Wednesday, February 28, 2007
KEMATIAN PASTI AKAN TIBA....................(Siri 2)
Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa bagi seseorang yang sedang menghadapi kesulitan hidup. Ia akan menimbulkan kesedaran bahawa dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya kekal abadi selama-lamanya. Bagi mereka yang dianugerahkan dengan kesenangan dalam kehidupan, maka mengingati kematian dapat menjauhkannya dari segala kerlipan serta godaan duniawi. Kematian akan menyedarkannya bahawa segala kesenangan berbentuk duniawi itu tidak kekal dan dia bakal akan berpisah darinya. Hanya kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Ini dapat menggerakkan jiwanya untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia itu demi untuk mencapai kebahagian di akhirat. Sabda
Rasulullah s.a.w.:
Perbanyakkan mengingati pemutus kenikmatan iaitu kematian, kerana sesungguhnya tidaklah seseorang yang mengingatinya di waktu sempit kehidupannya, kecuali (mengingati kematian) itu melonggarkan kesempitan hidup atas orang itu. Dan tidaklah seseorang mengingatinya di waktu luas (kehidupannya) , kecuali (mengingati kematian) itu menyempitkan keluasan hidup atas orang itu. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir no: 1400.
Oleh itu dengan menyedari setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi maut dan maut itu akan datang pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T. tanpa penangguhan mahupun dipercepatkan waktu kehadirannya, pasti ianya akan menimbulkan semangat untuk segera melakukan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya seseorang itu menangguh-nangguhkan untuk melakukan amalan yang soleh dan ternyata ajalnya tiba ketika sedang asyik melakukan maksiat maka dia termasuk orang yang merugi dan bakal mendapat balasan yang buruk di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T.:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) . Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun (63) : 9-11
Justeru itu setiap umat Islam seharusnya memanfaatkan seluruh kehidupannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan mengerjakan segala amalan yang diperintah oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya dan meninggakan larangan-Nya sebelum ditimpa kematian.
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar dia berkata: Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda:
Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah seorang yang asing atau seorang musafir.
Dan Ibnu ‘Umar menyatakan: Jika engkau masuk waktu subuh, maka janganlah engkau menanti senja. Jika engkau masuk waktu senja, maka janganlah menanti subuh. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu dan ambillah dari hidupmu untuk matimu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5937.
Oleh itu diwaktu badan kita sedang sihat ini hendaklah kita manfaatkan semaksimum mungkin untuk menjadi hamba yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh. Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terpaksa hidup di dalam keuzuran sampaikan kita tidak mampu melakukan amalan-amalan yang soleh. Kita pergunakan hayat kita ini dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa kita sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.
Semoga penulisan ini akan mengingatkan diri kita semua terutamanya penulis sendiri akan kematian yang bakal tiba dan mudah-mudahan ianya dapat meningkatkan keinginan kita untuk melakukan apa jua persiapan yang sewajarnya demi untuk menghadapi kematian tersebut. Hamid al-Qaishari pernah berkata:
Kita semua telah menyakini kematian, tetapi kita tidak melihat orang-orang yang bersiap-sedia menghadapinya!
Kita semua telah meyakini adanya syurga, tetapi kita tidak melihat oarang yang beramal untuknya!
Kita semua telah meyakini adanya neraka, tetapi kita tidak melihat orang-orang yang takut terhadapanya!
Maka terhadap apakah kamu bergembira?
Kemungkinan apakah yang kamu nantikan?
Kematian! Itulah yang pertama kali yang akan dating kepadamu dengan membawa kebaikan atau keburukkan.
Wahai saudara-saudaraku! Berjalanlah menghadapi Penguasamu (yakni Allah) dengan perjalanan yang bagus.– Mukhtashar Minhajul Qashidin, ms. 483, tahqiq Syaikh Ali bin Hassan al-Halabi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment