Sunday, July 22, 2007

Islam menentang sikap isti’jal

OLEH DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

USAHA memartabatkan Islam sering kali dicemari dengan pelbagai anasir asing yang pada hakikatnya di luar kerangka ajaran Islam itu sendiri. Kita biasa mendengar suara-suara bersemangat dan penuh emosi mencanangkan agar Islam kembali didaulatkan dengan apa cara sekalipun. Semangat berkobar-kobar untuk melihat Islam kembali tertegak dalam masa singkat lantas mendorong tingkah dan perilaku gopoh dan terburu-buru yang akhirnya mengundang fitnah dan kebinasaan.

Fenomena terburu-buru atau disebut dengan istilah isti‘jal tampak semakin mengakar dalam masyarakat Islam ketika ini. Tidak hairanlah jika wujud pelbagai kelompok dan gerakan yang kononnya bersemboyankan gagasan perjuangan Islam tetapi pada hakikatnya tidak mencerminkan jiwa apatah lagi menzahirkan roh Islam sebenar. Sebaliknya slogan-slogan bersemangat yang dihamburkan lebih banyak bersifat retorik sehingga membawa kepada tindakan melulu yang membinasakan.

Kerana itulah pengasas gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, Hassan Al-Banna pernah memberikan peringatan khusus kepada golongan yang diistilahkan sebagai ‘al-mutahammisuna ‘l-muta‘jiluw (orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh) bahawa beliau tidak akan bersama dengan mereka yang hendak memetik buah sebelum masak, yang hendak menuai sebelum musim.

Ternyata sikap isti‘jal atau terburu-buru ini ditolak oleh agama. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah diminta oleh Khabbab bin Al-Art agar memohon kemenangan yang segera dan semerta bagi Islam. Katanya: “Mengapa engkau tidak mendoakan untuk kita Ya Rasulullah? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka yang merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda: Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga tergelupas daging dari tulang dan dibelah dua dengan gergaji, tetapi tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, ia akan memberi kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga tidak takut serigala menerkam kambingnya, tetapi kamu minta disegerakan! (Riwayat Bukhari).


Pasti

Memang pertolongan Allah itu pasti dan dekat, tetapi ia mempunyai masa dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui Allah. Sebab itulah Rasulullah sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya.

Ini diperkuatkan dengan firman Allah s.w.t.: Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah: 214)

Memerhatikan tahapan masa merupakan sunnatullah atau proses tabii yang Allah wujudkan sebagai salah satu cara untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan manusia. Sebab itulah sesuatu perkara itu tidak akan disegerakan sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Sememangnya tanaman apabila dituai sebelum masak dan buah dipetik sebelum tiba waktunya, tidak akan menghasilkan manfaat yang diharapkan malah kadangkala mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat.

Begitu juga dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai dengan hanya bermodalkan semangat semata-mata. Ia juga bukan sekadar melayani gelodak emosi tanpa memperhitungkan natijah dan akibatnya. Sebaliknya penggarapan terhadap usaha pemartabatan Islam atau amal Islami harus dilakukan secara dewasa, matang dan penuh perhitungan.

Semangat yang meluap-luap sahaja tidak cukup untuk membuktikan iman yang kuat, sebaliknya semangat yang tidak berpaksikan iman dan suluhan ilmu yang benar hanya akan menimbulkan fitnah dan menatijahkan kemudaratan yang maha besar. Hal ini dipertegaskan Allah dalam al-Quran: Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini. (al-Mukminun: 71)

Sesungguhnya mendirikan negara Islam yang berhukum dengan undang-undang Allah dan menyatupadukan orang-orang Islam di atas dasar Islam adalah kewajipan atas umat Islam yang tidak perlu dipertikaikan. Tetapi pelaksanaannya dalam konteks realiti masa kini memerlukan pertimbangan strategik dari segi keperluan, kemampuan dan kesediaan. Ia turut menagih kesabaran yang tinggi dan melalui proses beransur-ansur secara berperingkat berpandukan sunnatullah yang ditetapkan.

Atas perhitungan inilah umat yang ikhlas berjuang tidak harus terlalu gelojoh, cepat putus asa atau mudah melatah dalam upaya memartabatkan agama Allah di atas muka bumi ini. Yang paling penting matlamat biar tercapai tanpa kegoncangan-kegoncangan yang tidak perlu. Bak kata pepatah, ikan biar tertangkap, tetapi air jangan keruh.

1 comment:

Anonymous said...

saya berlapang dada dengan idea anda, kerana ada benarnya. Namun adalah lebih bermanfaat jika anda terokai dahulu usaha2 lain, mengapa 'nampak' gopoh dan isti'jal.... prasangka kebanyakannya menipu.

terokailah dahulu.

tugas dakwah bukan hanya untuk orang alim.

sedang ilmuan dan pecinta agama berbalah, yang merana ialah yang jauh dr agama...