Tuesday, May 08, 2007

Hukumlah dengan keluasan Islam bukan sentimen

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN


ADA orang bertanya, apakah bezanya antara politik orang dakwah dan dakwah orang politik? Saya kata barangkali itu hanya mainan bahasa. Saya kurang suka dengan mainan bahasa, yang penting adalah maksud dan tujuan sesuatu ungkapan. Ungkapan itu mungkin dimaksudkan politik orang dakwah menggunakan kaedah dan strategi yang diizinkan syarak. Adapun dakwah orang politik kadangkala dia menjadikan ajakannya kepada Islam mempunyai tujuan politik.

Saya bukan menafikan kemungkinan orang politik juga jujur dalam dakwahnya. Namun jika kedudukan politik menjadi fokus dalam dakwah, dia bukanlah pendakwah sebenar yang membawa obor Islam yang syumul dan lengkap. Perkara ini saya tujukan untuk semua tanpa berpihak.


Kita disuruh memasuki Islam dari pintu yang syumul. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Apabila kita memasuki Islam secara keseluruhan, kita akan dapati dalamnya ada akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak dan sebagainya. Maka kita akan berusaha supaya setiap tuntutan Islam itu ditunaikan. Juga menilai setiap perkara dengan keluasan Islam itu. Jika kita cuba melihat Islam hanya dari pintu ekonomi umpamanya, tanpa melihat soal akidah, ibadah, akhlak, politik dan sebagainya, maka perbincangan ekonomi kita akan kontang dari sudut akidah, ibadah dan akhlak.

Sehingga jangan nanti panel-panel syariah bank hanya cekap ‘meluluskan’ produk- produk bank
atas nama Islam, namun tidak memikir soal roh keadilan dan kebebasan dari unsur penindasan ekonomi ke atas pengguna yang merupakan cabang dari akhlak Islam. Maka ramai mulai terasa sesetengah produk perbankan Islam lebih membebankan berbanding konvensional.

Demikian juga janganlah dalam keghairahan berpolitik, kita melihat segalanya dengan nilaian politik. Kita melupai soal- soal akidah dan akhlak Muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama. Sama kesnya apabila seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya: “Dr! Adakah saya masuk neraka kerana tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah- ibadah yang lain?”

Saya beritahu: “Saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka. Ini kekuasaan mutlak Tuhan yang menciptakan neraka. Di akhirat, neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan Allah. Demikian juga syurga.”

Namun Allah memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firman- Nya (bermaksud), Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Haawiyah’ itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. (al-Qariah: 6-11).

Adapun saya yang daif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat. Saya sendiri tidak tahu nasib saya, bagaimana saya boleh tahu nasib orang lain? Namun jika saudari bertanya, adakah perbuatan saudari salah atau betul, jawapannya, ia satu kesalahan.

Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka? Maka jawapan dalil-dalil al-Quran dan al-sunah menunjukkan ke neraka. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab. Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia.

Dalam hidup ini, ada ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindah kepada kita atau dosa kita diberikan kepadanya seperti dalam hadis al-Imam Muslim. Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak Allah. Dosa menyumbang ke arah neraka, pahala ke arah syurga.

Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibu bapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. Allah yang maha adil akan menimbangnya dan menentukannya. Demikianlah semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat. Wanita itu diam, barangkali dia berpuas hati.

Mesej saya adalah hendaklah melihat setiap insan menerusi kerangka Islam yang menyeluruh, bukan sekadar sentimen ekonomi atau politik.

Janganlah kebencian kepada seseorang atau puak, menyebabkan kita tidak adil kepadanya. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8 (maksudnya): Wahai orang- orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Saya agak dukacita apabila mengenangkan ada ‘ustaz-ustaz’ daripada pihak tertentu yang belum dapat menerima beberapa perkara yang saya sebut lantas mereka menjawabnya secara ‘maki hamun’. Ada yang menjual kaset-kaset mereka ini.

Faktor yang menyebabkan hal ini adalah kerana menghukum berdasar sentimen. Sepatutnya, persoalan ilmiah dijawab secara ilmiah. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen, lantas menjadikan maki hamun pendekatan dalam persoalan ilmiah syarak. Jangan tafsir, hukum semua perkara dengan nada politik atau ‘kaca mata’ politik.

Penilaian sesuatu kebenaran adalah dalil dan hujah bukan sekadar pandangan mereka yang ‘sekapal’ dengan kita. Jangan kerana seseorang itu, tidak ‘satu kem’ , maka semua pandangannya ditolak.
Saya bukan orang politik. Nilailah pandangan-pandangan tersebut dengan nilaian ilmiah.

Persoalan dakwah dan ilmiah sebenarnya lebih jauh dari persoalan pilihan raya dan merebut kerusi. Kerja politik pilihan raya ada musimnya. Namun dakwah kepada Islam dalam bentuknya yang menyeluruh tidak terhenti dengan berakhirnya pilihan raya. Kadangkala mendengar sesetengah ceramah yang dikatakan agama yang dibaluti dengan makian dan sumpah seranah maka saya tertanya-tanya, adakah tindakan seperti ini bertujuan inginkan pahala, atau sekadar melepas amarah.

Adakah ini wajah dan suasana masyarakat Islam yang kita impikan? Inikah Islam yang lengkap, merangkumi segala keluhuran dan keharmonian? Namun saya tahu, bukanlah semua penceramah begitu. Ramai juga yang lunak dan bersopan.

Barangkali baik juga untuk semua mendapat manfaat dari nasihat tokoh dakwah yang masyhur, Al-Syeikh Abu al-Hasan Ali Al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada Al-Ikhwan Al-Muslimin. Nasihat ini dirakamkan dalam risalahnya: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin).

Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya, ‘Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu’.

Saya terjemahkan antara kata-kata itu: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu atau menghadapi buta huruf dan kejahilan atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti diperjuangkan para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya… Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak terlintas dalam fikiran.

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Ini seperti firman Allah (maksudnya), Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41).

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperoleh itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu terseleweng tujuan. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah.

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah - dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-


sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kasih kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa - setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang Mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.”
(Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hasan Al-Hudaibi pernah menyebut, “Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu.”

Perjuangan mewujudkan masyarakat Islam yang lengkap atau sempurna dari segi penghayatan dan pelaksanaan Islam adalah cita-cita mulia. Tiada siapa pun berhak mempertikaikannya. Cuma yang kita bincangkan, pendekatan dalam mencapai matlamat itu. Matlamat Islam mesti melalui denai-denai dan tatasusila Islam.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Hasrat Islam hendaklah diterjemahkan dalam wajah Islam. Jangan hasrat Islam diwatakkan kepada manusia dengan wajah yang tidak Islamik. Maka cita- dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semula jadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semula jadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan
cita-cita Islam itu nanti akan dipertikaikan.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm



http://al-ahkam.net/home/images/box_long3_19.gif

No comments: