Sunday, April 22, 2007

Amalkan budaya politik beradab

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI



KEKECOHAN yang d
ilaporkan ketika proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Khamis lalu amat mendukacitakan. Peristiwa balingan botol dan pelbagai objek lain yang boleh mencederakan antara penyokong kedua belah parti bertanding lebih menonjolkan budaya politik dangkal dan kurang matang.


Persoalannya, apakah peristiwa ini menggambarkan kehidupan dan budaya politik masyarakat Malaysia hari ini yang semakin celaru dan menggawatkan? Atau apakah dunia politik demokrasi kita sedang mengalami kekeringan makna dan kegersangan nilai lantaran menggejalanya pelbagai perilaku sumbang dan songsang?

Memang tidak dinafikan pilihan raya merupakan instrumen terpenting dalam sistem demokrasi yang perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkemampuan untuk mewakili suara mereka kelak. Namun pilihan raya dalam sistem demokrasi tidak wajar dimartabatkan setinggi kedudukan agama sehingga melupakan segala had dan batasan akhlak, apatah lagi peraturan yang digariskan syarak.

Yang pasti pilihan raya bukan sekadar pesta di malam hari yang berkumandangan suara-suara bersemangat pemidato-pemidato untuk mempengaruhi pengundi. Pilihan raya juga tidak seharusnya menjadi pentas adu domba dan sebaran spekulasi yang memualkan. Lebih malang lagi jika pilihan raya menjadi wahana penyubur budaya fitnah dengan alunan cacian, makian sambil memperjudikan ayat-ayat suci Allah bagi meraih undian.

Apa yang penting dalam suasana kehangatan pilihan raya yang begitu mudah isu-isu dan sentimen pembakar semangat dicetuskan, rakyat harus kental berprinsip agar tidak mudah termakan dengan sebarang bentuk elemen provokasi yang boleh mengundang perbalahan.

Masyarakat juga perlu lebih berwaspada agar tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita palsu yang mengelirukan. Setiap cerita sensasi yang meragukan haruslah diselidiki agar kita tidak membuat keputusan yang salah khususnya dalam memilih pemimpin.

Cukuplah amaran Allah dijadikan pedoman: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar (an-Nur: 11).

Al-Quran turut memberi peringatan keras kepada mereka yang mendengar dan menyebar fitnah dan tuduhan palsu, tanpa sikap berbaik sangka atau memastikannya terlebih dahulu. Peringatan ini disampaikan dalam konteks kisah ‘al-Ifk’ iaitu peristiwa isteri Nabi s.a.w. sendiri, Sayidatina Aisyah yang turut difitnah (Lihat an-Nur: 16-17).

Malangnya ramai ahli politik Islam sendiri hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.

Sikap sesetengah ahli politik yang mengambil kesempatan daripada kejahilan rakyat turut menyebabkan pilihan raya yang menjadi medan terbaik memilih pemimpin tidak ubah seperti pentas opera yang sarat adegan fantasi, dongengan dan tipu daya.

Akhirnya, pilihan raya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun. Fenomena ini tentunya bertentangan dengan ajaran Islam yang jelas menggariskan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Hujurat: 1).

Menggejalanya budaya politik yang dangkal dan tidak beradab, pastilah akan mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga bakal menuntut kepada permasalahan yang lebih besar sehingga mampu meleburkan semangat ukhuwah, memecah perpaduan umat dan memporak-perandakan negara.

Justeru, budaya politik umat harus segera dijernihkan. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadan di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua percaturan.

Apa yang penting sistem demokrasi pilihan raya ciptaan manusia harus diterima sekadarnya dan seadanya. Pilihan raya juga harus digunakan hanya sebagai suatu proses untuk rakyat memilih pemimpin yang benar-benar berkemampuan menggalas tanggungjawab dan amanah demi kepentingan masyarakat dan membina tamadun umat gemilang.

Pemilihan pemimpin mestilah dinilai dari pelbagai aspek bukan sekadar kehebatan berpidato dengan alunan ayat-ayat suci Allah. Bukan sekadar kelantangan memaki hamun dan mengadu domba. Amat malang jika pemimpin yang dipilih hanya kerana wang ringgit yang ditaburnya.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan kematangan dalam berpolitik. Politik yang matang sentiasa disemangati dengan idealisme luhur bersandarkan lunas-lunas dan prinsip-prinsip Islam sejati. Budaya politik yang beradab juga mencerminkan masyarakat bermaruah yang menolak kefanatikan, mengutamakan perpaduan dan mengetepikan perbezaan ideologi, perkauman dan kerakusan terhadap kuasa demi kepentingan bangsa dan negara yang lebih murni.

No comments: