Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DATUK DUSUKI
Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana mempunyai sebuah kerajaan yang begitu akomodatif kepada ajaran Islam. Apa yang dimaksudkan penulis dengan nilai akomodatif ini ialah kesediaan kerajaan untuk turut terlibat aktif dalam meratakan kefahaman Islam sekali gus memartabatkan prinsip dan nilai-nilai Islam sama ada dalam perjuangan mahupun pentadbirannya.
Sememangnya kerajaan banyak menyumbang kepada peningkatan syiar Islam sama ada berbentuk fizikal seperti perundangan, pembangunan prasarana dan institusi keagamaan mahupun dalam konteks penerapan nilai-nilai Islam melalui pendidikan, sosial dan pembangunan ekonomi.
Sikap akomodatif kerajaan ini jugalah yang memungkinkan berlakunya transformasi sosial masyarakat sehingga meningkatnya kesedaran dan keinginan untuk hidup beragama berpandukan nilai-nilai Islam yang luhur.
Kesedaran terhadap Islam tampak semakin mengakar dalam masyarakat kini khususnya generasi yang lahir pascakemerdekaan dan melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai Islam.
Menyubur
Natijahnya Islam tampak kian menyubur dalam masyarakat hinggakan pusat-pusat pengajian agama tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pernah satu ketika penulis menziarahi seorang ulama terkemuka Syeikh Rachid Ghannouchi di kota London sekembali beliau dari lawatan ke Malaysia. Ulama yang juga anggota Majlis Fatwa Eropah dan pejuang demokrasi Algeria tersohor, menyatakan kekaguman beliau terhadap fenomena pembudayaan Islam dalam masyarakat Malaysia hinggakan pemakaian tudung begitu bersemarak di kalangan wanita tanpa paksaan. Minat kepada agama begitu terserlah di kalangan generasi muda.
Sebenarnya tanggapan Syeikh Rachid ini turut dikongsi oleh ramai ulama tersohor dunia yang pernah melawati Malaysia suatu ketika dahulu termasuklah Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Muhammad al-Ghazzali, Syeikhul Azhar Mohammad Sayyid al-Tantawi dan ramai lagi yang begitu mengagumi perkembangan Islam di Malaysia.
Malah pengalaman penulis bertemu dengan ramai pimpinan dan tokoh gerakan Islam antarabangsa ketika menghadiri pelbagai seminar antarabangsa di luar negara turut menyatakan kekaguman mereka kepada Malaysia yang jauh berbeza dengan kerajaan negara-negara Islam lain khususnya di Asia Barat yang bukan setakat tidak akomodatif malah kadangkala menentang apa jua inisiatif individu yang ingin menyuburkan syiar Islam.
Sebagai contoh, di Mesir umpamanya pertubuhan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin tidak dibenarkan bergiat aktif, malah dinafikan hak untuk berpolitik dan berpersatuan. Bahkan sekitar tahun-tahun 70-an hingga 90-an ribuan pemimpin dan pendukung Ikhwan dipenjarakan kerana disyaki terlibat dalam pertubuhan haram.
Berbeza
Keadaan cukup berbeza dalam konteks negara kita. Kewujudan Pas sebagai parti berjenama Islam membuktikan keterbukaan dan sikap demokratik kerajaan. Malaysia bukan sahaja memberi kebebasan kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah untuk berkembang subur malah turut berperanan aktif mengembang dan menginstitusikan agenda Islam.
Ini termasuklah keseriusan kerajaan dalam mengembangkan institusi kewangan berteraskan prinsip muamalah Islam hingga mendapat pengiktirafan dan dijadikan model negara-negara Islam lain.
Walau bagaimanapun, dewasa ini wujud kecenderungan segelintir untuk memperlekeh dan menidakkan usaha-usaha kerajaan khususnya yang berkaitan dengan agenda memartabatkan syiar Islam. Apa sahaja program agama dan agenda Islam yang digagaskan mahupun yang telah dilaksanakan kerajaan sering kali cuba diremeh dan diperkecilkan seolah-olah hanya bertujuan meraih undi dan sokongan murahan.
Apa yang pasti, sikap sesetengah pihak yang sering menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat terhadap sebarang usaha kerajaan mengembangkan syiar Islam pastilah suatu yang tidak secocok dengan nilai dan akhlak Islam sejati. Bahkan kecenderungan untuk mempersoalkan keikhlasan orang lain dalam melaksanakan program-program keislaman hanya menatijahkan prejudis masyarakat yang tidak menguntungkan.
Hakikat yang harus difahami Islam jelas menegah umatnya daripada membudaya sikap suka mempersoalkan keikhlasan orang lain seolah-olah kita mampu meneropong jauh ke sudut hati seseorang untuk menentukan tahap keikhlasan dan keimanan mereka. Dalam konteks ini teringat penulis sebuah kisah yang dinukilkan dalam hadis sahih. Pernah satu ketika seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid ditegur keras Rasulullah s.a.w. kerana membunuh seorang lelaki dalam peperangan sedangkan lelaki itu telah pun mengucap dua kalimah syahadah.
Rasulullah diberitakan bersabda kepada Usamah: “Mengapa engkau membunuh lelaki itu sesudah dia mengucapkan Laila ha illa-Llah?” Usamah menjawab, “Sesungguhnya ia mengucapkan demikian kerana berlindung diri dari dibunuhku dalam peperangan.” Lalu Nabi s.a.w. dengan tegas berkata, “Adakah Engkau membelah hatinya? Apakah Engkau dapati sebarang kalimah Laila ha illa-Llah?”
Rasulullah turut bersabda: Bahawa orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah maka sesungguhnya dia telah masuk dalam Islam dan terpelihara darah dan harta bendanya, sekalipun ia menyebutnya kerana takut atau berlindung diri dari pedang. Perkiraan mutlak adalah milik Allah dan kita hanya menghukum dan memperkirakan yang zahir.
Di sini jelas prinsip penting yang digariskan Rasulullah yang mengisyaratkan betapa perlunya umat Islam menjauhi tabiat suka mempersoalkan keikhlasan orang lain. Malah Islam melarang keras sikap berburuk sangka sesama manusia sebagaimana yang diungkapkan Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 12: Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa.
Sikap
Sebenarnya kecenderungan meremehkan usaha dan tindakan orang lain khususnya dalam upaya memartabatkan Islam bertitik tolak daripada sikap sesetengah pihak yang merasai bahawa Islam hanya milik mereka. Mereka lebih kudus dan suci daripada orang lain. Justeru merekalah yang lebih berhak memperjuang dan melaksanakan Islam di bumi Malaysia ini.
Perasaan angkuh, bongkak dan takbur inilah yang akhirnya membiakkan prasangka buruk hingga sanggup menafikan sumbangan orang lain. Golongan seperti ini seharusnya takut dengan amaran tegas Allah agar menjauhi tabiat sebegini sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Najm ayat 32: Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) yang paling mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa.
Mengambil iktibar daripada ayat Allah ini seharusnya menyedarkan kita betapa pentingnya untuk kita benar-benar menghayati akhlak Islam sebenar. Sikap memperlekeh tahap keislamanan orang lain seharusnya dielakkan kerana ia hanya akan menjerumus umat ke dalam kancah pertembungan emosi yang membinasakan.
Jika perlu berdebat dan mengkritik sekalipun, ia harus dilakukan dengan cara sopan iaitu bersuara lunak, lembut dan menggunakan ungkapan yang baik. Bukannya menggunakan pendekatan maki hamun atau sumpah seranah seperti yang digunakan oleh sesetengah individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah dan pendukung obor-obor perjuangan Islam.
Lebih buruk lagi jika ada di kalangan mereka yang sanggup menabur fitnah dan mengadu domba dengan menjual ayat- ayat Allah demi kepentingan politik sempit dan meraih undi masyarakat untuk berkuasa.
Justeru sudah tiba masanya untuk umat Islam kembali menghayati ajaran Islam sejati. Kesedaran yang tinggi mahupun semangat menggunung semata-mata tidak cukup sekiranya kefahaman terhadap prinsip-prinsip asas yang mendasari ajaran Islam tidak benar-benar merata dan menyeluruh.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
3 comments:
Kita setuju kerajaan Malaysia membenarkan sesiapa bertanding dalam PRU ini. Apabila kita bercakap perihal tajdid dan islah, patut benar wacana ini bersandar kepada alquran dan sunah. Biarpun PRU bukan dalam wahyu Allah, tetapi saran keadilan sangat ditegaskan oleh Allah. Ini sama dengan fitrah manusia yang membenci kezaliman dan mendukung keadilan. Kerajaan terjejas mendukung keadilan apabila tidak bersedia melakukan perkara sama cantik sama padan antara mereka yang bertanding dalam pilihan raya. Menggunakan kuasa untuk memihak kepada diri sendiri dan menafikan hak orang yang dijemput bertanding bukan kerja orang yang adil, itu penzalim. Pendukung keadilan, pendukung sunah, kita melihat dalam PRU memang berat sebelah, senget. Ini bukan lambang keadilan yang dikehendaki dalam alquran. Akal manusia pun dapat memberi jawaban adil atau tidak TV yang dibangunkan atas keringat rakyat (kerajaan) tetapi dijadikan alat kempen satu saja parti politik. Fitrah manusia mana pun akan mendengus apabila diajak 'bermain' tetapi ruang tidak diberi secara sama. Hanya sebelah pihak yang merasa. Harap perbetulkan pemikiran saya (jika salah) mengenai keadilan yang ditekankan oleh sunah dengan nama 'keadilan' yang diterjemah oleh nafsu serakah manusia.
Salam...apa2 pun byk lagi kelemahan-kelemahan yang ada di Malaysia...Kebykkan masyarakat di luar negara memandang M'sia sebuah negara Islam yang maju tp pada hakikatnya rakyat M'sia sendiri yang byk faham dan byk tahu keadaan negara M'sia sendiri...Seperti manusia di mana dia mengetahui kelemahan dirinya lebih jauh drp org lain...Kesimpulannya kita tidak boleh terlalu bangga dengan setiap pujian masyarakat luar terhadap M'sia sebab mereka hanya mengetahui ttg M'sia melalui media massa tapi bukan dengan mata mereka sendiri...
Ingatlah,buatla segala di dunia ini sesuka hati kamu tapi ingat di akhirat nanti Allah SWT akan menyoalnya...Di sana baru kita tahu siapa yang sebenarnya ikhlas memperjuangkan Islam atau sebaliknya...
"Tangisilah sikap keras kita yang tidak mahu bersatu di bawah satu panji Islam yang telah lama tumbang"
"3 March 1924 sejarah hitam umat Islam yg kian dilupakan...yang seharusnya kita tangisi kerana kehilangan sebuah kerajaan Khilafah Islamiyyah"
Kepada Dr Asyraf Wajdi..ingatlah..firman Allah mafhumnya: Jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim. Maka api neraka akan menyambar kamu.
Post a Comment