Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri!!!


Hari Raya Juga Ibadah, Mesti Disambut Mengikut Sunnah

Oleh:

Abd Razak Abd Muthalib

Ramadhan semakin melabuhkan tirainya dan Syawal bakal menjelma. Ketibaan Syawal ini merupakan salah satu anugerah dan rahmat Ilahi buat hamba-hamba yang telah membuktikan kehambaan dengan taat dan patuh kepada perintahNya. Ibadah puasa semakin sempurna kita tunaikan. Sebagai balasannya, disediakan satu hari untuk kita bergembira dan meraikan kejayaan ini. Seperti mana puasa ini satu ibadah, hari raya juga adalah satu ibadah. Apabila ibadah, maka ia terikat dengan syarat-syarat dan ciri-ciri yang menepati sesuatu ibadah, supaya ianya diterima sebagai amal soleh. Mana-mana ibadah yang tidak menepati ciri-ciri ini, maka tidak akan diterima. Syarat-syarat tersebut ialah: ikhlas dan menepati sunnah Nabi saw.

Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat terakhir surah al-Kahfi menyatakan: ((Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut dan meraikan hari raya ini dengan berpandukan sunnah Rasulullah saw dan contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda.

Anugerah dan rahmat Allah buat umat Muhammad saw

Sedar atau pun tidak, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha yang kita raikannya saban tahun ini merupakan salah satu rahmat dan anugerah Allah swt buat umat ini.

Daripada Anas r.a berkata: Selepas Nabi saw tiba di Madinah, Baginda mendapati bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman jahiliyah. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati ada dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman Jahiliyah, dan sesungguhnya Allah swt telah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: hari raya korban dan I’dil fitri)). (Hadith sahih, riwayat Ahmad (3/103), Abu Daud (1134) al-Nasa’ie (3/179)

Syaikh Ahmad Abd al-Rahman al-Banna berkata: “Ini kerana hari I’dil fitri dan hari raya korban ini merupakan syariat Allah, dipilih oleh Allah untuk makhluk ciptaanNya, dan kedua-duanya juga datang selepas daripada perlaksanaan dua rukun yang besar daripada rukun-rukun Islam, iaitu: haji dan puasa. Pada kedua-dua rukun ini, Allah swt akan mengampunkan dosa mereka yang menunaikan haji dan mereka yang berpuasa, dan Dia mencurahkan rahmatNya ke atas makhluk ciptaanNYa yang taat…”. (Al-Halabi, ‘Ali Hasan, Ahkam al-‘Idyain (Amman: Al-Maktabah al-Islamiyah, Cet.2, 1993), m/s 15).

Sunnah di dalam menyambut hari raya

1) Mandi sunat sebelum keluar pergi ke tempat sembahyang

Daripada Nafi’meriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar mandi pada hari raya ‘idul fitri sebelum beliau keluar ke tempat sembahyang. (Diriwayatkan oleh Malik, Nafi’ dan Abd al-Razzaq,dan sanadnya sahih).

Al-Imam Sa’id bin al-Musayyib berkata: Ada tiga sunnah pada hari ‘Idul Fitri: berjalan ke tempat sembahyang, makan sebelum keluar, mandi”. (Diriwayatkan oleh al-Firyabi dengan sanad yang sahih, Irwa’ al-Ghalil (2/104)

2) Berhias dan bercantik-cantik pada hari raya.

Ini berdasarkan hadith Ibn Umar yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (886), Muslim (2968), Abu Daud (1076), al-Nasa’ie (3/181).

Al-Imam Ibn al-Qayyim menyebut di dalam kitabnya Zaad al-Maad, bahawa Nabi saw memakai pakaian yang paling cantik untuk kedua-dua hari raya. (Ibn al-Qayyim, Zaad al-Maad, 1/441)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih kepada Ibn Umar bahawa dia (Ibn Umar) memakai pakaiannya yang paling baik pada kedua-dua hari raya”.

3) Makan sebelum keluar ke tempat sembahyang

Daripada Anas bin Malik berkata: ((Rasulullah saw tidak keluar pada hari ‘Idul Fitri sehinggalah Baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu)). (Riwayat al-Bukhari (953), al-Tirmizi (543), Ibn Majah (1754).

Al-Imam al-Muhallab berkata: Hikmah supaya disuruh makan terlebih dahulu sebelum sembahyang ialah supaya seseorang itu tidak menyangka yang dia masih berpuasa sehingga dia menunaikan solat hari raya, jadi seolah-olah Baginda saw ingin mengelakkan perkara ini. (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 2/447).

Ibn al-Qayyim al-Jauziyah berkata: ((…ada pun pada hari ‘Idul Adha, Baginda saw tidak makan sehinggalah selepas Baginda pulang dari tempat sembahyang, maka Baginda makan daging sembelihannya)). (Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma’ad, 1/441)

4) Menunaikan solat hari raya dan sunnah solat ini dilakukan di kawasan tanah lapang.

Daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a berkata: ((Rasulullah saw keluar pada hari ‘idil fitri dan ‘idil adha ke kawasan tempat solat, maka yang pertama Baginda mulakan ialah solat…)).

(Riwayat al-Bukhari (956), Muslim (889), al-Nasa’ie (3/187).

Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki berkata: “Sunnah yang telah lalu di dalam solat dua hari raya ini ialah ianya dilakukan di kawasan lapang (yang disediakan untuk solat), kerana Nabi saw pernah bersabda: ((Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram)), namun, walaupun dengan fadhilat yang besar ini, Baginda saw tetap keluar dan meninggalkannya (tidak solat di masjid Nabawi).

5) Pergi dan pulang dari tempat sembahyang menggunakan jalan yang berbeza

Daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: ((Nabi saw pada hari raya menggunakan jalan yang berbeza)). (al-Bukhari (986)

6) Melaungkan takbir

((Nabi saw keluar pada hari raya ‘idil fitri (ke tempat solat), lalu Baginda saw bertakbir hinggalah sampai di tempat solat dan sehingga ditunaikan solat. Apabila telah ditunaikan solat, maka dihentikan takbir”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam “al-Musannaf”, al-Muhamili di dalam “kitab Sifat al-‘Idyain” dengan sanad yang sahih, tetapi ia adalah mursal. Tetapi ada syawahid lain yang menguatkannnya. Lihat: Sislsilah Ahadith al-Sahihah (170).

Ibn Umar juga pada hari ‘idul Fitri dan ‘Idul Adha melaungkan takbir dengan kuat sehinggalah dia sampai ke tempat sembahyang, kemudian beliau bertakbir lagi sehinggalah datang imam. (Riwayat al-Daruqutni dan Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih. Lihat Irwa’ al-Ghalil (650).

Seronok beraya, solat jangan lupa

Memang seronok apabila tibanya hari raya. Dari kanak-kanak, remaja hinggalah orang dewasa semuanya gembira dan seronok meraikan hari mulia ini. Masing-masing dengan cara tersendiri. Kanak-kanak semangat mengumpul duit raya. Golongan remaja saling ziarah menziarahi rumah kawan dan sahabat handai. Golongan dewasa pula gembira menerima dan melayan para tetamu. Inilah, betapa harmoninya suasana hari ini.

Namun, alangkah malangnya jika keharmonian dan kemuliaan hari ini, dicemari dengan dosa dan maksiat. Menyambut hari raya adalah ibadah. Apakah patut kita melakukan ibadah dengan mengabaikan ibadah yang lain. Oleh itu, mari kita saling berpesan dan nasihat menasihati ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai: “raya, raya juga, solat jangan lupa!!”.

Saling bersalaman, jangan sampai melanggar batasan

Sememangnya tradisi ziarah menziarahi sanak saudara jiran tetangga merupakan amalan yang dipuji oleh Islam. Biasanya kita akan saling bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Tetapi jangan pula sampai terlanggar batasan. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak boleh bersalaman. Ingat, kita ada adab dan batas syariat. Biarlah di hari raya ini kita dikurniakan berkat. Jangan cemarkan ia dengan maksiat.

Ramadhan tahun depan, adakah kita berkesempatan?

Tiada siapa yang dapat menjawab soalan ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjadikan didikan dan amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini berterusan hingga bulan-bulan seterusnya. Doa dan harapan kita supaya kita diizinkan lagi untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan, bulan rahmat yang penuh keberkatan. Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri!!!

No comments: