Thursday, August 21, 2008

Ta'lim Sunnah Siri II - Golongan Menyimpang Dari Sunnah



Peta Lokasi(Sila klik pada gambar):




TENTATIF PROGRAM

20hb September 2008, Sabtu

08.30 am : Pendaftaran peserta & taklimat aturcara program

09.00 am : Ceramah 1 : Ahlus Sunnah wa Al-Jama’ah: Cabaran Dan Penerimaan Masyarakat (Ustaz Fadlan Mohd Othman)

10.45 am : Rehat

11.00 am : Ceramah 2 : Bahaya Syi’ah kepada Ummat (Kapten Hafiz Firdaus)

12.45 pm : Qoilulah & solat Zohor

02.00 pm : Ceramah 3 : Khawarij Moden (Dr Azwira Abd Aziz)

03.45 pm : Perbincangan & Resolusi

05.00 pm : Rehat

05.30 pm : Tadarrus dan Tadabbur al-Quran

07.00 pm : Ifthar & solat Maghrib

07.35 pm : Makan Malam

08.30 pm : Solat ‘Isya dan Tarawih

p/s: Program berakhir dengan makan malam selepas Maghrib (BUKAN jam 10 mlm seperti dalam iklan) dan peserta tidak tertakluk untuk mengikuti Isya' dan Tarawih di situ.

Thursday, August 07, 2008

Tawaran Istimewa Bulan Sya'ban

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku".
(al-Zaariyat: 56).

Satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak akan diterima oleh Allah, apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah Azza wa Jalla berfirman:

Maksudnya: “Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya” (al-Kahfi: 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).
(Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh: ((Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tepat. Dan ikhlas itu ialah apabila ia dilakukan hanya kerana Allah Azza wa Jalla, dan tepat itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw)).

(Rujuk: Ibn Rejab, Jami’ al-ulum wa al-hikam (Beirut: Al-Maktabah al-‘Asriyah, cet. 3, 2000), hal. 15)

Bersempena dengan kedatangan bulan Sya’ban ini marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk meningkatkan ibadah kita. Namun, dalam keghairahan beribadah ini, dua syarat utama yang telah disebutkan di atas tidak harus diabaikan begitu saja. Mencontohi Rasulullah saw dalam melakukan ibadah dan dilakukan hanya semata-mata kerana Allah merupakan jalan selamat bagi memastikan ibadah yang diamalkan itu tidak sia-sia begitu saja.


Petunjuk

Berdasarkan petunjuk Rasulullah saw melalui hadith-hadithnya yang sahih, Baginda saw memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Sya’ban ini. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih, di antaranya (yang bermaksud):

- Daripada Usamah bin Zaid r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sunat) di dalam bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Lalu Rasulullah saw bersabda: ((Bulan ini adalah bulan yang sering diabaikan oleh manusia iaitu bulan di antara Rejab dan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat mengadap Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa)).

(Hadis riwayat Ahmad, Nasaa‘i dan disahihkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya, al-Munziri di dalam Sahih al-Jami’ dan Al-Albani di dalam Silsilah al-Sahihah)

- Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)).
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dua hadith di atas adalah hadith-hadtih sahih dalam memperkatakan tentang kelebihan bulan Sya’ban dan menjelaskan kepada kita bahawa Nabi saw memperbanyakkan puasa (sunat) pada bulan ini. Oleh itu, memperbanyakkan amalan berpuasa sunat pada bulan ini berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah amat dituntut dan digalakkan tanpa mengkhususkan hari-hari tertentu seperti pada hari Nisfu Sya’ban sahaja dan sebagainya.

Tidak Tepat

Sebaliknya amalan sesetengah orang yang mengkhususkan hari-hari tertentu pada bulan Sya’ban (contohnya Nisfu Sya’ban) untuk berpuasa adalah tidak tepat dan tidak ada sumbernya yang sahih. Begitu juga mereka yang mengamalkan puasa tiga bulan berturut-turut iaitu Rejab, Sya’ban dan Ramadhan; dengan alasan ia adalah sunnah, maka tidak ada dalil sahih yang boleh menyokong amalan ini. Malah ianya hanya berdasarkan hadith-hadith yang dhaif lagi maudhu’. Perbincangan dan penjelasan mengenai hadith-hadith dhaif tentang bulan Sya’ban ini boleh diikuti melalui artikel yang akan datang. Semoga kita semua diberikan petunjuk dan kekuatan dalam mencontohi dan menegakkan sunnah Rasulullah saw.
Oleh:
Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Thursday, July 31, 2008

Tinggalkan Solat , Gantikan Puasa

Mu`âdhah anak perempuan kepada Abd Allah al-`Adwiyyah bertanya kepada Â'ishah:“ Kenapa kita perlu menggantikan puasa tetapi tidak(menggantikan) solat ?

Jawab `Â'ishah : “Apabila kita mengalami haid , kita diarahkan untuk menggantikan puasa tetapi tidak(menggantikan) solat”.

Ini merupakan hadith Sahih dari Sahîh al-Bukhârî (321) dan Sahîh Muslim (335).

Ini merupakan salah satu hadith yang membuktikan wanita apabila mengalami haid tidak berpasa ataupun melakukan solat.

Terdapat hadith lain berkenaan perkara ini di mana Rasulullah SAW telah berkata secara retorik:

“Adakah ini bukanlah masalahnya apabila seseorang wanita itu haid, dia tidak solat ataupun berpuasa? ” [Sahîh al-Bukhârî (483) dan Sahîh Muslim (87)]

Seorang wanita tidak diharap, atau dibenarkan untuk berpuasa ketika mengalami pendarahan(haid) dan pada masa yang sama wanita juga tidak dibenarkan bersolat.

Berkenaan kewajipan solat harian, seorang wanita dikecualikan dari melakukannya dan tidak perlu menggantikannya kemudian. Ini merupakan rahmat Allah kepada wanita, kerana setiap Mulim adalah wajib melaksanakan solat 5 kali sehari. Jika seorang wanita itu, perlu menggantikan solat tersebut setiap bulan untuk menggantikan keseluruhan waktu haidnya maka, ini merupakan satu kepayahan besar kepadanya.

Ulama’ tidak berkhilaf dalam hal ini, di mana wanita dikecualikan dari menggantikan solat yang ditinggalkan disebabkan haid. Ini merupakan perkara Ijma’. Ini telah dinukilkan oleh Ibn hazm dalam al-Muhalla (1/ 394) dan Ibn `Abd al-Barr didalam al-Tamhîd (22/107).

Puasa adalah suatu perkara lain. Ia hanya datang sekali setahun. Seorang wanita dengan mudah menggantikan hari-hari yang ditinggalkan, mengikut kemahuannya, sama seperti seorang yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan disebabkan bermusafir atau sakit.

Apa yang menarik bahawa ramai para Ulama berpendapat wanita mendapat rahmat ketika dia mengalami haid dan dia menahan dari berpuasa dan dari melakukan solat. Mereka berhujah di mana, seorang wanita akan menyalahi arahan Allah dengan melakukan ibadah tersebut, maka ia menjadi satu Ibadah untuk mengelakkan dari melakukannya.

Mereka(Ulama’) berhujah dengan Hadith Rasulullah SAW : “ Jika Muslim itu sakit atau dalam perjalanan , dia akan memperolehi ganjaran yang sama seperti dia sihat dan di rumahnya dan melakukan amal ibadahnya.” [Sahîh al-Bukhârî (2996)]

Apa yang jelas ialah apabila seorang wanita itu menahan dari berpuasa dan melakukan solat , dan dia melakukan dengan kesedaran untuk taat kepada Allah SWT, maka dia layak untuk mendapat keberkatan. Wanita tidak bersalah apabila mengalami haid. Ini merupakan cirri-ciri penciptaan wanita. Apabila wanita itu menahan (kerana haid) dari berpuasa ataupun solat di waktu yang ditentukan Allah dari melakukan amalan tersebut, maka padanya satu Ibadah. Ini terutamanya dalam hal,seseorang wanita itu amat berharap untuk melakukan solat dan berpuasa dan terpaksa menahan dari melakukan(kerana haid) demi Allah Azzawajalla.

Keadaannya mungkin berlainan bagi seorang wanita yang menjadi teramat gembira apabila mengalami haid kerana lega seketika kerana dikecualikan dari kepayahan untuk bersolat. Allah Maha Mengetahui sebanyak mana keberkatan yang wanita tersebut layak memperolehi.

Terdapat juga wanita yang mengambil ubat untuk merangsang waktu haidnya pada waktu-waktu yang diingini seperti masa perkahwinan atau majlis-majlis khas, supaya mereka dikecualikan dari bersolat semasa perayaan tersebut. Perlakuan mereka dalam hal ini, bukanlah perkara Ibadah tetapi lebih kepada kemudahan. Walaupun mereka tidak berdosa kerana menahan dari solat dalam hal ini -sememangnya mereka wajib menahan diri(sewaktu haid)- tetapi perlakuan mereka boleh dipersoalkan adakah menahan dari solat itu boleh dilihat sebagai satu amal Ibadah dan Taqwa?.

A'ishah: 'We were commanded to make up our fasts but not our prayers'

Sheikh Salman al-Oadah

Wednesday, July 30, 2008

Isra’ dan Mi’raj

Apakah Isra’ dan Mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab?

Oleh: al-Qaradhawi


Salah seorang ulama hadith dari kurun ke 7 bernama Abu al-Khattab ‘Umar bin Dahya, yang menulis kitab “Ada’ la wajaba fi bayan wad’ie al-wadhdha’ien fi syahr Rajab” menyebut di dalamnya: “Sesungguhnya sebahagian para Qusshas (pereka-pereka cerita) ada yang menyebut kononnya Nabi SAW diisra’kan pada bulan Rejab.” Katanya (Abu al-Khattab): “Ini suatu pembohongan.” Kenyataan ini diakui oleh Khatimatul al-Huffadz al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani pensyarah kitab hadith al-Bukhari yang terkenal.


Saya sedia maklum bahawasanya dakwaan isra’ dam mi’raj berlaku pada malam 27 Rejab tidak terdapat walau satu hadith yang sahih, tidak terdapat juga satu pendapat yang sahih dari seorang sahabat, ia hanyalah pendapat yang telah termasyhur, dan pendapat sebahagian para ulama, dan pendapat ini dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi, dan al-Imam al-Nawawi memilih pendapat ini di dalam fatwanya, dan al-Imam al-Nawawi adalah seorang yang diterima oleh umat Islam, maka masyhurlah pendapatnya ini, dalam masa ada ulama seperti Abu Ishak al-Harbiy, yang kami dapati beliau berpendapat isra’ dan mi’raj tidak berlaku pada malam 27 Rajab sebaliknya berlaku pada malam 27 Rabi’ul Awwal.


Saya sedia maklum tidak ada sesuatu yang pasti dalam perkara ini (penentuan tarikh Isra’ dan Mi’raj). Cumanya pendapat ini telah masyhur dan diketahui di kalangan umat Islam semenjak kurun-kurun mereka memperingati Isra’ dan Mi’raj pada malam tersebut. Dalam keadaan tidak berlaku pada malam tersebut (pada ketika itu) sebarang amalan atau ibadah. Malam Isra’ dan mi’raj ini tidak disyariatkan untuk kita (mengkhususkannya) dengan bangun malam atau berpuasa pada siang harinya. Tidak dituntut juga daripada seseorang muslim untuk dia melakukan apa-apa amalan (yang khusus) untuk mendekatkan diri kepada Allah pada malam atau pada siang hari tersebut. Kerana itu umat Islam dahulu tidak memberi tumpuan kepada malam Isra’ dan Mi’raj.



Persoalan menyambut hari Isra’dan mi’raj, jika ia dimaksudkan untuk mengambil pengajaran dari peristiwa yang agung ini dan apa-apa kesannya dalam kehidupan Nabi SAW dan ianya berlaku selepas tahun al-Huzn (tahun kesedihan) dan apa yang menimpa baginda, lalu Allah SWT hendak memuliakan Rasulullah SAW selepas orang ramai dan Quraisy menentang baginda, demikian juga selepas Bani Thaqif menentang baginda dan kesusahan-kesusahan yang baginda hadapi, selepas itu Allah menghendaki memuliakan baginda, lalu dalam perstiwa israk dan mi’raj baginda mendirikan solat bersama para nabi yang lainnya, dan baginda menjadi imam, baginda disambut oleh para malaikat dan para nabi di langit dan baginda dinaikkan ke langit yang tinggi sehingga ke tempat yang dinyatakan oleh Syauqiy: “Baginda tidak diterbangkan dengan sayap dan tidak dijalankan dengan kaki.


Perkara ini penting untuk kita ambil pengajaran dan i’tibar darinya, selama-mana tidak timbul darinya sebarang amalan atau ibadat (khusus). Jika demikian tidak ada sebarang halangan untuk kita menyambut peristiwa ini.


Menyambut sesuatu membawa maksud mengambil berat dan memberi perhatian kepadanya, yakni perkara itu tidak dilupakan dan tidak ditinggalkannya. Maka kita menyambut yakni mengambil berat tentang perkara isra’ dan mi’raj ini terutama padanya ada dua perkara yang penting: Pertama: Kaitan Masjid al-Aqsa, sebagai tempat penghujung Isra’ dan permulaan mi’raj. Isra’ tamat di masjid al-Aqsa dan Mi’raj bermula di masjid al-Aqsa hingga naik ke langit yang tinggi. Maka kita perlu memerhatikan keadaan umat Islam pada masa sekarang di masjid al-Aqsa yag ditawan dalam gengaman yahudi.


Sedangkan manusia lalai dari perkara utama ini, perkara yang paling utama nisbahnya bagi umat Islam pada masa kita sekarang ialah persoalan Palestin, dan persoalan Palestin terasnya ialah al-Quds, dan teras persoalan al-Quds adalah masjid al-Aqsa, maka kita mengambil peluang ini untuk mengingatkan orang ramai tentang persoalan Palestin dari peristiwa isra’ dan mi’raj dan perbicaraan tentang masjid al-Aqsa. Wallahu a’lam.

Al-Qayyim.net










Monday, July 21, 2008

Majlis Ilmu:Tentera Allah Di Akhir Zaman

Tajuk:

Tentera Allah Di Akhir Zaman

Speaker:

Ustaz Fadhlan Bin Mohamad Othman

Tarikh:

Isnin (21 Julai 2008)

Masa: 930 malam


Lokasi: ADM LT 4 (Bangunan berhampiran entrance wanita di masjid UIA,
tingkat 3)

Pertanyaan: Hubungi Masri 0132506391

Tuesday, July 15, 2008

Wacana Ilmu: Amalan-amalan Dalam Bulan Rejab & Sya’ban Mengikut Petunjuk Rasulullah

Wacana Ilmu:

Amalan-amalan Dalam Bulan Rejab & Sya’ban Mengikut Petunjuk Rasulullah -
http://www.al- nidaa.com. my/artikel. php?id=315& action=view

TARIKH & WAKTU : 8.15mlm, Rabu, 16 Julai 2008

TEMPAT :

Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa’ Malaysia
17 A, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur


Pembentang Kertas Kerja : Ustaz Fadlan Othman

- Diploma Hadith, Fakulti Hadith, Universiti Islam Abu Bakar, Pakistan
- BA (Aqidah & Dakwah), Fakulti Dakwah & Usuluddin, Universiti Islam Madinah
- MA (Tafsir), Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, UKM
- Tutor di Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, UKM
- Sedang menyiapkan tesis PhD (Hadith) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Ahli Majlis Perunding Pelapis Al-Nidaa’

Yuran masuk :

Dewasa: RM 10 Pelajar: RM 5
(termasuk makanan ringan)

Untuk maklumat lanjut sila hubungi
03-77106900 atau 012-2820244

Thursday, July 10, 2008

Hadis Al-Ifki (Tuduhan ~Palsu) Suatu Pengajaran

"Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama’, membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah."

Oleh: Abu Anas Madani

Bismillahirrahmanirrahim.

Al-hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa‘ala aalihi wasahbihi ajma‘in.

Marilah bersama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu menyayatkan hati, yang telah menimpa rumahtangga Rasulullah SAW. Ini ialah salah satu perancangan jenayah yang telah dilakukan oleh golongan munafiqin.

Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.

Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H. Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Sekarang kita akan keluar menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].

Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama’, membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan terhadap bani al-Mustaliq (المصطلق).

Pada bulan Sya’ban tahun 06H, bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini ramai golongan munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat habuan perang (ghanimah).

Tentera Islam dan bani al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi’ (المريسيع), di mana tentera Islam telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.

Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang yang masih muda dan berbadan kecil.

Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.

Pada waktu yang sama, tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas sekedupnya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.

Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.

Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’, iaitu menyebut kalimah “Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji‘uun” [إنا لله وإنا إليه راجعون] dan lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.

Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.

Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.

Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.

Setelah Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan air matanya, tidak dapat mengeluarakan air mata lagi dan tidak dapat tidur keduanya. Kata Aisyah: “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan kehidupanku.”

Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis:

Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))

Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, Aisyah berhenti menangis dan meminta supaya ibu bapanya menjawab bagi pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Beliau lalu menjawabnya sendiri dengan berkata: “Keringlah airmataku kerana aku tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuh AS:

Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.} [Yusuf: 18].

Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya. Ini dapat kita baca sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur:

Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11]. [Lihat: Tafsir Ibnu Kathir]

Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke atas keluarga Rasulullah SAW.

Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh si munafiqin Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya.

1-Bayangkan bagaimana keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang nabi dan rasul. Seorang pemimpin, dituduh isterinya yang disayangi sedemikian rupa, dikotori tempat tidurnya, dicemari kehormatan rumahtangganya dengan tuduhan liar sehingga menjadi buah mulut percakapan orang serata tempat selama sebulan. Sedangkan Baginda tidak tahu apa yang hendak dibuat dalam kes ini.

2-Lihat pula bagaimana keadaan Abu Bakar as-Siddiq RA seorang yang benar dalam semua perkara, seorang yang dihormati dalam masyarakat, anaknya dituduh sedemikian rupa, sehingga keluar keluhan dari mulutnya, satu ucapan yang membayangkan satu penyeksaan yang ditanggungnya.

3-Juga Ummu Ruman, isteri Abu Bakar yang setia, ibu yang baik, anaknya ditinpa tuduhan palsu yang jahat. Sedangkan telah diasuhnya dengan penuh kasih sayang dan adab yang sopan.

4-Bagaimana pula perasaan orang yang dituduh, Aisyah binti as-Siddiq, perempuan yang cukup menjaga kehormatan diri, isteri yang patuh dan setia, isteri Rasulullah SAW, penghulu segala nabi. Dia dilempar dengan tuduhan yang sangat kejam, yang tidak berperikemanusiaan dan tidak ada siapa yang membelanya, menanggung azab sengsara seorang diri sebulan lamanya. Tidak ada teman hidupnya kecuali tangisan dan airmata. Berserah diri sepenuhnya kepada Allah, mengharapkan pertolongan dan bantuan, setelah terputusnya bantuan dari manusia. Betapa azabnya seorang isteri yang masih muda, menanggung azab seorang diri, sedangkan suami sendiri kelu lidah dalam perkara ini.

5-Betapa pula tersiksanya seorang mujahid yang berjuang menegakkan Islam dengan penuh ikhlas, Sofwan bin al-Mu’attal RA. Beliau telah ditohmah dengan satu jenayah yang besar, dituduh mengkhianati Rasulullah SAW yang dicintai dan dihormati, dengan mengadakan hubungan dengan isterinya.

6-Akhirnya bayangkan bagaimana keadaan masayarakat Islam pada masa itu, semua berada dalam keadaan keluh kesah tidak tenteram dan berpecah sesama sendiri dalam kes ini.

Demikian betapa besarnya jenayah membuat tuduhan palsu dan mengadakan berbagai cara untuk memporak perandakan ketenangan dan kedamaian umat Islam.

Peranan munafiqin dulu dan sekarang tidak akan terhenti merancang untuk menyusahkan umat Islam. Merek tidak mahu melihat Islam mendapat kemenangan dan umatnya bersatu padu membina negara dan mencapai kemajuan akhirnya.

Bagaimanakah sikap umat Islam dalam menerima berita dan apakah sikap kita terhadap pernacangan jahat golongan munafiqin?

Firman Allah SWT: Maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.} [Al-Hujuraat: 6].

Pengajaran dari ayat ini, hendaklah kita berhati-hati ketika menerima satu-satu berita dan mengkajinya samada ia adalah satu berita yang benar atau satu fitnah.

Sekiranya kita menerima sesuatu berita secara bulat-bulat tanpa usul periksa nescaya ia akan memudharatkan masyarakat Islam.

Sayangnya pada hari ini, kebanyakan orang Islam bukan sahaja menerima berita secara membabi buta dan terus menghukum seseorang itu dengan apa yang didengarinya bahkan menjadi penyebar kepada berita palsu itu, sehingga perbuatan itu menambahkan penderitaan kepada orang yang difitnah dengan berita palsu tersebut serta mengucar-kacirkan masyarakat umum.

Oleh itu apabila menerima sesuatu berita, para muslimin hendaklah bersangka baik sesama mereka dan tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti apatah lagi menyebarkannya pula.

Firman Allah SWT: Maksudnya: {Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta.} [An-Nur: 12-13].

Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sebarangan membuat ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT:

Firman Allah SWT yang bermaksud: {(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. padahal dia pada sisi Allah adalah besar.} [An-Nur: 15]

Akhirnya, umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah azza wajalla pada hari Kiamat, firman Allah SWT yang bermaksud: {Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggunganjawabkannya.} [Al-Isra’: 36]

Sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Berkata Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya, tetapi imannya belum sampai ke hatinya (munafiqin), jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan menghina mereka, jangan juga mencari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang bekerja mencari keaiban saudaranya yang muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun (tersembunyi) di dalam rumahnya (kenderaannya).” [HR: At-Tirmizi No. 2032 “Hasan”]

Pada suatu hari, Ibnu Umar memandang ke arah Ka’bah, kemudian beliau berkata: Sungguh besar kedudukan dan kemuliaanmu, tetapi lebih besar lagi kehormatan orang mukmin itu di sisi Allah daripada kamu. [HR Tirmizi].

Semoga Allah SWT menyelamatkan tangan dan lidah kita daripada perkara yang tersebut.

Sumber:

Tafsir Ibnu Kathir.

Ar-Rahiq al-Makhtum.

Majalah Suara Madinah–sessi 1994-1995.

Akhukum:

Abu Anas Madani, Sg. Durian.

www.abuanasmadani.com.

8 Jun 2008.

Monday, June 30, 2008

Gerakan Memburuk-burukkan TG Nik Aziz dan TG Hj Hadi


Oleh: Pro-Pas

Sedih bila membaca artikel yang menuduh 2 orang Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Hj Hadi sebagai pembawa ajaran songsang. Jelas bahawa penulisnya adalah seorang yang tidak rasional yang dirasuk sifat taksub dan pelampau. Gerakan memburuk-burukkan 2 tok guru ini bergerak dari satu negeri ke satu negeri melalui institusi agama. Pada mulanya mereka menyerang para ulama yang membenteras bid'ah dan khurafat. Namun sekarang mereka mula menyerang 2 orang tok guru.




Thursday, June 26, 2008

tuntutan sunnah ketika makan minum (updated)

Mulakan dengan Bismillah

وعن عائشة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا أكل أحدكم فليذكر اسم الله تعالى، فإن نسي أن يذكر اسم الله تعالى في أوله، فليقل: بسم الله أوله وآخره.(رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديث حسن صحيح)

Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, " Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah'). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' (HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)

Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

وعن سلمة بن الأكوع رضي الله عنه أن رجلاً أكل عند رسول الله صلى الله عليه وسلم بشماله، فقال: كل بيمينك قال: لا أستطيع قال: لا استطعت ! ما منعه إلا الكبر ! فما رفعها إلى فيه. (رواه مسلم)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut. (HR Muslim)

عن جابرٍ رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تأكلوا بالشمال، فإن الشيطان يأكل ويشرب بشماله (رواه مسلم)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya. (HR Muslim)

Makan yang berhampiran.

عن عمر بن أبي سلمة رضي الله عنهما قال: كنت غلاماً في حجر رسول الله صلى الله عليه وسلم، وكانت يدي تطيش في الصحفة، فقال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا غلام سم الله تعالى، وكل بيمينك، وكل مما يليك (متفقٌ عليه)

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu. (HR Bukhari dan Muslim)

Galakan guna tiga jari.

عن كعب بن مالكٍ رضي الله عنه قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل بثلاث أصابع... (رواه مسلم)

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (HR Muslim)

Larangan mencela makanan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: ما عاب رسول الله صلى الله عليه وسلم طعاماً قط، إن اشتهاه أكله، وإن كرهه تركه. (متفقٌ عليه)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (HR Bukhari dan Muslim)

Tidak bersandar ketika makan

عن أبي جحيفة وهب بن عبد الله رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا آكل متكئاً (رواه البخاري)

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, "Aku tidak makan sambil bersandar" (HR Bukhari)

Kutip makanan yang terjatuh.

وعن جابرٍ رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا وقعت لقمة أحدكم، فليأخذها فليمط ما كان بها من أذىً ولياكلها، ولا يدعها للشيطان، ولا يمسح يده بالمنديل حتى يلعق أصابعه فإنه لا يدري في أي طعامه البركة(رواه مسلم)

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan" (HR Muslim)

Mula makan dari tepi (pinggir)

وعن ابن عباس رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: البركة تنزل وسط الطعام، فكلوا من حافتيه ولا تأكلوا من وسطه (رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديثٌ حسنٌ صحيحٌ)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)

Jilat jari setelah selesai

عن ابن عباسٍ رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا أكل أحدكم طعاماً، فلا يمسح أصابعه حتى يلعقها أو يلعقها. (متفقٌ عليه)

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)" (HR Bukhari dan Muslim)

Doa setelah selesai makan

عن أبي أمامة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رفع مائدته قال: الحمد لله كثيراً طيباً مباركاً فيه، غير مكفيٍ ولا مودعٍ، ولا مستغنىً عنه ربنا

(رواه البخاري).

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' (HR Bukhari)

وعن معاذ بن أنسٍ رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من أكل طعاماً فقال: الحمد لله الذي أطعمني هذا، ورزقنيه من غير حولٍ مني ولا قوةٍ، غفر له ما تقدم من ذنبه (رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديثٌ حسنٌ)

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Tirmidzi)

Menjawab salam

Imam Nawawi dalam al-Azkar mengatakan makruh hukumnya memberikan salam kepada orang yang sedang makan. Orang yang diberi salam pula tidak wajib menjawabnya.

Beliau menghuraikan apakah maksud hukum makruh itu. Katanya: Hukum makruh itu ialah apabila makanan itu berada dalam mulutnya, jika mulutnya tiada makanan, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.” (al-Azkar, edisi tahqiq 2003, Daar al-Hadith, Cairo. ms 238)

Bercakap ketika makan

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir ra sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahwa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)

Menurut al-Hafidz dan Syaikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yg benar ialah Nabi saw bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (HR Muslim: 2052), ada kala Nabi saw mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (HR alBukhari: 5061) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah laukpauk dan minuman (HR alBukhari 6087). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yg kaku dan senyap sepi dari perbualan.

Tetapi, tidaklah bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut. (tambahan compiler)

Cuci tangan sebelum dan sesudah makan

Aisyah ra mengatakan, bahwa Rasulullah bila hendak tidur dalam keadaan junub maka beliau berwudhu terlebih dahulu, dan apabila beliau hendak makan maka beliau mencuci kedua tangannya terlebih dahulu.” (HR Nasa’ie no. 256, Ahmad, 24353, dan lain-lain)

Mengenai mencuci tangan sesudah makan, Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang tidur dalam keadaan tangannya masih berbau daging kambing dan belum dicuci, lalu terjadi sesuatu, maka janganlah dia menyalahkan kecuali dirinya sendiri.” (HR. Ahmad, no. 7515, Abu Dawud, 3852

Berwudhu jika berjunub

Aisyah ra menyebutkan, bahawa Rasulullah saw jika dalam keadaan junub lalu hendak makan atau tidur, maka beliau berwudhu terlebih dahulu, seperti berwudhu untuk solat.” (HR Bukhari, no. 286 dan Muslim, no. 305)

Tak melengahkan makan setelah terhidang

Dari Anas ra, Nabi saw bersabda, “Jika makan malam sudah disajikan dan Iqamah solat dikumandangkan, maka dahulukanlah makan malam.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jangan tergesa menghabiskan makan

Ibnu Umar menyatakan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kalian tergesa-gesa menyelesaikan makan malam kalian jika sudah disajikan.” (HR. Ahmad)

Mengambil makanan yang jatuh

Dari Jabir bin Abdillah, Rasulullah saw bersabda, “Jika makanan salah satu daripada kalian jatuh maka hendaklah diambil dan disingkirkan kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah ia dimakan dan jangan dibiarkan untuk syaitan” Dalam riwayat yang lain dinyatakan, “sesungguhnya syaitan bersama kalian dalam segala keadaan, sehinggakani syaitan bersama kalian pada saat makan. Oleh karena itu jika makanan kalian jatuh ke lantai maka kotorannya hendaklah dibersihkan kemudian dimakan dan jangan dibiarkan untuk syaitan. Jika sudah selesai makan maka hendaknya jari jemari dijilati karena tidak diketahui di bagian manakah makanan tersebut terdapat berkah.” (HR Muslim no. 2033 dan Ahmad 14218)

Tidak mengambil makanan lebih dari satu

“Sesungguhnya Rasulullah saw melarang mengambil makanan lebih dari satu kecuali sesudah minta izin kepada saudaranya.” (HR Bukhari no. 2455 dan Muslim no 2045) Ibnul Jauzi mengatakan, “Hadith ini berlaku pada saat makan bersama-sama. Pada saat makan bersama biasanya orang hanya mengambil satu kurma saja. Maka jika ada orang yang mengambil lebih dari satu, maka berarti dia lebih banyak daripada yang lain. Sehingga harus minta izin terlebih dahulu dari orang lain.” (Kasyful Musykil, 2/565)

Menyantap makanan setelah dingin

Dalam Zaadul Ma’ad (4/223) Imam Ibnul Qoyyim mengatakan, “Nabi saw tidak pernah menyantap makanan dalam keadaan masih panas.”

Makan dan minum sambil berdiri

Dalam riwayat Ahmad dinyatakan bahwa Ali bin Abi Thalib mengatakan, “Apa yang kalian lihat jika aku minum sambil berdiri. Sungguh aku melihat Nabi saw pernah minum sambil berdiri. Jika aku minum sambil duduk maka sungguh aku pernah melihat Nabi saw minum sambil duduk.” (HR Ahmad no 797)

Dari Ibnu Umar, beliau mengatakan, “Di masa Nabi saw (sebelum wafat), kami minum sambil berdiri dan makan sambil berjalan.” (HR. Ahmad no 4587 dan Ibnu Majah no. 3301)

Mengenai hadith-hadith di atas ada Ulama yang berkesimpulan bahwa minum sambil berdiri itu diperbolehkan meskipun yang lebih baik adalah minum sambil duduk.

Larangan bernafas dan meniup air minum

Dari Ibnu Abbas, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk mengambil nafas atau meniup wadah air minum.” (HR. Turmudzi no. 1888 dan Abu Dawud no. 3728)

Anjuran bernafas sebanyak tiga kali

Dari Anas bin Malik ra beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah saw minum beliau mengambil nafas di luar wadah air minum sebanyak tiga kali.” Dan beliau bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih selesa dan lebih nikmat.” Anas mengatakan, “Oleh karena itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (HR. Bukhari no. 45631 dan Muslim no. 2028)

Penyedia minuman yang terakhir minum

Dari Abu Qatadah ra, Nabi saw mengatakan, “Sesungguhnya orang yang menyediakan minuman kepada sekelompok orang adalah orang yang minum terakhir kali.” (HR Muslim no. 281)

Anjuran makan bersama dalam satu pinggan

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahwa beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk delapan orang.” (HR Muslim no 2059)

Makruh makan terlalu banyak/sikit

Dari Miqdam bin Ma’di Karib, beliau menegaskan bahawasanya beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang manusia memenuhi satu wadah yang lebih berbahaya dibandingkan perutnya sendiri. Sebenarnya seorang manusia itu cukup dengan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Namun jika tidak ada pilihan lain, maka hendaklah sepertiga perut itu untuk makanan, sepertiga yang lain untuk minuman dan sepertiga terakhir untuk nafas.” (HR. Ibnu Majah no. 3349)

Larangan menghadiri jamuan yang menyediakan khamr (yakni arak)

Nabi saw juga bersabda, “Barang siapa yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir maka janganlah menghadiri jamuan yang memberikan khamr (yakni arak).” (HR. Ahmad no. 14241)

Galakan makan beramai-ramai

Dari Anas bin Malik ra, “Sesungguhnya Rasulullah saw tidaklah makan siang dan makan malam dengan menggunakan roti dan daging kecuali dalam hidangan bersama orang ramai.” (HR. Ahmad, Abu Ya’la, Ibn Hibban dengan sanad shahih)

Allah berfirman yang bermaksud, “Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama mereka atau sendirian.” (QS. an-Nur: 61)

Rujukan: Riyadhus Solihin – Kitab Adab-adab Makan & muslim[dot]or[dot]id

Thursday, May 08, 2008

KEM REMAJA TAJDID


Perhatian!!

INTIS Consultant & Training atau INTIS akan mengadakan satu program yang sama di DUA tempat yang berbeza. KEM REMAJA TAJDID 2008 akan diadakan pada 23-25 Mei 2008 di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur dan Masjid Aleyah, Kg Kuala Ina, Melaka.

Berteraskan solat sebagai motivasi kepada remaja, program ini diadakan khusus kepada remaja berumur 13-17 tahun dengan hasrat memberikan kepada para remaja motivasi berdasarkan al-Quran dan juga as-Sunnah. Dan dalam waktu yang sama, mendidik para remaja untuk memperelokkan Solat mereka dengan menggunakan modul khas yang disusun berdasarkan Sunnah Rasulullah SAW yang shahih serta pendapat ulama' yang muktabar.

Bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke KEM REMAJA TAJDID di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur boleh berbuat demikian dengan menghubungi Encik Norman bin Yahya 019-2723960 atau Saudara Yasir bin Ramlee 013-2229683 dan kemudian memuat turun borang KEM REMAJA TAJDID AL-MUHAJIRIN di sini.

Dan bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke KEM REMAJA TAJDID di Masjid Aleyah, Kg Kuala Ina, Melaka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Saudara Masri bin Ramli 013-2506391

TERHAD KEPADA 60 ORANG PESERTA SAHAJA DI SETIAP TEMPAT!

PENDAFTARAN:

SURAU AL-MUHAJIRIN

En Norman Yahya019-2723960

atau

Sdr Yasir Ramlee 013-2229683

------------------

MASJID ALEYAH

Sdr Masri Ramli013-2506391

Wednesday, May 07, 2008

Akibat nafsu Aqidah digadaikan - Percaya tilikan BOMOH


Laporan metro muka depan hari ini selasa 6 Mei 2008 yang bertajuk Lelaki dibelasah 4 abang ipar sendiri- mangsa tilik bomoh. Kejadian ini berlaku di KUANTAN PAHANG

“Akibat percaya tilikan bomoh, 4 beradik membelasah adik ipar mereka kerana mengesyaki mangsa mencuri wang hantaran dan barang kemas seorang anggota keluarga yang bakal berkahwin tidak lama lagi”

Saya amat terkilan dan berasa marah membaca laporan ini. dan saya rasa tidak keterlaluan kalau saya gunakan perkataan AMAT BODOHnya si pelaku perbuatan ini…Marah ini bukan kerana nafsu, tetapi marah ini kerana anda telah berlaku zalim kepada diri anda sendiri dengan membelakangkan Aqidah Tauhid anda.

Metro menyatakan “Ini kes kedua berturut-turut membabitkan orang awam membelakangi undang-undang dengan membelasah orang yang disyaki tanpa usul periksa”

Saya katakan membelakangi undang-undang yang disebutkan tidaklah lebih besar daripada membelakangi perintah ALLAH dan Rasul-NYA. Membelakangi undang-undang Negara anda akan dihukum denda atau penjara tetapi membelakangi undang-undang ALLAH anda akan rugi di akhirat dan buruk tempat kembalinya..

Dimanakah Anda meletakkan Aqidah anda? Walaupun telah sering disebut dan diterangkan oleh ustaz-ustaz yang ada di Malaysia ini tetapi lihatlah masih berlaku lagi perkara-perkara yang merosakkan aqidah masyarakat kita. Mengapa ini berlaku? bukan kerana mereka tidak pernah mendengarnya, bukan kerana ustaz-ustaz tidak menerangkannya, tetapi kerana mendahulukan nafsu dari Syariat

ALLAH s.w.t. berfirman di dalam al-Hujurat: 1

يأيُّهَا الذِينَ آمنُوا لا تُقَدِّموا بينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسُولِه وَاتَقُوا اللهَ إن اللهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mendahului kata-katamu daripada Allah dan Rasul-Nya. Takutlah kamu kepada Allah, kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Lihatlah keadaan masyarakat kita yang masih rendah pemahaman aqidahnya, atau sebenarnya mereka itu percaya bahawa tindakan sedemikian akan merosakkan aqidah tetapi apabila bertuhankan hawa nafsu mereka masih berani membelakangkan ALLAH Jalla wa ‘Ala.

Ada setengah orang menyatakan “ustaz tu tak de tajuk lain ke, balik-balik tauhid rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ was Sifat”

Saya menegaskan bahawa selagi nyawa dikandung badan kita akan bercakap dan mengulang-ulang perkara yang bersangkutan dengan Aqidah ini

العقيدة أولاً ودائماً وأبداً

Aqidah itu yang pertama, sentiasa dan selama-lamanya

Telah berjayalah sang syaitan untuk menimbulkan permusuhan sesama islam, ALLAH telah menyatakan di dalam al-Quran

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan solat

Begitulah juga yang dilakukan syaitan melalui bomoh. Kemungkinan sudah ada sebelumnya rasa tidak puas hati kepada seseorang, apabila berjumpa si bomoh Qatalahumullah, bomoh pula menyatakan dengan ayat yang masyhurnya seperti “sebenarnya orang yang melakukan benda ini ialah dikalangan ahli keluarga kamu sendiri” apabila bomoh dah kata begitu maka orang yang jumpa bomoh itu tadi mula mengesyaki salah seorang ahli keluarganya yang sebelum ini memang sudah ada masalah dengannya…maka tanpa usul periksa dan percayakan si bomoh yang karut itu maka berlakulah pergaduhan sehingga ke tahap berbunuhan sesama keluarga…nauzubillah min zalik


عن عَائِشَةُ-رضي الله عنها- سَأَلَ أُنَاسٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكُهَّانِ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسُوا بِشَيْءٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَإِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ أَحْيَانًا بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنْ الْحَقِّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقُرُّهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ فَيَخْلِطُونَ معهَا مِائَةِ كَذْبَةٍ

Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang para dukun atau bomoh, maka baginda menjawab: mereka itu tidak berguna sedikitpun,. Mereka berkata: Wahai Rasulullah kadang-kadang mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar-benar terjadi. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (di kalangan manusia) dan mereka mencampur-adukkan dengan seratus pembohongan. (al-Bukhari dan Muslim)


عَنْ صَفِيَّةَ عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يوماً. رواه مسلم

Daripada Sofiyyah daripada sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. bahawa baginda bersbada: Sesiapa yang datang kepada peramal/tukang tilik lalu dia bertanya sesuatu kepadanya dan mempercayainya maka tidak akan diterima solatnya selama 40 hari

Cukuplah hanya mendengar 2 hadis ini, kita boleh memahami bahawa perbuatan bertemu dengan bomoh bertanya dan membenarkan apa yang dikata sesungguhnya ia boleh menjadi masalah kepada amalan Agama harian anda, di dalam hadis yang lain dinyatakan sekiranya anda membenarkannya sesungguhnya telah KAFIR..

Bertaubatlah kepada ALLAH s.w.t. tidakkah terfikir tindakan anda itu memecahbelahkan hubungan kekeluargaan di tambah pula hubungan sesama islam?

Wahai saudara-saudaraku FAHAMILAH AQIDAH MU…

Fikir-fikirkanlah

Abu Syuaib Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latiff
Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
http://abusyuaib.blogspot.com