Friday, October 26, 2007

Semoga Anakku Menjadi Penyanyi

Belajarlah rajin-rajin, nak. Besar nanti boleh jadi doktor ke, lawyer ke, engineer ke…”. “Mak dan ayah akan usahakan segala yang termampu asalkan hasrat kau untuk masuk ke universiti akan tercapai..”.

Guru bertanya kepada murid-muridnya: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak jadi pilot”. “Saya pula nak jadi cikgu”. “Saya nak jadi saintis”. “Saya nak jadi businessman”.

Kalau dahulu, inilah lebih kurang dialog-dialog yang sering kita dengar di antara anak dan ibu bapa dan murid dengan gurunya. Suatu dialog yang menggambarkan bahawa ibu bapa mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya menceburi bidang-bidang pekerjaan yang hebat dan dipandang murni. Jawapan daripada anak-anak atau murid-murid generasi dahulu juga sudah cukup membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang berwawasan, mempunyai matlamat hidup dan menyedari peranan mereka di masa hadapan.

Tapi sekarang, lain pula yang kita dengar. Mummy bangga dengan kamu kerana terpilih ke Akademi Fantasia. “Daddy mahu kamu berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan Malaysian Idol nanti”. “Saya berasa sangat seronok kerana akhirnya hasrat anak saya untuk jadi penyanyi tercapai juga akhirnya”. “Rancangan Mentor ini telah memberikan masa depan yang cerah buat anak saya”. “Abah dan ibu akan memberikan sokongan yang kuat, asalkan kau menang dalam pertandingan My Starz nanti”…


Murid-murid pula apabila ditanya guru mereka: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak masuk Akademi Fantasia”. “Saya nak jadi penyanyi”. “Saya suka sangat kalau dapat masuk Malaysian Idol”.



Inilah yang kita dengar dan lihat hari ini. Jawapan-jawapan yang menggambarkan kepada kita tentang betapa tingginya harapan sesetengah ibu bapa yang mahu menjadikan anak mereka seorang penyanyi. Ibu bapa akan sangat gembira, terharu dan menangis kegembiraan jika anak mereka terpilih untuk menyertai mana-mana rancangan realiti televisyen yang ingin melahirkan “penyanyi-penyanyi segera” –kualitinya belum tahu lagi-. Sebaliknya ibu bapa ini akan berasa sedih, kecewa dan menangis kesedihan jika anak mereka gagal terpilih atau tersingkir. Sebab itu, ibu bapa ini akan sanggup berkorban demi melihat anak mereka berjaya terpilih. Malah, ada yang sanggup menjual tanah dan berhutang semata-mata ingin mempromosikan anak mereka. Ada ibu bapa lain juga terpaksa berhutang, tetapi untuk membeli buku-buku latihan dan membayar yuran-yuran pengajian anak. Bukan setakat ibu bapa, malah adik-beradik dan sanak saudara yang lain turut serta memberi sokongan padu. Sebab itu, ada yang sampai menubuhkan “fan club”, buat banner, t-shirt khas dan sebagainya. Ini semua dilakukan semata-mata untuk melihat si anak ini menjadi seorang penyanyi.

Apa sudah jadi dengan sesetengah ibu bapa yang sebegini. Mereka sedih, kecewa dan menangis apabila anak mereka tersingkir atau tidak terpilih untuk menjadi penyanyi. Tetapi mereka tidak kisah jika anak yang sama juga tidak solat lima waktu. Mereka tidak gusar jika anak mereka masih tidak pandai membaca al-Quran. Mereka tidak bimbang jika anak yang sama juga bergaul bebas tanpa batasan antara teman-teman lelaki dan perempuan. Mereka tidak sedih jika anak yang sama juga gagal di dalam peperiksaan. Mereka tidak hirau jika corak kehidupan anak-anak mereka seolah-olah hanya hidup untuk seronok dan hiburan. Mereka tidak risau jika anak yang sama juga tidak mempunyai matlamat dan arah tujuan di dalam kehidupan.

Kemana hilangnya semangat dan harapan yang ada pada ibu bapa generasi dahulu? Di mana silapnya atau siapakah yang silap? Apakah silap pihak media dan tv yang terlalu banyak menyiarkan rancangan-rancangan hiburan, tidak kira dari luar negeri mahupun artis-artis tempatan? Atau jari harus ditundingkan kepada kerajaan yang tidak menyekat dan mengawal hiburan-hiburan yang tidak berpatutan? Atau ianya salah guru-guru yang tidak memberikan nasihat dan pesanan. Atau adakah mungkin salah masyarakat yang turut menghantar sms memberikan sokongan? Atau mungkin juga salah ustaz-ustaz dan golongan agama yang tidak mengajar dan mengajak umat supaya kembali kepada panduan al-Quran dan sunnah Nabi junjungan. Atau perkara ini berlaku secara kebetulan? Atau mungkin juga ia suatu perancangan pihak lawan? Atau mungkin inilah kesannya dari dunia tanpa sempadan? Mungkin juga ini suatu lambang ketamadunan dan kemodenan sebuah bangsa yang bernama Melayu dan Islam sebagai anutan.

Generasi remaja sekarang juga seolah-olah sudah hilang hala tuju mereka. Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan hakiki.

Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Hidup ini bagaikan tiada fungsi dan tujuan, semata-mata untuk berseronok dan hiburan. Peribadi dan sunnah Rasulullah saw tidak lagi menjadi ikutan. Lebih parah, ada yang ditanya tentang latar belakang Nabi, terus digelengkan kepala dan mahu mengelak diri. Tapi, pantang ditanya tentang artis kegilaan hati, terus dijawab tanpa henti dan ragu lagi. Semuanya dapat diceritakan; dari tajuk-tajuk album dan lagu hingga berapakah biji jerawat yang ada di dagu. Di mana show dan konsert di hujung minggu, hingga berapakah saiz baju, semuanya mereka tahu. Artis barat pula semakin dijadikan kiblat arah ikutan. Apa saja yang artis-artis barat lakukan, itulah garis panduan dan contoh ikutan. Kadangkala apa yang dilakukan sememangnya melampaui batas budaya ketimuran –apatah lagi syariat- tetapi itu semua dianggap trend dan kemodenan. Mereka tidak sedar, di saat masyarakat barat yang sedang menuju ke arah kehancuran dek kerana artis-artisnya yang tidak keharuan, remaja kita pula di dalam keasyikan menyambut dan menjulang mereka seperti dewa kayangan. Dari pakaian, cara bergaul, gaya hidup, semuanya ditiru dan dipertahankan.

Kesannya, ramai yang teringin untuk menjadi penyanyi. Lihat saja sewaktu sessi temuduga untuk rancangan realiti tv, berpuluh ribu yang sanggup beratur sejak dari subuh pagi. Tidak kisah lagi jika tidak dapat masuk universiti, kerana masih ada Akademi Fantasia, My Starz, Mentor dan bermacam-macam lagi. Semua ini adalah peluang untuk mereka menjadi penyanyi. Kalau tersingkir sekali pun, mereka tetap akan jadi popular dan disanjung tinggi.

Penulis bukanlah anti kepada hiburan dan penyanyi, kerana sememangnya hiburan diperlukan oleh hati, Tetapi biarlah hiburan dan menyanyi tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni. Bagaimana yang dikatakan tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni? Maka, semestinya syariat agama ini dijadikan kayu ukur utama dan budaya ketimuran –yang sejajar dengan syariat- juga mesti diambil kira. Hiburan juga bukanlah menjadi suatu agenda utama untuk pembangunan umat dan negara sehinggakan semua pihak mesti berusaha untuk mencapainya. Tetapi suasana yang ada pada hari ini sebaliknya. Hiburan dan artis menjadi tajuk utama. Artis-artis lebih dikenali daripada para ilmuan dan tokoh sarjana. Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan Negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Cerita-cerita merekalah yang memenuhi separuh ruang dari akhbar-akhbar utama. Hai….apa nak jadi dengan masyarakat kita?

Inilah gambaran fenomena yang menular di kalangan remaja dan masyarakat Malaysia sekarang ini. Apa tindakan kita? Adakah cukup sekadar mengeluh panjang dan mengkritik pihak itu dan ini? Oleh itu, penulis berharap semua pihak menyedari akan hakikat ini dan bertindak mengikut fungsi sendiri. Sekadar ingin berkongsi harapan dan permintaan penulis:

  • Untuk Ibu bapa kepada generasi di alaf ini, marilah kita renung kembali tugas, tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibu bapa. Kita bukan sekadar memastikan anak-anak kita hanya cukup makan dan pakaian mereka, tetapi lebih jauh dari itu, kita perlu didik mereka dengan corak hidup yang berlandaskan agama, semoga kita semua dijauhkan dari azab api neraka. Firman Allah swt (bermaksud): ((Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka; yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya pula adalah malaikat yang kasar lagi keras (layanannya), mereka itu tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diarahkan kepada mereka, dan mereka melakukan apa yang disuruh)) (al-tahrim: 6). Tanamkan semangat kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dan bentuk mereka dengan jatidiri teguh sebagai seorang Muslim di samping tidak salah kiranya kita bersama-sama mempertahankan budaya ketimuran Melayu yang sejajar dengan ajaran agama.

  • Kepada Remaja dan generasi muda harapan agama, bangsa dan negara, di hadapan kita menanti seribu satu cabaran dan dugaan yang kita belum pasti bagaimanakah bentuk dan keadaan. Bagi yang bersedia dan mempersiapkan diri dengan benteng ilmu dan kemahiran, semua itu akan mampu dihadapi, insya-Allah, dengan izin Tuhan. Tunaikan perintah Allah sebaik mungkin. Pelihara solat, jaga aurat, baca al-Quran dan fahami maksudnya, beramal dengan ilmu bukan sekadar taklid buta yang melulu. Justeru, mari kita bina jatidiri yang utuh dan teguh. Berbanggalah dengan ajaran agama dan jangan sesekali kita terpedaya dengan hasutan dan dakyah musuh durjana, yang menjelma dengan pelbagai bentuk dan rupa; Yahudi, Amerika dan konco-konconya. Letakkan matlamat hidup yang tinggi, mulia dan murni supaya dapat menabur bakti dan budi untuk agama, bangsa dan ibu pertiwi.

  • Kepada Pemimpin dan pihak-pihak yang mempunyai hak dan kuasa, gerakkan seluruh tenaga dan kuasa yang ada untuk mengawal dan membimbing rakyat jelata, agar mereka tidak terlalu lalai dan leka dengan agenda dan propaganda musuh yang sentiasa mahu melihat umat ini alpa. Hiburan yang melampaui batas agama dan budaya bangsa, perlu dikaji semula malah lebih baik untuk dihalang saja. Gerakkan rakyat untuk terus mencintai ilmu, membina nilai diri agar menjadi umat yang sentiasa disegani dan tidak lagi menjadi penghuni setia di pusat serenti. Jadikan amar ma’ruf dan nahi munkar sebagai salah satu agenda utama. Bendung dan halang segala unsur-unsur negatif yang boleh membantut dan mencemarkan gagasan Islam Hadhari yang sangat cantik jika ia dapat dilaksanakan.

  • Kepada Ustaz-ustaz dan golongan agama yang dihormati, sebarkan dakwah Islam yang tulen dan asli sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan tiga generasi yang terpuji. Bentangkan Islam dengan mudah agar ia senang untuk difahami dan dihayati. Elakkan menokok tambah sesuka hati dan jadikan hikmah sebagai kuasa untuk menambat hati. Bimbing masyarakat agar sentiasa menjadikan syariat sebagai kayu ukur dan panduan dalam setiap perkataan dan kerja buat. Semoga kita semua akan sentiasa dibawah petunjuk hidayah dan naungan rahmat.

Adakah ini harapan Ibu bapa untuk anak-anak mereka??

Semoga dengan ini, harapan kita untuk melihat umat Melayu ini kembali bermaruah dan disegani menjadi kenyataan. Kita tiada pilihan lain lagi untuk menjadi umat yang bermaruah dan dihormati kecuali kembali menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagai paksi dalam semua keadaan dan segi. Inilah tajdid yang ingin kita terajui. Ayuh! Semarakkan arus tajdid ini.

abd al-razzaq muthalib ahmad

11/8/07, 11.51 pm,

Medan, Indonesia.

No comments: