Sunday, April 15, 2007

Aqal Sihat Aqidah Tepat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

Kehidupan ini, sama ada disedari atau tidak, adalah merupakan ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala demi menentukan siapakah yang terbaik amalannya. Ujian tersebut wujud dalam pelbagai bentuk, sebahagiannya kita kenali dan sebahagian lain tidak kita kenali.

Sesungguhnya saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana diberi peluang untuk menggunakan kapasiti aqal yang dianugerahkan ini untuk mempelajari,mengkaji dan memahami ilmu aqidah yang benar iaitu aqidah sebenar Ahlul Sunnah Wal Jamaah.Mengapa saya katakan aqidah sebenar?Adakah bermaksud ada aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang tidak benar?Ini adalah kerana terlalu ramai golongan yang mengaku mereka beraqidahkan aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan hakikatnya aqidah mereka mirip aqidah Mu’tazilah atau Jahmiyyah dan sebagainya.

Dalam tempoh pembelajaran ini tidak dinafikan saya berhadapan dengan beberapa ujian dalam pelbagai bentuk,bukan dalam subjek aqidah itu yang sememangnya senang untuk difahami kerana secara logiknya jika aqidah ini sukar difahami seperti subjek fizik ataupun ekonomi maka sudah tentu sukar untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar arab Jahiliyyah pada waktu itu tentang tauhid,tetapi lihat sahaja bagaiman para sahabat dan mereka yang memeluk Islam pada waktu itu beriman dan mempunyai aqidah yang mantap dan kukuh.Tetapi lama kelamaan selepas kewafatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam muncul golongan-golongan yang mengubah kesucian aqidah sebenar ini mengikut hawa nafsu mereka.Maka muncullah golongan-golongan seperti al-Khawarij, Syiah, Muktazilah dan Murjiah.Penyelewengan dalm aqidah ini atau dalam erti kata lain bid’ah dalm aqidah ini tersebar aktif contohnya fahaman Muktazilah kerana terjemahan kitab-kitab Falsafah Greek (Aristotatle, Socratus, Demoratus dll) ke dalam bahasa Arab di zaman al-Makmun (w 218 H) menyebabkan Manhaj Akal lebih tinggi dari Manhaj Wahyu. Dari sini timbul pula Ilmu Mantiq (Logik).

Tokoh-tokoh Muktazilah seperti . Al-Huzail Al-Alaf,An-Nizham, Ahmad bin Khabit dan Al-Fadhl Al-Hadathi yang mempromosi aqidah yang menghadkan kekuasaan Allah,mengingkari mukjizat-mukjizat kenabian,dan kepercayaan akan penjelmaan semula roh-roh atau makhluk lain selepas mati atau boleh juga digelar At-Tanasukh (reincarnation) yakni konsep yang mungkin juga boleh disebut sebagai Hulul al-Arwah atau Tahlil al-Arwah menurut Al-Hudaiby.Selepas itu perkembangan fahaman al-Muktazilah ini sentiasa berkembang dengan virus-virus baru sehingga ke hari ini. Virusnya yang berteraskan logik akal atau ilmu mantiq begitu hebat sehingga melewati batas-batas pendidikan dan pemikiran malah menggangu terus khazanah intelek sehingga amat sukar sekali untuk dirawati.

.Tidak cukup dengan mencanang kesesatan maupun kekufuran ulama’ terdahulu tanpa usul periksa malah mereka yang terpengaruh dengan fahaman ini begitu taksub dengan pemahaman mereka menyebabkan wujud jurang perbezaan dalam membentuk akhlaq maupun sakhsiah diri seperti yang dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam berhubung sesama manusia.

Disebabkan itulah dalam era globalisasi ini turut menyaksikan berbagai warna bid’ah tercalit ke atas muslimin disebabkan kemunduran mereka dalam aspek keagamaan, sehingga menyerah bulat-bulat urusan kewajipan agama kepada orang lain, juga pengaruh pemikiran barat spt sekularisme, nasionalisme, pragmatisme, liberalisme dll.

Golongan ini ‘terlalu terkedepan’ dalam menggunakan aqal mereka sehingga sanggup menyatakan sifat apa yang wajib,sifat apa yang harus dan sifat apa pula yang mustahil dalam memahami perkara-perkara berkenaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.Inilah hasilnya apabila terpengaruh dengan philosophical theology (filsafat ketuhanan),atau dalam erti kata lain ilmu kalam.

Berkata Assyihristani: “Setelah ulama’-ulama’ Muktazilah mempelajari kitab-kitab filsafat yang diterjemahkan pada masa Al-Ma’mun,mereka mempertemukan cara (sistem) filsafat dengan sistem ilmu kalam dan dijadikan ilmu yang berdiri sendiri dan dinamakannya ilmu kalam,sejak itu dipakailah al-kalam untuk ilmu yang berdiri sendiri”
(Theology Islam (ilmu kalam),oleh Ahmad Hanafi M.A, m.s 11)

Maka apa yang dapat kita lihat di sini ialah antara punca perbezaan dalam memahami ilmu aqidah ialah golongan-golongan yang bathil ini selalu mendahului aqal daripada naqal (wahyu) dalam memahami ilmu aqidah.Disebabkan perbezaan inilah apabila dibandingkan antara ciri-ciri aqidah Islam yang hak yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dengan ciri-ciri aqidah Islam yang telah diselewengkan dan dicampur adukkan dengan kebathilan, kita akan dengan mudah mendapati bahawa aqidah yang hak lagi suci adalah mudah untuk difahami dan ia menjawab segala persoalan fitrah dalam jiwa manusia, justeru menanam rasa keyakinan dan ketenangan dalam jiwa mereka. Di samping itu, dalil-dalil aqidah yang hak tidakbercanggahan antara satu sama lain.

Sebaliknya, ciri-ciri aqidah yang telah diselewengkan dan dicampur adukkan dengan kebathilan adalah berlawanan sama sekali dengan ciri-ciri aqidah yang hak seperti yang disebut di atas. Banyak contoh aqidah yang terseleweng ini terdapat dalam pegangan masyarakat kita, khususnya yang berkaitan “Ilmu Makrifat”.Selain itu tidak dinafikan ada sahaja teori yang dihasilkan seperti “Allah wujud tidak bertempat”, “Allah berada di mana-mana”, dan sebagainya demi menolak firman Allah sebagai contoh sifat Allah yang menyifatkan dirinya beristiwa’ di atas ‘Arasy.

Berkata Imam As-Syafie:-

“Allah Tabaraka wa Taa'la memiliki nama-nama dan Sifat-sifat yang diterangkan dalam kitabNya dan diberitakan oleh NabiNya shalallahu a'laihi wasallam kepada umatnya maka tidak ada alasan bagi siapa pun yang telah sampai di hadapanNya hujah(dalil) untuk menolaknya.”
(Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Siyar A'lam Al-Nubala jld 10,m.s 79-80)

Malah Imam As-Shafie sendiri beriman dengan kepercayaan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala mempunyai sifat-sifat seperti yang difirmankanya di dalm Al-Quran dan yakin dengan apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sampaikan.

“Pegangan dalam atas sunnah Rasulullah SAW yang aku beradai di atasnya dan aku lihat sahabat-sahabat kita berada di atasnya, mereka itu Ahlul Hadis yang aku telah lihat mereka dan aku telah ambil daripada mereka seperti Sufyan, Malik dan selain mereka ialah ikrar bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Muhammad itu Rasulullah. sesungguhnya Allah di atas Arsynya dilangitnya. Dia menghampiri sesiapa yang dikalangan makhluk-makhlukNya sebagaimana yang Dia kehendaki, Dan Allah SWT turun ke langit dunia sebagaimana yang dia kehendaki.”
(Al-Wasiyyah m.s 53-58)

Oleh itu,kita yang berada di Malaysia khususnya bangga bermazhab Syafie kenapa perlu terpengaruh dengan teori “Allah Wujud Tidak Bertempat” ataupun “Allah Wujud Di Mana-Mana”?Apakah mereka yang mencanang-canang slogan berpegang kepada mazhab Syafie dalam fiqh tetapi mengambil Aqidah Asya’irah dalam aqidah membawa maksud aqidah Imam As-Shafie tidak betul?Mengapa tidak mengambil kedua-duanya yakni baik dalam fiqh apetah lagi aqidah Imam Syafie seperti yang dinyatakan di atas?

Ulama Kalam/Asya’irah seperti yang saya katakan di atas telah membahagikan hukum kepada tiga jenis : (1) Hukum Syar’i ; iaitu hukum yang ditetapkan oleh Allah yang terbahagi kepada (i) Wajib (ii) Haram (iii) Sunat (iv)Makruh dan (v) Mubah/Harus. (2) Hukum ‘Aqli ; iaitu hukum yang ditetapkan oleh aqal manusia yang terbahagi kepada (i)Apa yang wajib pada aqal (ii) Apa yang mustahil pada aqal dan (iii) apa yang jaiz/mungkin pada aqal. (3) Hukum Adat. Jika dihalusi kitab-kitab aqidah mereka, kita akan dapati bahawa golongan ini kembali kepada hukum dan penetapan Allah (Hukum Syar’i) dalam ibadah/syari’ah, tetapi dalam aqidah/tauhid/ilmu makrifat yang merangkumi ilmu ghaib, mereka kembali kepada hukum/penetapan aqal manusia (Hukum ‘Aqli).


Golongan ini mewajibkan didahului aqal dan bagi naqal (wahyu) pula sama ada mereka tafwidh (menyerahkan sahaja makna wahyu tersebut bulat-bulat kepada Allah) atau takwil (mengubah suai makna wahyu yang zahir itu kepada makna lain).
(Asasuttaqdis, hal. 172-173)

Kaedah yang dinamakan AlKanun Al-Kulli ini menyebabkan fungsi aqal terpesong dari kedudukan sebenarnya kerana manhaj sebenar Ahlul Sunnah Wal Jamaah yakni akal tidak mampu menjangkau perkara-perkara ghaib di balik alam nyata yang kita saksikan ini, seperti pengetahuan tentang dan sifat-sifat-Nya, arwah, surga dan neraka yang semua itu hanya dapat diketahui melalui wahyu.Ini dapat dilihat melalui sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:-

تَفَكَّرُوْا فِيْ أَلاَءِ اللهِ وَلاَ تَفَكَّرُوْا فِيْ اللهِ عَزَّ وَجَل

“Berpikirlah pada makhluk-makhluk Allah dan jangan berpikir pada Dzat Allah.”

(HR. Ath-Thabrani, Al-Lalikai dan Al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar, lihat Ash-Shahihah no. 1788 dan Asy-Syaikh Al-Albani menghasankannya)

Oleh karena itu, aqal diperintahkan untuk pasrah dan mengamalkan perintah syariat meskipun ia tidak mengetahui hikmah di sebalik perintah itu. Karana, tidak semua hikmah dan sebab di sebalik hukum syariat perlu diketahui manusia.Justeru,terlalu banyak hal yang tidak manusia ketahui sehingga aqal wajib tunduk kepada syariat.

Diumpamakan oleh para ulama bahwa kedudukan antara akal dengan syariat bagaikan kedudukan seorang awam dengan seorang mujtahid. Ketika ada seseorang yang ingin meminta fatwa dan tidak tahu mujtahid yang berfatwa (tidak tahu harus ke mana minta fatwa), maka orang awam itu pun menunjukkannya kepada mujtahid. Setelah mendapat fatwa, terjadi perbezaan pendapat antara mujtahid yang berfatwa dengan orang awam yang tadi menunjuki orang tersebut. Tentunya bagi yang meminta fatwa harus mengambil pendapat sang mujtahid yang berfatwa dan tidak mengambil pendapat orang awam tersebut karena orang awam itu telah mengakui keilmuan sang mujtahid dan bahwa dia (mujtahid) lebih tahu (lebih berilmu). (Lihat Syarh Aqidah Ath-Thahawiyah hal. 201)

Penjelasan ini dapat kita fahami melalui firman Allah sendiri di dalam Al-Quran:-

وَيَسْأَلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوْتِيْتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيْلاً

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: ‘Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit’.” (Al-Isra: 85)

Rata-rata, di Malaysia umumnya kebanyakkan sekolah agama menggalakkan para pelajarnya menasyidkan “Asma Husna” (yang mengandungi 99 nama Allah) sekurang-kurangnya di perhimpunan sekolah. Ada juga kebanyakkan sekolah agama yang mengajarkan “Sifat 20” sebagai teras makrifat Allah dalam ilmu tauhid.Sampai begitu sekali dapat kita lihat kepincangan konsep ilmu makrifat ini apabila unsur-unsur ilmu kalam telah lama bertapak di nusantara.Oleh itu tidak menghairankan apabila Prof Muhammad Taib Osman berkata “......kehebatan pengajaran agama Islam tidak dapat menghapuskan saki-baki kepercayaan tradisional dan juga pengaruh Hindu dengan sepenuhnya” (Pemikiran Umat Islam di Nusantara – sejarah dan perkembangannya hingga abad ke-19 ” oleh Abdul Rahman Hj. Abdullah)

Maka sesungguhnya jelas golongan yang tunduk pada aqal seperti golongan Asya’irah seumpamanya dalam memperjuangkan konsep wujud Allah mereka menetapkan Allah itu “AlHuduth”(Baharu) dan “AlQadim”(Lama).Ini kerana mereka menggunakan aqal menganggap alam ini baru maka sudah tentu ada pencipta yang lama.Inilah pendalilan mantik atau logik berasakan hujah falsafah Greek/Yunani.dalam konteks memahami Al-Quran golongan ini membeza-bezakan antara makna dan lafaz,mereka menetapkan kalam Allah hanya dengan sudut makna bukannya lafaz tanpa suara dan huruf.Kalam Allah pada mereka hanya majaz (kiasan) kerana ianya diibaratkan daripadanya sahaja bukan kalam Allah yang sebenarnya.
(Manhaj Ahli Assunnah Wal Jamaah, oleh Ismail Omar)



Inilah antara perbezaan antara golongan Asya’irah yang banyak tunduk pada aqal dengan golongan Ahlul Sunnah yang menggunakan Al-Quran,As-Sunnah,Ijma’,Aqal dan fitrah sebagai sumber untuk Ahlul Sunnah untuk berhujah berkenaan masalah aqidah.Sesungguhnya aqal yang sahih tidak mungkin bertentangan dengan nas-nas (naqal) yang sahih terutama dalm beriman kepada perkara-perkara ghaib terutamanya berkenaan sifat-sifat Allah.Apabila aqal didahului mengatasi naqal maka wujud konflik jiwa dalam beriman tentang sifat-sifat Allah seperti mana yang telah Allah firman dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam khabarkan.

Disebabkan titik perbezaan inilah golongan Asya’irah yang mengaggap bahawa dengan berimannya kita khususnya terhadap sifat-sifat Allah seperti istiwa’,wajah,tangan,betis dan sebagainya seperti yang difirmankan Allah dan Rasul-Nya boleh jatuh kufur sedangkan inilah aqidah yang dipegang erat oleh para salfussoleh dan ulama’-ulama’ maupun kesmua imam 4 mazhab.Aqal mereka yang telah disuntik penyakit tajsim beranggapan bahawa keimanan seperti ini adalah keimanan yang bathil kerana beriman bahawa Allah beristiwa’ di atas A’rasy seperti yang tertera di dalam Al-Quran umpama kita membayangkan Allah mempunyai persamaan dengan manusia.Sedangkan telah jelas bahawa keimanan Ahlul Sunnah Wal Jamaah khususnya dalam memahami sifat-sifat Allah ialah kita beriman seperti mana yang Allah nyatakan tetapi kaifiat atau tatacaranya kita serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.Maka tidak timbul isu tajsim (menjisimkan Allah) atau isu menyamakan Allah dengan makhluk kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah imaginasi melampau sehingga ingin menggunakan aqal yang terbatas ini untuk mengambarkan sesuatu yang sememangnya diluar jangkauan.

Al-Imam Az-Zuhri mengatakan: “Risalah datang dari Allah, kewajiban Rasul menyampaikan dan kewajiban kita menerima.” (Syarh Al-’Aqidah Ath-Thahawiyah hal. 201)

Inilah bahana apabila kita mengunakan aqal dengan cara yang tercela seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah yang menyebutkan bahwa pendapat akal yang tercela itu ada beberapa macam:

1. Pendapat akal yang menyelisihi nash Al Qur’an atau As Sunnah.

2. Berbicara masalah agama dengan prasangka dan perkiraan yang dibayangi dengan sikap menyimpulkan dalam mempelajari nash-nash, memahaminya serta mengambil hukum darinya.

3. Pendapat akal yang berakibat menolak asma (nama-nama) Allah sifat-sifat dan perbuatan-Nya dengan teori atau qiyas (analogi) yang batil yang dibuat oleh para pengikut filsafat.

4. Pendapat yang mengakibatkan tumbuhnya bid’ah dan matinya As Sunnah.

5. Berbicara dalam hukum-hukum syariat sekedar dengan anggapan baik (dari dirinya) dan prasangka.
(Lihat I’lam Muwaqqi’in, 1/104-106, Al-Intishar, hal. 21, 24, Al-’Aql wa Manzilatuhu)

Untuk mengetahui bathilnya pendapat mereka dengan singkat dan mudah cukup dengan kita merujuk kepada lima hal yang disebutkan Ibnul Qayyim di atas.Jika kita berhadapan dengan situasi yakni bertembungnya dalil dan aqal kita maka janganlah aqal kita meragui dalil tersebut tetapi raguilah aqal yang kurang sihat itu. Hal ini berangkat dari ajaran Al Qur’an
dan As Sunnah yang mengharuskan kita untuk selalu kembali kepada dalil. Demikian pula anjuran para dan mengalami kejadian sahabat yang berpengalaman dengan
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam turunnya wahyu. Seperti dikatakan oleh ‘Umar bin Al-Khaththab:

Wahai manusia, curigailah akal kalian terhadap agama ini.”

(Riwayat Ath-Thabrani, lihat Marwiyyat Ghazwah Al-Hudaibiyyah, hal. 177, 301)

Oleh karenanya, Ibnul Qayyim mengatakan: “Jika dalil naqli bertentangan dengan akal, maka yang diambil adalah dalil naqli yang shahih dan akal itu dibuang dan ditaruh di bawah kaki, tempatkan di mana Allah meletakkannya dan menempatkan para pemiliknya.”

(Mukhtashar As-Shawa’iq, hal. 82-83 dinukil dari Mauqif Al-Madrasah Al-‘Aqliyyah, 1/61-63)

Mereka yang terjebak dengan konsep pemahaman ini sememangnya tidak akan akur dan tuduk pada dalil-dalil yang diutarakan kerana telah diselimuti dengam pegangan ilmu kalam tersebut.Tetapi mereka ini dengan bangganya mengaku bermazhab Imam As-Syafie tanpa menyedari bahawa Imam Syafie begitu jelek dengan mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ini.Diriwayatkan bahawa Imam As-Syafie pernah berkata:-

“Hukum aku kepada mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ialah disebatnya mereka itu dengan kayu dan dibaling dengan kasut lalu di bawa berarak ke sekeliling jalan-jalan sambil dilaungkan kepada orang ramai bahawa inilah hukuman bagi mereka yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.”

(Riwayat Baihaqi dalam Manaqib Syafie m/s 462 Jilid 1).


Jelas disini bahawa golongan Asyai’rah atau ahlul kalam semangnya perlu menilai dan bertaubat atas konsep yang mereka perjuangkan kerana ia bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah yang sahih.Memang tepatlah kata-kata Al-Imam Adz-Dzahabi tentang orang-orang yang tetap mengedepankan akalnya:

“Jika kamu melihat ahlul kalam ahli bid’ah mengatakan: ‘Tinggalkan kami dari Al Qur’an dan hadits ahad dan tampilkan akal,’ maka ketahuilah bahwa ia adalah Abu Jahal.”
(Siyar A’lamin Nubala, 4/472)

Maka artikel ini juga perlu dinilai semula berdasarkan hujah-hujah yang dibawa bukannya dengan mendahului aqal dan emosi semata kerana sesungguhnya tidak berdiri Islam itu di atas aqal dan emosi tetapi berdasarkan naqal yang sahih lagi tepat.


Wallahua’lam.


Ibn Yusof
9 March 2007 / 22 Rabiulawwal 1428
6:03 a.m
ibnyusof.blogspot.com

No comments: