Wednesday, May 07, 2008

Akibat nafsu Aqidah digadaikan - Percaya tilikan BOMOH


Laporan metro muka depan hari ini selasa 6 Mei 2008 yang bertajuk Lelaki dibelasah 4 abang ipar sendiri- mangsa tilik bomoh. Kejadian ini berlaku di KUANTAN PAHANG

“Akibat percaya tilikan bomoh, 4 beradik membelasah adik ipar mereka kerana mengesyaki mangsa mencuri wang hantaran dan barang kemas seorang anggota keluarga yang bakal berkahwin tidak lama lagi”

Saya amat terkilan dan berasa marah membaca laporan ini. dan saya rasa tidak keterlaluan kalau saya gunakan perkataan AMAT BODOHnya si pelaku perbuatan ini…Marah ini bukan kerana nafsu, tetapi marah ini kerana anda telah berlaku zalim kepada diri anda sendiri dengan membelakangkan Aqidah Tauhid anda.

Metro menyatakan “Ini kes kedua berturut-turut membabitkan orang awam membelakangi undang-undang dengan membelasah orang yang disyaki tanpa usul periksa”

Saya katakan membelakangi undang-undang yang disebutkan tidaklah lebih besar daripada membelakangi perintah ALLAH dan Rasul-NYA. Membelakangi undang-undang Negara anda akan dihukum denda atau penjara tetapi membelakangi undang-undang ALLAH anda akan rugi di akhirat dan buruk tempat kembalinya..

Dimanakah Anda meletakkan Aqidah anda? Walaupun telah sering disebut dan diterangkan oleh ustaz-ustaz yang ada di Malaysia ini tetapi lihatlah masih berlaku lagi perkara-perkara yang merosakkan aqidah masyarakat kita. Mengapa ini berlaku? bukan kerana mereka tidak pernah mendengarnya, bukan kerana ustaz-ustaz tidak menerangkannya, tetapi kerana mendahulukan nafsu dari Syariat

ALLAH s.w.t. berfirman di dalam al-Hujurat: 1

يأيُّهَا الذِينَ آمنُوا لا تُقَدِّموا بينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسُولِه وَاتَقُوا اللهَ إن اللهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mendahului kata-katamu daripada Allah dan Rasul-Nya. Takutlah kamu kepada Allah, kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Lihatlah keadaan masyarakat kita yang masih rendah pemahaman aqidahnya, atau sebenarnya mereka itu percaya bahawa tindakan sedemikian akan merosakkan aqidah tetapi apabila bertuhankan hawa nafsu mereka masih berani membelakangkan ALLAH Jalla wa ‘Ala.

Ada setengah orang menyatakan “ustaz tu tak de tajuk lain ke, balik-balik tauhid rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ was Sifat”

Saya menegaskan bahawa selagi nyawa dikandung badan kita akan bercakap dan mengulang-ulang perkara yang bersangkutan dengan Aqidah ini

العقيدة أولاً ودائماً وأبداً

Aqidah itu yang pertama, sentiasa dan selama-lamanya

Telah berjayalah sang syaitan untuk menimbulkan permusuhan sesama islam, ALLAH telah menyatakan di dalam al-Quran

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan solat

Begitulah juga yang dilakukan syaitan melalui bomoh. Kemungkinan sudah ada sebelumnya rasa tidak puas hati kepada seseorang, apabila berjumpa si bomoh Qatalahumullah, bomoh pula menyatakan dengan ayat yang masyhurnya seperti “sebenarnya orang yang melakukan benda ini ialah dikalangan ahli keluarga kamu sendiri” apabila bomoh dah kata begitu maka orang yang jumpa bomoh itu tadi mula mengesyaki salah seorang ahli keluarganya yang sebelum ini memang sudah ada masalah dengannya…maka tanpa usul periksa dan percayakan si bomoh yang karut itu maka berlakulah pergaduhan sehingga ke tahap berbunuhan sesama keluarga…nauzubillah min zalik


عن عَائِشَةُ-رضي الله عنها- سَأَلَ أُنَاسٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكُهَّانِ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسُوا بِشَيْءٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَإِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ أَحْيَانًا بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنْ الْحَقِّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقُرُّهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ فَيَخْلِطُونَ معهَا مِائَةِ كَذْبَةٍ

Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang para dukun atau bomoh, maka baginda menjawab: mereka itu tidak berguna sedikitpun,. Mereka berkata: Wahai Rasulullah kadang-kadang mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar-benar terjadi. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (di kalangan manusia) dan mereka mencampur-adukkan dengan seratus pembohongan. (al-Bukhari dan Muslim)


عَنْ صَفِيَّةَ عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يوماً. رواه مسلم

Daripada Sofiyyah daripada sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. bahawa baginda bersbada: Sesiapa yang datang kepada peramal/tukang tilik lalu dia bertanya sesuatu kepadanya dan mempercayainya maka tidak akan diterima solatnya selama 40 hari

Cukuplah hanya mendengar 2 hadis ini, kita boleh memahami bahawa perbuatan bertemu dengan bomoh bertanya dan membenarkan apa yang dikata sesungguhnya ia boleh menjadi masalah kepada amalan Agama harian anda, di dalam hadis yang lain dinyatakan sekiranya anda membenarkannya sesungguhnya telah KAFIR..

Bertaubatlah kepada ALLAH s.w.t. tidakkah terfikir tindakan anda itu memecahbelahkan hubungan kekeluargaan di tambah pula hubungan sesama islam?

Wahai saudara-saudaraku FAHAMILAH AQIDAH MU…

Fikir-fikirkanlah

Abu Syuaib Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latiff
Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
http://abusyuaib.blogspot.com

No comments: