap

Mereka yang berjaya adalah mereka yang berdisiplin. Kejayaan pertama untuk mencapai kejayaan ialah kejayaan merubah sikap dan cara berfikir. Gerakan yang berjaya adalah gerakan yang mempunyai ahli-ahli dan tenaga penggerak yang berdisiplin dan mahu merubah sikap.

Saudara tidak perlu hairan dan bingung mencari sebab dan punca jika dakwah saudara tidak berkembang malahan menjadi semakin menguncup dan terus kaku layu. Mungkin sebab dan puncanya saudara yang tidak berdisiplin dan tidak mahu merubah sikap dan cara berfikir.

Apakah dianggap berdisiplin dan bersikap baik jika saudara telah merancang suatu aktiviti, tetapi saudara sendiri yang mengabaikannya? Apakah dikira berdisiplin jika tugasan yang sepatutnya saudara selesaikan hari ini tetapi esok baru siap. Tugasan minggu ini, tapi minggu depan baru siap. Tugasan bulan ini, tapi bulan depan pun tak siap. Tugasan dalam tahun ini, tapi tahun depan baru nak buat.

Apakah dikira berdisiplin, jika sepatutnya kerja dakwah yang telah ditetapkan, anda perlu lakukannya setiap bulan, tetapi apa yang anda buat ialah bulan ini buat –selepas ditanya berulang kali- bulan depan saudara tidak buat pula. Jika ini berlaku, di mana disiplin saudara?.

Ikut arahan

Kadang-kadang terfikir juga ada baiknya konsep “taat dan wala’ yang dipraktikkan oleh sesetengah pihak. Nampak jelas hasil dan kesannya. Tersusun juga gerakannya. Tetapi saudara –yang mengakui ingin memperjuangkan sunnah- disuruh buat sesuatu (tugasan berkaitan dakwah), bermacam alasan yang diberikan. Akhirnya kerja tersebut –yang saudara pun boleh buat- terpaksa dilakukan sendiri oleh “ketua” saudara. Akhirnya “ketua” ini terpaksa menyelesaikan tugas rakan-rakannya, di samping berusaha untuk melaksanakan fungsinya yang lain sebagai “ketua”. Bayangkan jika bukan saudara saja, yang melakukan perkara ini, tetapi dua tiga rakan saudara yang lain juga melakukan perkara yang sama. Maka “ketua” ini terpaksa melakukan kerjanya sendiri, kerja saudara dan kerja rakan-rakan saudara di dalam satu gerakan yang sama.

Saudara jangan pula tersalah anggap dengan konsep ini. Sememangnya taat dan wala’ kita yang utama hanyalah kepada Allah dan RasulNya. Tetapi apakah taat dan wala’ ini menghalang saudara daripada mengikuti pandangan dan arahan “ketua” saudara di dalam perkara kebaikan? Saudara juga berhak untuk menyuarakan pandangan saudara dan bertanya. Kemungkinan apa yang difikirkan oleh “ketua” saudara tidak sama dengan apa yang saudara fikirkan, natijahnya apa yang dilihat oleh ketua, tidak dilihat oleh saudara. Maka keputusannya juga mungkin tidak sama.

Musyawarah

Justeru, di sinilah kepentingan musyawarah. Senantiasa keputusan yang dibuat hasil daripada musyawarah, lebih tepat. Cuma saudara perlu juga berdisiplin di dalam musyawarah. Jika ada sebarang ketidakpuasan hati, tidak setuju, bangkangan, kritikan, pandangan dan cadangan, saudara perlu suarakan dalam musyawarah. Tiada siapa yang tahu apa yang terpendam dalam benak fikiran dan hati saudara. Apabila keputusan telah disepakati hasil daripada perbincangan di dalam musyawarah, saudara perlu patuh, walau pun keputusan tersebut pada asalnya saudara tidak setuju. Tetapi apabila ia telah menjadi keputusan mesyuarat, masing-masing perlu berusaha berganding bahu melaksanakannya. Inilah sebahagian daripada disiplin musyawarah. Elakkan daripada sikap ‘cakap belakang’. Bila ditanya dalam mesyuarat, semuanya diam membisu tanda setuju. Tapi selesai mesyuarat, ada suara-suara sumbang di belakang pintu. Tidak setuju ini dan itu. Petah pula berkata sepatutnya begini dan begitu.

Pengurusan masa

Selalu orang berkata: “masa tidak cukup”, “ana sibuk ni”, “ana tak sempat”. Betulkah masa saudara tidak cukup? Kenapa saudara melihat orang lain seakan-akan lebih masanya? Berapa banyak masa yang saudara dapat? Betulkah saudara betul-betul sibuk atau menjadi penyibuk? Betulkah saudara tidak sempat atau buat kerja tak kena tempat?

Saudara sendiri yang tahu jawapannya. Ya, saudara adalah pelajar, tetapi saudara juga adalah pendakwah. Perlukah saudara abaikan pelajaran semata-mata untuk berdakwah? Atau patutkah saudara hanya tumpukan pelajaran hingga abaikan tugas dakwah? Atau mungkinkah belajar itu sebahagian daripada tuntutan dakwah?

Pelajaran adalah perkara pertama, tetapi tidak semestinya dakwah menjadi perkara kedua. Kedua-dua ini perlu diberikan tumpuan. Saudara yang Allah telah berikan sedikit kesedaran dan kefahaman untuk menelosori jalan sunnah, tidak sepatutnya bersikap diam diri dan beramal untuk diri sendiri sahaja. Berikan sumbangan agar orang lain juga turut memahaminya.

Usah lagi beri alasan yang saudara tidak punyai masa. Hitung kembali ke mana masa anda telah habiskan seharian. Berapa lama saudara tidur kembali selepas solat Subuh? Berapa lama masa saudara makan di kantin, HS cafe, “kubur” dan lain-lain tempat lagi? Berapa lama masa saudara menonton tv, vcd dan astro? Berapa lama masa saudara bersembang kosong di masjid? Berapa lama masa saudara bermain computer game, Fifa dsb?

Tidak perlu jawab dengan lisan, tetapi buktikan dengan tindakan. Hargailah masa saudara.

Kewangan

Tidak dapat dinafikan bahawa wang menjadi keperluan di dalam melicinkan perjalanan dakwah. Dunia hari ini, segala-galanya adalah wang, tetapi bukanlah wang itu segala-galanya. Jangan pula disebabkan tiada wang, maka usaha dakwah pun tidak berjalan. Bersembang dan bercakap dengan rakan-rakan tidak memerlukan modal. Jadikan ia sebagai salah satu dakwah.

Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan sumber kewangan perlu juga diberi perhatian agar gerak kerja dakwah ini dapat berjalan dengan lebih sempurna dan lancar. Mereka yang terlibat pula tidak akan berasa tertekan sehingga terpaksa mengeluarkan duit sendiri. Rancang projek ekonomi yang dapat memberikan sumber kewangan.

Pelajari kemahiran sampingan

Ia tidak penting, tetapi ia perlu. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk saudara tambahkan kemahiran-kemahiran sampingan (softskill). Kemahiran-kemahiran ini sebenarnya banyak boleh membantu saudara dalam melaksanakan dakwah dan menajdikan organisasi dakwah saudara menjadi lebih tersusun. Antara kemahiran yang saudara boleh pelajari ialah kemahiran berorganisasi, kemahiran komunikasi, kemahiran membuat keputusan, kemahiran mesyuarat, menguruskan stress, menguruskan kerja dan waktu, kemahiran komputer dan sebagainya.

Akademik

Jangan menjadikan alasan saudara terlibat dalam gerakan dakwah, maka saudara tidak dapat berikan tumpuan terhadap akademik. Saudara mempunyai peluang yang baik untuk meningkatkan kualiti diri saudara apabila saudara terlibat dalam gerakan dakwah sunnah ini. Jika rakan-rakan saudara fokusnya hanya akademik, maka tidak hairanlah jika dia cemerlang dalam akademik. Tetapi jika saudara yang terlibat dengan gerakan dakwah ini, masih mampu menunjukkan prestasi akademik yang baik, sebenarnya saudara adalah lebih cemerlang. Saudara akan lebih bijak untuk menghargai masa yang ada. Saudara akan lebih tahu bagaimana menetapkan keutamaan kerja. Saudara akan ingin tahu bagaimana teknik studi yang lebih berkesan. Jika anda dapat mengekalkan prestasi yang baik dalam akademik, sebenarnya ia juga salah satu daripada dakwah bil hal.

Isu semasa dan masalah sosial

Kita bukanlah sebuah gerakan yang hanya sekadar melarang “usalli” atau “menggerakkan jari”. Untuk mengelakkan tohmahan yang seperti ini dilemparkan, saudara perlu peka dengan isu semasa yang berkaitan dengan al-Deen dan masalah sosial yang berlaku di sekitar saudara. Gerakan sunnah adalah gerakan yang syumul lagi menyeluruh. Saudara mengajar orang cara solat yang betul mengikut sunnah nabi, saudara juga perlu mengajak orang yang tidak solat. Saudara mengajar cara berpakaian mengikut sunnah, saudara juga perlu menegur mereka yang berpakaian punah ranah (baju singkat, nampak pusat, seluar ketat, kain sendat). Saudara mengajar orang doa menaiki kenderaan, saudara juga perlu bertindak apabila semakin banyak pasangan yang belum berkahwin menunggang dan membonceng motor bersama-sama dalam kawasan saudara (kampus).Dalam erti kata yang lain, saudara melakukan amar ma’ruf, saudara juga melakukan nahi mungkar.

Saudara juga perlu peka dengan isu semasa yang berkaitan dengan Islam. Apa tindakan saudara terhadap isu murtad, IFC, Islam liberal, isu Palestin, masalah keruntuhan akhlak remaja dsb. Jangan apabila saudara melibatkan diri dalam gerakan sunnah ini, saudara menjadi lesu dan hanya dilihat sebagai mementingkan perkara-perkara tertentu sahaja. Misalnya, di mana hendak diletakkan tangan ketika qiyam, turun kaki atau lutut dahulu ketika sujud, berdoa sapu muka atau tidak dsb. Saudara mesti mempamerkan bahawa gerakan sunnah ini adalah gerakan tajdid yang boleh disertai oleh semua golongan.

Semarakkan arus tajdid ini.

Arus dan gelombang tajdid semakin bergelora di bumi Malaysia ini. Tajdid yang kita maksudkan ialah melakukan pembaharuan di dalam pemahaman dan pengamalan terhadap perkara agama supaya ia kembali kepada asal seperti mana yang difahami dan diamalkan oleh generasi salaf. Percayalah, arus ini semakin deras dan semakin hari ia semakin meruntuhkan benteng-benteng khurafat, bid’ah, fiqh yang menyusahkan, cara berfikir yang konsevatif, sufi dan tareqat yang melampau, syi‘ah, Islam liberal, secular, nasionalisme dan sebagainya. Arus tajdid ini ingin mengajak supaya kembali kepada manhajAhl Sunnah yang tulen. Beraqidah dengan aqidah yang sejahtera. Beramal dengan fiqh al-taysir. Berfikir dengan cara fikir yang dapat membangunkan umat. Memberikan nafas baru dan menghidupkan generasi Islam yang dilihat seakan-akan telah mati.

Ayuh saudara, mari kita sertai dan semarakkan arus tajdid ini. Ajaklah generasi baru Islam untuk bersama-sama saudara di atas manhaj ini. Berilah apa sahaja sumbangan saudara yang termampu kepada arus tajdid. Islam tidak akan rugi dan kalah jika saudara tidak membantu memperjuangkannya kerana janji Allah dan RasulNya pasti akan berlaku. Islam yang tulen akan tetap menang, oleh itu biarlah kita menang bersama-sama dengan kemenangan Islam..

Penutup

Akhirnya, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pihak di atas segala kesalahan yang pernah dilakukan sama ada secara sedar atau pun tidak disedari.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua teman-teman yang telah memberikan teguran, sokongan, bantuan, tunjuk ajar dan nasihat selama ini. Kalian semua merupakan sebahagian daripada watak-watak penting di dalam lakaran hidupku. Kalian semua telah menjadikan hidupku ini ceria dan bermakna. Semoga ukhuwah yang terjalin ini akan terus mekar dan berkembang indah sehingga ke akhirnya

Doakan pemergian saya ke tanah haram, Makkah al-Mukarramah ini dapat memberikan sesuatu yang amat bermakna di dalam usaha saya untuk menuntut ilmu. Doakan semoga Allah memberikan kefahaman kepada saya dan mudahkan saya di dalam menuntut ilmu. Doakan juga kepulangan saya nanti adalah kepulangan yang dapat memberikan sumbangan kepada agama dan umat serta kepada negara.

* Pesanan ini ditulis dan ditujukan khas kepada diri saya sendiri. Jika adanya sedikit manfaat kepada teman-teman sekalian, maka terimalah ia sebagai satu lontaran idea dan pengalaman.

Yang jauh di perantauan,

Abu Ubaidah,

12/9/2006

Mina, Makkah al-Mukarramah.

11.18 pm.

No comments: